Pengerusi NGO Antarabangsa, Dato Mustapha Ahmad Marican berkata umat Islam mesti bersatu dan bekerjasama supaya menjadi satu kekuatan kepada Ummah di rantau ini.

Beliau berkata, segala permasalahan berkaitan dengan Ummah mestilah diselesaikan dengan baik khususnya melalui perbincangan tanpa ada perasaan iri hati.

“NGO Antarabangsa akan membantu mana yang mampu dan berharap pada masa depan, sekiranya kita mendapat sumbangan daripada orang ramai, bantuan itu akan diutamakan kepada masjid, sekolah tahfiz, pembinaan perigi dan bantuan keperluan asas kepada fakir miskin, anak yatim dan orang tua,” katanya.

Mustapha menyerah duit sumbangan kepada Ustaz Soleh Mat disaksi oleh ahli jemaah masjid

Mustapha berkata demikian ketika menyerahkan duit bantuan bagi membaiki bumbung Masjid Kabai yang terletak sejauh 104 kilometer yang rosak dimasuki air dan tempat mengambil wuduk dengan kos dianggarkan USD3,500 dolar.

Bagaimanapun, duit sumbangan yang terkumpul tidak sampai sebanyak itu dengan perjalanan ke kampung itu amat jauh termasuk melalui jalan yang tidak rata mengambil masa 7 jam setengah bagi perjalanan sehala.

“Meskipun berdepan cabaran yang mencabar tetapi demi amanah dari penderma budiman dari Malaysia. Saya datang juga ke kampung ini dan sudah 23 tahun menjalankan kerja kebajikan ini dibeberapa negara Asean seperti di Kemboja, Laos, Vietnam, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Tempat mengambil wuduk agak jauh sikit dari masjid

“Saya sudah biasa tidur di masjid dan rumah orang kampung kerana tempat yang saya pergi semuanya tidak ada kemudahan hotel atau rumah tumpangan. Itulah perjuangan yang saya lalui bertahun-tahun sebagai pengalaman berharga.

“Buat masa ini kita perlu bersabar kerana ramai yang susah terkesan akibat pandemik Covid-19, jadi kita jangan sangat berharap kepada penderma tetapi kena ada usaha serta muafakat untuk membuat sesuatu yang baik untuk kepentingan Ummah,” katanya.