Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) berbesar hati untuk mengumumkan kerjasama eksklusif dengan liga bola sepak akar umbi di seluruh Malaysia – Liga Suparimau.

Kerjasama itu bertujuan mengukuhkan lagi asas arena bola sepak remaja di
Malaysia. Pengaktifan kerjasama itu merupakan sebahagian daripada kempen We Drive Football yang dilancarkan oleh Volkswagen baru-baru ini.

Ia membuktikan komitmen Volkswagen untuk menghargai kesungguhan, minat, kesatuan dan kepelbagaian yang ada dalam gaya hidup bermain bola sepak ke satu tahap lebih tinggi.

Sebagai rakan automotive rasmi Liga Suparimau, Volkswagen akan tampil dalam perlawanan-perlawanan bola sepak tertentu di seluruh negara, termasuklah pada peringkat akhir yang bakal berlangsung pada Disember depan.

Pada akhir musim, Volkswagen akan mengumumkan 12 pemenang pertandingan Gol Terbaik Musim Ini yang diambil daripada 12 kategori berbeza dalam Liga Suparimau.

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter memberitahu bahawa nama Volkswagen sememangnya sinonim dengan bola sepak di seluruh dunia.

Kerjasama dengan Liga Suparimau menjadi satu cara terbaik buat VPCM menyokong dunia bola sepak yang pesat berkembang di Malaysia, terutama di peringkat akar umbi.

“Volkswagen Group telah menjuarai inisiatif bola sepak di seluruh dunia sejak bertahun-tahun lamanya. Daripada menjadi rakan mobiliti rasmi untuk EURO 2020 hinggalah bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).

“Bola sepak ada dalam DNA kami. Jadi, kerjasama dengan Liga Suparimau bukan sahaja selari dengan penglibatan kami dalam sejarah bola sepak, malah ia merupakan satu cara terbaik untuk menjadi sebahagian daripada dunia bola sepak tempatan, serta merealisasikan impian anak-anak muda Malaysia, lelaki dan wanita, selain mungkin menjumpai bintang bola sepak Malaysia yang seterusnya.

Pengarah Perlawanan Liga Suparimau, William Kucia berkata, “Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Volkswagen Malaysia dan melancarkan pertandingan Gol Terbaik Musim Ini.

“Liga Suparimau kini beroperasi di sembilan buah negeri dengan lebih 500 pasukan berdaftar mengambil bahagian dalam musim C yang baru sahaja bermula. Kami berharap dengan kerjasama Volkswagen Malaysia, kami mampu untuk membuka lebih banyak peluang buat anak-anak muda bermain bola sepak di Malaysia.

“Pertandingan Gol Terbaik Musim Ini mengiktiraf gol-gol luar biasa yang dijaringkan oleh pemain-pemain berbakat di seluruh negara. Kami tidak sabar untuk mendedahkan penyertaan terbaik pada hujung tahun ini.”

Liga Suparimau ialah liga bola sepak remaja yang dilancarkan pada Januari 2022 di seluruh Malaysia. Ia melibatkan liga pemain lelaki dan wanita berusia di antara 5 hingga 17 tahun dengan misi untuk menyediakan peluang dan pertandingan yang konsisten buat pemain muda di semua negeri menjelang tahun 2024.