PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini memperkenalkan SUV super Audi RS Q8 yang penuh berkuasa ke dalam rangkaian model tawarannya.
Menjadi SUV saiz penuh Audi pertama menggunakan lencana RS, RS Q8 melangkaui sempadan prestasi dalam kelasnya.
Tampil luar biasa pintar dan original, RS Q8 mengetengahkan ciri-ciri termaju Audi yang
menggabungkan fleksibiliti mengagumkan serta kegunaan harian untuk mendefinisikan
semula genre kenderaan berprestasi tinggi tradisional.
Antara spesifikasi teknikal yang impresif ialah suspensi udara adaptif khusus untuk RS, stereng semua roda, sport differential dan sistem keselamatan olengan aktif.
Enjin: Kuasa maksimum dan bercekapan tinggi
Mampu menjana kuasa sehingga 600PS dan tork 800Nm di antara 2,200 dan 4,500rpm, enjin 4.0 liter biturbo V8 TFSI membolehkan RS Q8 memecut 100km/j dalam masa hanya 3.8 saat – angka yang meletakkannya setara dengan kereta-kereta sports lain.
Ia juga berupaya mencapai pecutan tertinggi 305km/j. Turutan pencucuhan 1-3-7-2-6-5-4-8 menjamin janaan bunyi yang mengasyikkan, ditambah dengan sistem ekzos sport bersama kemasan hujung paip ekzos berwarna hitam.
Pemandu juga boleh menukar bunyi enjin melalui sistem Audi drive select. Kuasa enjin V8 TFSI disalurkan ke sistem pacuan semua roda sepenuh masa quattro menerusi kotak gear lapan kelajuan standard.
Kawalan tork roda terpilih (wheel-selective torque control) menyempurnakan lagi aspek keselamatan dan pengendalian lincah RS Q8.
Ketika mengambil selekoh, ciri quattro sport differential yang dipasang sebagai standard berfungsi mengagihkan kuasa tork di antara roda belakang jika diperlukan. Sistem active torque vectoring ini menambah baik aspek cengkaman, kestabilan dan dinamik.
Pemanduan: Bersedia untuk segalanya
Sistem suspensi udara adaptif sport khusus untuk RS dengan kawalan redaman bermaksud RS mampu menawarkan prestasi yang sama di litar lumba atau laluan off-road.
Talaan peredam khas RS menawarkan tetapan yang luas di antara tetapan ke arah keselesaan dan sangat sporty. Olengan badan sewaktu mengambil selekoh pada kelajuan tinggi dapat diminimumkan, terima kasih kepada sistem electromechanical active roll stabilisation (EAWS).
Dengan jarak kelegaan tanah yang pelbagai, rekaan overhang pendek, pacuan semua roda
sepanjang masa quattro dan kawalan menuruni bukit, RS Q8 boleh dipandu dengan tenang dan yakin apabila jalan berturap berakhir.
Sistem pengendalian Audi drive select yang dinamik membolehkan pemandu untuk mengawal aspek pengurusan enjin dan transmisi, tujahan stereng, suspensi udara, stereng semua roda, bunyi enjin dan karekteristik pendingin hawa automatik.
Lapan profail disediakan: comfort, auto, dynamic, efficiency, allroad, offroad serta mode RS1 dan RS2 yang boleh diubah suai secara individu dan khusus untuk RS. Ia boleh diakses secara langsung melalui butang “RS-MODE” pada stereng.
RS Q8 didatangkan standard dengan rim aluminium bersaiz 23 inci bersama rekaan rotor Y 5 jejari. Di sebalik rim yang besar itu tersimpan sistem brek RS dengan cakera komposit berliang bersaiz 420mm di depan dan 370mm di belakang bersama brek seramik merah sebagai ciri standard.