Perodua akan memulakan kajian kenderaan elektrik pertamanya serta mobiliti jangka panjang melalui kajian pasaran perkhidmatan melibatkan 300 pelanggan bagi model terhadnya, Ativa Hybrid.
Kajian ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu pertama untuk memahami tingkah laku
pemanduan berkumpulan kenderaan hibrid di lokasi berpenduduk di negara ini iaitu di
Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Tujuan lain kajian ini adalah untuk memahami penerimaan para pengguna terhadap
perkhidmatan “langganan” 5 tahun, yang ditawarkan oleh Perodua kepada pelanggan
korporat di bawah “EZ MOBi”.
“Perodua Ativa Hybrid adalah kenderaan terbaik untuk kami mendapatkan pandangan unik
tentang tingkah laku rakyat Malaysia sebagai kumpulan terkawal, kerana data ini akan
digunakan untuk mengenalpasti keperluan para pelanggan kami apabila menggunakan
kenderaan elektrik,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Majlis Langganan Perodua Ativa Hybrid itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Sri Lokman Hakim Ali, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Pengerusi Daihatsu, Sunao Matsubayashi.
Perodua Ativa Hybrid menggunakan sistem “hibrid bersiri” di mana set motor elektrik
menggerakkan roda kenderaan manakala enjin bertindak sebagai penjana kuasa untuk
mengecas bateri.
Model ini menggunakan enjin 1.2L (WA-VEX) untuk menjana kuasa tersebut. Dengan teknologi ini, Sistem Bersiri Perodua Ativa Hybrid mampu mencapai jarak sejauh 31.3 kilometer seliter (berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia)
Beliau berkata, program perintis oleh Perodua ini juga akan membolehkan syarikat kereta
kompak itu melihat tahap penerimaan para pelanggan terhadap program langganan jangka
panjang sebagai alternatif kepada pembelian dan penjualan tradisional kereta.
“Walaupun kami percaya bahawa pemilikan kenderaan masih lagi menjadi perniagaan
utama kami namun, ada kemungkinan perniagaan langganan kenderaan ini diterima oleh
lebih ramai pengguna dalam masa terdekat.
“Inilah yang kami maksudkan dengan ‘langganan’ – satu perkhidmatan yang mana semua
kewajipan lain untuk memiliki kenderaan seperti mengikuti jadual penyelenggaraan,
membayar insurans kenderaan dan cukai jalan – semua akan diuruskan sepenuhnya oleh
kami; Apa yang pelanggan perlu lakukan ialah membayar yuran langganan untuk menikmati pakej tersebut,” kata Dato’ Sri Zainal.
Beliau menjelaskan bahawa Perodua sememangnya mempunyai perkhidmatan langganan
sedia ada yang diuruskan di bawah EZ MOBi tetapi buat masa ini perkhidmatan langganan
hanya untuk syarikat dan bukan individu. Perkhidmatan EZ MOBi Perodua mula diperkenalkan pada Januari 2021.