Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan 22/3 hingga 46/3, Bandar Mahkota Cheras, Selangor, kali ini mengadakan Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Kali Ke-6 pada 31 Ogos 2022 bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang Ke-65.

Keadaan cuaca yang cerah menyaksikan kira-kira lebih 50 penduduk hadir pada mesyuarat yang diadakan bermula pada jam 11 pagi dan berakhir kira-kira jam 2 petang.

Majlis mesyuarat sebelum itu dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan laungan merdeka sebanyak tiga kali sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang.

Setiap penduduk yang hadir diberikan jalur gemilang sebagai simbolik meraikan kemerdekaan negara manakala khemah turut dihiasi dengan bendera bagi membuktikan semangat dan kesetiaan kepada negara.

Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras bagi sesi 2021/2022, Nik Mohd Shukri Nik Ahmad berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada semua ahli jawatankuasa (AJK) yang memberi komitmen dalam berkhidmat secara sukarela kepada persatuan dan memberikan kerjasama penuh kepada setiap aktiviti yang dijalankan.

“Saya juga berterima kasih kepada sebahagian penduduk yang sudi hadir pada mesyuarat agung kali ke-6 ini yang diadakan pada hari sambutan Kebangsaan Malaysia yang ke-65.

“Saya berasa gembira kerana penduduk di taman ini hidup aman dan damai malah kanak-kanak serta warga penduduk dapat beriadah dan bermain di sekeliling rumah dengan selamat.

Sebahagian daripada penduduk yang hadir

“Ini semua adalah hasil sokongan semua penduduk yang membayar bayaran yuran bulanan kawalan keselamatan dan berharap penduduk terus memberi sokongan bagi memastikan pihak keselamatan penduduk terus dijaga,” katanya dalam ucapan aluan sempena mesyuarat agung Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan Bandar Mahkota Cheras, di sini hari ini.

Nik Mohd Shukri berkata, semua penduduk bertuah kerana penubuhan persatuan penduduk ini dijalankan secara rasmi dan sah termasuk mendapat sokongan serta surat kelulusan daripada pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat.

Beliau berkata, dengan adanya surat kelulusan ini pembinaan pondok pengawal dan kabin yang dijadikan pejabat persatuan beroperasi dengan sah sekali gus membuktikan usaha pihak persatuan selama ini tidak sia-sia.

Nyanyian Negaraku bersama penduduk

Dalam pada itu, Pengerusi turut menyuarakan pandangan sama ada yuran bulanan sebanyak RM50 perlu dinaikkan bagi menampung kos operasi persatuan khususnya kos penyelenggaraan sistem autogate dan CCTV selain kos-kos lain.

Bagaimanapun, kebanyakan penduduk mahu agar bayaran bulanan dikekalkan kerana bimbang ramai yang enggan menyumbang sekiranya bayaran bulanan dinaikkan

“Saya terbuka kepada semua penduduk dan jika mahu bayaran dikekalkan, saya berharap penduduk tidak memberikan komen atau sesuatu cadangan yang memerlukan kos tambahan untuk disediakan,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis dialog dengan penduduk, antara isu yang dibangkitkan ialah kehadiran anjing liar, monyet dan kucing yang kadang-kala mengganggu ketenteraman penduduk sekitar.

Penduduk turut mendakwa kehadiran monyet liar yang banyak menyebabkan bumbung rumah mereka rosak dan berharap pihak berkaitan seperti Jabatan Perhilitan mengambil tindakan segera untuk mengatasinya.

Selain itu, penduduk juga berharap pihak MPKJ dapat menjalankan kerja-kerja pembersihan longkang di sekitar taman ini bagi mengelakkan pengaliran air longkang tersumbat dan mungkin menyebabkan kehadiran jentik-jentik.

Penduduk juga mahu pihak MPKJ membersihkan pokok-pokok hutan berhampiran taman ini bagi mengelakkan kehadiran binatang berbisa seperti ular yang sering dilaporkan memasuki rumah penduduk berhampiran.

Majlis diakhiri dengan sesi cabutan bertuah dan jamuan makan yang diberikan secara pek bungkusan serta minuman.

“Kami merancang pelbagai aktiviti pada tahun ini tetapi malangnya akibat wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara pada awal Mac 2020, menyebabkan semua aktiviti berkenaan ditangguhkan.

“Kita mahu semua penduduk berasa selamat untuk melakukan aktiviti dalam taman ini tidak kira sama ada golongan dewasa atau kanak-kanak kerana dengan adanya kawalan keselamatan, masalah jenayah seperti samun atau pecah rumah dapat dielakkan,” katanya yang mengakhiri ucapan pada mesyuarat agung tahunan kali ke-6.

Sementara itu, dalam mesyuarat berkenaan, penduduk sebulat suara mencadangkan perlantikan Peter Loo sebagai Pengerusi bagi sesi 2023/2024 dan Mohd Rozlan Mohamed sebagai Timbalan Pengerusi.

Dalam mesyuarat itu, beberapa penduduk turut dilantik menjadi AJK baharu persatuan untuk tempoh dua tahun.

Sementara itu, Pengerusi baharu, Peter Loo dalam ucapannya mengucapkan terima kasih diatas komitmen pengerusi bagi sesi 2021/2022 Nik Mohd Shukri Nik Ahmad yang bertungkus lumus bagi memastikan persatuan ini berjalan dengan lancar.

“Saya mewakili AJK Persatuan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Nik Mohd Shukri yang mahu mengundur diri kerana ingin pulang ke kampungnya di Kelantan selepas tamat berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagaimanapun, saya berharap penduduk akan terus memberikan sokongan kepada kami untuk memastikan persatuan ini terus berjalan dengan lancar,” katanya lagi.

Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan yang ditubuhkan secara rasmi 23 Ogos 2016, sebelum ini sudah mengadakan pelbagai aktiviti membabitkan penduduk setempat.

Ketika ini, Jalan Pahlawan mempunyai 295 unit rumah dengan jumlah peratusan penduduk yang membayar yuran keselamatan ialah kira-kira lebih 80 peratus.

Jom kita lihat gambar-gambar menarik sekitar Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Jalan Pahlawan, Bandar Mahkota Cheras, Seksyen 3, Cheras Selangor kali ke-6 dibawah ini.