Touch ‘n Go Group dan Shell Malaysia telah melancarkan secara rasmi pengalaman tanpa tunai baharu yang membolehkan para pelanggan membayar untuk minyak menggunakan Touch ‘n Go RFID di 88 stesen minyak Shell di seluruh negara.

Jumlah stesen minyak Shell yang didayakan dengan pengalaman mengisi minyak tanpa tunai ini dijangka meningkat sebanyak dua kali ganda menjelang akhir tahun ini.

“Kami amat berbesar hati kerana dapat meluaskan penggunaan RFID selain daripada pembayaran tol. Para pelanggan kini boleh membuat pembayaran di stesen minyak Shell
tanpa perlu berinteraksi dengan sebarang aplikasi mudah alih, atau berinteraksi dengan
sistem titik jualan kerana pembayaran dibuat melalui eDompet Touch ‘n Go yang dipautkan
kepada Touch ‘n Go RFID pengguna.

“Kami amat bernasib baik kerana telah menemui rakan kongsi seperti Shell, yang berfikiran
sama seperti kami, dan berkongsi cita-cita yang sama untuk menyediakan pengalaman
pemanduan tanpa tunai dan tanpa sentuhan kepada para pelanggan.

Touch ‘n Go RFID at Shell Launch

“Sejurus itu, ini akan membantu kami membuka jalan ke arah menyampaikan tawaran yang lebih inovatif untuk kedua-dua set pelanggan kami,” kata Effendy Shahul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Touch ‘n Go Group.

Beliau menambah, “Setakat ini, kami memberi tumpuan untuk mempromosikan RFID sebagai kaedah pembayaran tol, tetapi sebenarnya gabungan infrastruktur RFID dan eDompet membolehkan kami mengembangkan kes penggunaannya melangkaui tol.

Seperti yang telah kami tunjukkan hari ini, pengisian minyak merupakan kes penggunaan tambahan dan kami akan mengembangkan kes penggunaan RFID ke lebih banyak kawasan pada masa hadapan.”

“Sejajar dengan komitmen kami untuk melancarkan perjalanan harian para pelanggan kami melalui tawaran inovatif, kami memulakan perkongsian ini dengan Touch ‘n Go untuk
membangunkan kaedah pembayaran baharu yang menyediakan kemudahan tanpa tunai,
menggunakan teknologi RFID, dan tanpa aplikasi mudah alih.

“Kami juga telah menyepadukan Touch ‘n Go RFID dengan rakan kongsi setia kami, BonusLink, untuk membolehkan para pelanggan memperoleh mata ganjaran dengan mudah dengan setiap pembelian minyak,” kata Seow Lee Ming, Pengurus Besar, Mobiliti untuk Shell di Malaysia dan Singapura.

Touch ‘n Go RFID at Shell Launch

“Sepanjang tahun lepas, kami telah menerima maklum balas positif daripada lebih 10,000
pengguna perintis, dan kami bekerjasama rapat dengan Touch ‘n Go untuk terus
mengoptimumkan teknologi ini untuk memberi pengalaman yang lebih lancar kepada
pengguna. Kami yakin kolaborasi dengan Touch ‘n Go ini akan meningkatkan lagi
pengalaman pelanggan kami di Shell,” tambah Lee Ming.

Untuk menggunakan Touch ‘n Go RFID di stesen minyak Shell, para pelanggan perlu pautkan tag RFID Touch ‘n Go kepada akaun eDompet Touch ‘n Go mereka. Pendaftaran
dan pengaktifan perlu dilakukan sekali sahaja melalui eDompet Touch ‘n Go, dan setelah
pengaktifan berjaya, pelanggan hanya perlu parkir kenderaan di ruang pengisian minyak
yang didayakan dengan RFID.

Kenderaan akan dikesan dalam beberapa saat, dan pembayaran didebit secara automatik daripada eDompet Touch n’ Go pelanggan untuk membolehkan pengisian minyak. Sebarang jumlah yang tidak digunakan akan dikembalikan serta-merta ke akaun eDompet Touch ‘n Go pelanggan.

Dari 10 Ogos hingga 16 September 2022, Shell dan Touch ‘n Go akan memberi ganjaran
kepada 25,000 pelanggan pertama yang mengisi minyak di stesen Shell dengan menggunakan Touch ‘n Go RFID.

Mereka hanya perlu pam minimum RM50 di Shell untuk transaksi Touch ‘n Go RFID pertama untuk menerima pulangan tunai sebanyak RM10. Ganjaran ini hanyalah terhad kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan ini buat pertama kali.

Untuk maklumat lanjut mengenai pengisian minyak dengan Touch ‘n Go RFID di Shell, sila
kunjungi https://www.touchngo.com.my/consumer/toll/rfid/rfid-petrol/ dan www.shell.com.my/rfid