Rang undang-undang Generasi Penamat atau Generation End Game (GEG) yang dibentangkan di Parlimen pada hari Rabu, 27 Julai 2022, bukan sahaja umpama satu hukuman berat dan sukar untuk dikuatkuasakan, ia bakal mengakibatkan ramai kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan, kesan sosial yang teruk kepada kumpulan berpendapatan rendah dan berpotensi menjejaskan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan ekoran undang-undang yang ketat.

Malah, jika rang undang-undang ini diluluskan, boleh menjejaskan aktiviti pelancongan kerana penguatkuasaan ketat di bawah Rang Undang-undang Kawalan Hasil Tembakau dan Merokok termasuk menjenayahkan individu serta pemilik perniagaan.

Pengarah Urusan, Datametrics Research and Information Centre Sdn Bhd (DARE), Pankaj Kumar berkata, “walaupun rang undang-undang itu hanya akan memberi kesan kepada mereka yang dilahirkan selepas 2007 dan penguatkuasaan mungkin akan bermula pada 2025, ia dilihat akan lebih memberi kesan kepada ekonomi secara keseluruhan.

Beliau berkata, kebimbangan utama dalam kalangan pemain industri adalah kuasa yang diberikan kepada pegawai yang mendapat akses kepada data berkomputer termasuk kata laluan di bawah Seksyen 34(4) rang undang-undang itu.

Menurutnya, pemilik perniagaan, badan korporat dan syarikat-syarikat juga perlu bertanggungjawab atas pelbagai kesalahan yang boleh memberi kesan negetif kepada keyakinan pelabur dalam menjalankan perniagaan di Malaysia.

Pankaj berkata, RUU Generasi Penamat yang diperkenalkan oleh Malaysia adalah bersifat menghukum dan menghukum semua malah perniagaan mungkin berasa sukar untuk melaksanakan peruntukan undang-undang tersebut dan ia akan meningkatkan kos pematuhan juga.

“Pada masa yang sama, pengarah syarikat, sama seperti yang kita lihat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM, boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang dilakukan oleh pekerja mereka. Adakah kita menyamakan rasuah dengan kesalahan berkaitan merokok?”

Pankaj berkata, dengan kos pematuhan yang lebih tinggi berkaitan rang undang-undang, perniagaan mungkin sukar untuk mengekalkan keuntungan dalam keadaan ekonomi yang tidak stabil.

“Mungkin ada yang terpaksa menutup perniagaan mereka dan bakal menyebabkan beribu-ribu pekerja menganggur. Dalam kes lain, perniagaan mungkin terpaksa menggunakan langkah penjimatan kos untuk memastikan kos keseluruhan dapat dikawal,”

Perniagaan vape ditutup?

Produk vape yang telah dikategorikan sebagai produk “merokok” di bawah rang undang-undang ini, adalah mangsa terbesar.

Menurut Pankaj, sebagai industri yang semakin berkembang pesat, dengan 3,300 peniagaan dan menggaji lebih 15,000 pekerja, rang undang-undang itu akan menyaksikan pertumbuhan industri terbantut kerana ia tidak mengiktiraf vape sebagai alat Pengurangan Kemudaratan Tembakau (THR).

“Industri itu, yang mempunyai saiz perniagaan lebih RM2.7 bilion dengan majoriti pekerja Bumiputera, berisiko musnah sekiranya rang undang-undang tembakau yang dibentangkan di Parlimen diluluskan.”

Pasaran Seludup Akan Berkembang

“Larangan penjualan produk tembakau secara terang-terangan bagi mereka yang lahir selepas 2007 akan mengakibatkan insiden perdagangan haram meningkat daripada 58.4% pada Mac 2022 kepada setinggi 61.7% secara tidak langsung melonjakkan saiz pasaran haram kepada RM8.7 bilion”. Ini akan menyaksikan kehilangan hasil kerajaan daripada industri tembakau melebihi paras RM5 bilion.”

Pendekatan yang lebih lembut diperlukan

Sehari sebelum Malaysia membentangkan rang undang-undang GEG di Parlimen, New Zealand juga membentangkan rang undang-undang yang serupa di Parlimennya, tetapi versi New Zealand bagi rang undang-undang GEG adalah berbeza dengan versi Malaysia.

“Kuncinya ialah tindakan ‘menghukum’ kerana rang undang-undang Malaysia menjenayahkan pesalah, tetapi rang undang-undang New Zealand tidak. Rang undang-undang Malaysia mengenakan hukuman penjara bagi penjualan produk berkaitan merokok manakala rang undang-undang New Zealand hanya setakat menghukum pesalah dengan denda.

Paling ketara adala tindakan Malaysia yang tidak mengiktiraf produk vape sebagai alat pengurangan kemudaratan tembakau dan mengharamkannya. Berbeza dengan rang undang-undang New Zealand yang mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh produk vape dalam mencapai kadar kelaziman merokok yang lebih rendah.”

“Secara keseluruhannya, rang undang-undang Generasi Penamat mempunyai kesan buruk kepada masyarakat, perniagaan dan Malaysia sebagai negara yang menjenayahkan pesalah juvana.

Rang undang-undang itu sepatutnya dipinda untuk menjadikannya lebih mesra kepada orang awam dan menyedari bahawa penguatkuasaan adalah kuncinya yang sukar direalisasikan di Malaysia.

Buktinya, dengan hampir 60% perdagangan haram di negara ini dan jumlah tersebut semakin meningkat. Kita perlu mengiktirafkan vape dan ia tidak harus disekat. Kita mesti menyedari bahawa vape adalah alat untuk berhenti merokok, seperti yang terbukti di negara-negara seperti UK dan New Zealand, ” katanya.