Malaysia Retail Electronic Cigarette Association (MRECA) meminta Kerajaan mengkaji semula ‘GEG’ yang diperuntukkan dalam Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan untuk bacaan pertama dalam sesi Parlimen yang akan melarang sesiapa yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007 untuk menggunakan vape.

Presiden MRECA, Datuk Adzwan Ab Manas berkata, polisi itu perlu dikaji semula kerana rang undang-undang tersebut bukan sekadar melarang penjualan kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 1 Januari 2007, malah sesiapa yang dilahirkan selepas tarikh tersebut turut tidak dapat bekerja dalam mana-mana kedai atau syarikat yang menjual atau mengedar produk vape.

“Ini adalah suatu yang akan membebankan pemain industri nanti dalam mencari pekerja. Banyak yang perlu disemak semula. Merokok bukannya menggunakan vape tetapi dalam RUU tersebut, penggunaan vape disamakan sebagai perbuatan merokok dalam tafsirannya.

“Ini memberikan mesej yang sangat salah kepada pengguna vape dan orang ramai. Malah, bahan kandungan produk vape juga tidak patut ditafsirkan sebagai bahan merokok kerana produk vape atau kandungannya tidak berkaitan dengan rokok langsung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Adzwan berkata, RUU tersebut menyentuh beberapa tafsiran yang menyamakan rokok dan vape walaupun kedua-kedua produk tersebut adalah berbeza.

“Kerajaan sepatutnya ambil langkah membezakan vape dan rokok dalam RUU ini. Ini adalah sesuatu yang juga telah dibincang bersama pada sesi libat urus bersama Menteri Kesihatan baru-baru ini.

“Di negara-negara lain seperti New Zealand dan UK, peraturan dan tafsiran untuk vape adalah berbeza dengan rokok. Ini adalah kerana negara tersebut mengambil langkah untuk mengurangkan kemudaratan merokok dengan menjadikan vape sebagai alat berhenti merokok. Malah negara tersebut menyaran perokok untuk berhenti merokok melalui vape,” katanya lagi.

MRECA memohon agar Kerajaan dan Ahli-Ahli Parlimen untuk menyemak semula RUU ini kerana ia akan mempunyai kesan yang besar kepada semua pemain dalam industri.