Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) telah bersama dengan komunitinya dari awal untuk menambah baik dan mengembangkan ekosistem digital, di samping berfungsi sebagai platform untuk syarikat pemula (startup) dan PKS tempatan untuk berkembang maju.

Sidec juga komited untuk membina ekonomi digital dan ekosistem dengan memupuk dan mendigitalisasikan PKS tempatan, seiring dengan wawasan Selangor untuk menjadi ‘Negeri Pintar’ yang boleh didiami peringkat ASEAN menjelang 2025.

Susulan kejayaan Malaysia Top E-Commerce Merchant (Top ECM) Awards selama enam
tahun berturut-turut, Sidec mengumumkan edisi terbaharu Anugerah Top ECM 2022 dengan sokongan Affin Bank Berhad (AFFIN BANK) sebagai penaja utama dan SUBPLACE sebagai marketplace e-dagang rasmi, di samping program Selangor Fashion Accelerator (SFA) 2022 yang pertama.

Merangkul dunia e-dagang

Anugerah Top ECM yang berprestij ini bertujuan untuk memberi ganjaran kepada peniaga e-dagang tempatan yang paling berjaya, kreatif dan inovatif. Pada masa yang sama, peniaga yang mengambil bahagian boleh mendapat manfaat daripada peningkatan pengiktirafan dan peluang untuk menyerlahkan jenama mereka dalam kalangan pemain industri.

Selaras dengan rancangan Sidec untuk meningkatkan dan mengukuhkan ekosistem e-dagang negara, sasaran yang lebih tinggi telah ditetapkan untuk mempromosikan anugerah ini serta membantu untuk menggalakkan lebih ramai peniaga e-dagang untuk menjadi sebahagian daripada Anugerah Top ECM 2022.

“Ketika kami mula-mula melancarkan Top ECM pada 2016, hanya 60 peniaga e-dagang
mengambil bahagian manakala pada 2021, jumlahnya meningkat kepada 181 peniaga dan
menjana jualan sebanyak RM47 juta.

“Penambahbaikan ini menunjukkan bahawa industri e-dagang terus berkembang, dan Sidec di sini ingin menobatkan peniaga e-dagang terbaik tahun ini. Selepas merekodkan jumlah jualan RM123 juta sejak enam tahun lalu, kami menyasarkan untuk menerima 250 penyertaan dan mencapai jumlah jualan sebanyak RM20 juta,” kata Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec.

Pertandingan selama 3 bulan itu menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM60,000 dan
pelbagai hadiah menarik yang lain. Kesemua peniaga yang disenarai pendek akan dinilai
berdasarkan tiga kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur iaitu Peraduan Jualan
Dalam Talian (50%), Peraduan Siaran Langsung (Livestream) (25%) dan Potensi Perniagaan (25%).

Tahun ini, Anugerah Top ECM juga menambah elemen baharu iaitu “Livestream Festival” di
mana peniaga yang mengambil bahagian di Selangor Smart City and Digital Economy
Convention (SDEC) ke-7 akan berpeluang mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka di studio strim langsung dalam kawasan pameran.

Strim langsung ini akan disiarkan secara langsung melalui platform media sosial sepanjang 6 hingga 9 Oktober 2022 dari SDEC 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Peserta dikehendaki mempunyai laman e-dagang yang telah beroperasi sebelum Mac 2022
dan menjual produk kepada pengguna sahaja (B2C), mencapai jualan sekurang-kurangnya
RM25,000 atau sekurang-kurangnya 100 pesanan dalam mana-mana bulan antara Jun 2021 hingga Jun 2022, dokumen sokongan dan didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tahun ini, Top ECM menampilkan tiga kategori anugerah – Malaysia Top E-Commerce
Merchant Awards, Selangor Onboarding Programme Awards dan AFFIN BANK Special Awards (Rising Star dan AFFINGEM Women Trailblazer Awards).

Anugerah Rising Star ialah kategori anugerah khas di mana tiga pemenang akan dipilih berdasarkan potensi perniagaan syarikat, beroperasi kurang daripada tiga tahun dan disenarai pendek dalam senarai 40 terbaik kategori utama.

AFFINGEM Women Trailblazer Awards pula merupakan subkategori baharu yang diperkenalkan untuk menyokong dan memupuk keusahawanan wanita, dan mengiktiraf
usahawan wanita yang telah berjaya dalam industri.

Selain itu, Sidec juga berbesar hati menerima sokongan daripada Malaysia External Trade
Development Corporation (MATRADE) di mana mereka akan menyediakan kemudahan eksport tambahan kepada lima pemenang terbaik Anugerah Top ECM untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.