Maxis telah bekerjasama dengan TD1303, sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri Terengganu, untuk membina, menubuhkan dan mendigitalkan lebih ramai usahawan dalam
negeri.

Usahawan dan pemula teknologi memainkan peranan penting sebagai pemacu kepada transformasi dan pertumbuhan ekonomi dan inovasi.

Turut hadir pada majlis pelancaran rakan strategik tersebut ialah Tengku Seri Bijaya Raja Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Setiausaha Kerajaan Terengganu. Hadir sama Gokhan Ogut, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis dan Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu merangkap Pengerusi TD1303.

Sebagai rakan strategik digital, Maxis akan menawarkan produk dan perkhidmatannya,
termasuk penyelesaian perniagaan yang komprehensif di TD1303, ruang kerja sehenti untuk pemula, usahawan muda, e-dagang dan syarikat berkaitan Industri 4.0 dalam negeri.

TD1303 juga akan menerapkan penyelesaian Maxis ke dalam acara, latihan keusahawanan
serta bengkel yang dilakukan di TD1303.

“Objektif TD1303 adalah untuk menjadi pusat sehenti terkemuka bagi usahawan di Terengganu dengan menawarkan bukan sahaja ruang kerja bersama, tetapi penyelesaian
IT, perkakasan dan perisian yang berdaya maju untuk perniagaan mereka.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Maxis dan berharap untuk menggunakan produk dan penyelesaian mereka untuk memacu lebih ramai usahawan teknologi di Terengganu,” kata Ariffin.

“Kami memuji Kerajaan Negeri Terengganu atas usaha mereka untuk mempromosikan
inisiatif Industri 4.0 bagi perniagaan. Kami juga menghargai peluang untuk bekerjasama
dengan TD1303 dan menyokong mereka dengan keupayaan dan penyelesaian digital kami
untuk membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka supaya mereka terus
menerajui dalam dunia yang semakin berubah.

“Kami percaya dengan potensi dan bakat usahawan di Terengganu dan berharap untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan digital mereka,” kata Gokhan Ogut.

Sempena pelancaran rakan strategik itu, Maxis juga telah mengadakan bengkel digital
pertamanya di Terengganu dengan penyertaan lebih daripada 100 usahawan tempatan
melalui eKelas Usahawan.

Program jangkauan komuniti Maxis itu terdiri daripada webinar dan bengkel pemasaran digital untuk memperkasakan usahawan dalam membangunkan kehadiran digital yang lebih kukuh.

Program percuma itu menawarkan pendekatan praktikal dan amali untuk melengkapkan usahawan dengan alatan dan kemahiran seperti pemasaran digital, fotografi digital, penulisan dan perancangan untuk kempen pemasaran dan pengiklanan melalui platform dalam talian dan sosial.