Yayasan Hasanah (Hasanah), sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia hari ini telah mengumumkan satu dana baru yang bertujuan untuk memperkasa dan
menyokong pembangunan organisasi perusahaan sosial dan inovator sosial, dengan dana
yang telah sedia diperuntukkan oleh kementerian tersebut di dalam Bajet 2022.
Dana Perusahaan Sosial Hasanah (HSEF) 2022 ini menyasarkan secara khususnya
perusahaan sosial, dan merupakan dana ketiga di antara dana-dana yang disediakan di
bawah Yayasan Hasanah pada tahun ini.
Sebelum ini, Yayasan Hasanah telah melancarkan Geran Khas Hasanah 2022 awal tahun ini dan dana Arts For All Seasons (ArtsFAS) pada minggu lalu.
Dengan peruntukan RM5 juta, HSEF2022 melebarkan bantuan kepada perusahaan sosial
yang diiktiraf pada peringkat permulaan dan perkembangan seterusnya untuk membantu
mereka meningkatkan dan membina kapasiti serta keupayaan organisasi.
Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah Dato’ Shahira Ahmed Bazari berkata “Bagi kebanyakan perusahaan sosial, aliran tunai, kecairan dan akses terbatas kepada pelabur telah dilaporkan sebagai penghalang terbesar kepada peluang mereka untuk berkembang secara mampan.
Dengan kerjasama Kementerian Kewangan, dana ini dapat menyokong perusahaan sosial pada peringkat permulaan dan pertumbuhan
seterusnya, dan merupakan sebuah dana penuh bagi pembangunan organisasi. Kami
berharap usahawan dan inovator sosial akan memanfaatkan dana ini. Dana ini juga direka
untuk memupuk disiplin kewangan dan memperkembangkan kapasiti usahawan untuk
meningkatkan kesan impak mereka.”
Calon-calon perusahaan dan inovator sosial yang layak adalah organisasi yang berdaftar di
Malaysia dan berkeupayaan untuk bekerjasama dan melaksanakan lima bidang impak di
bawah Yayasan Hasanah: Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Alam Sekitar, Seni dan
Ruang Awam dan Ilmu Pengetahuan.
Keutamaan akan diberikan kepada mereka yang telah diakreditasi sebagai Perusahaan
Sosial (Social Enterprise) oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di mana setiap inisiatif boleh menerima pembiayaan sehingga RM500,000.
“Kami amat berharap perusahaan dan inovator sosial yang mempunyai idea-idea yang hebat, atau memerlukan bantuan kewangan untuk memperkembangkan lagi perniagaan serta meningkatkan impak mereka, dapat memohon dana ini, agar beroleh lebih banyak peluang serta membawa perubahan positif kepada negara.
“Kami juga berharap dapat bekerjasama dan memberikan sokongan kepada perubah dan inovator yang sejajar dengan bidang impak asas kami.” Kata Shahira.
Permohonan HSEF2022 dibuka sehingga 31 Julai 2022. Mereka yang ingin memohon boleh
melayari https://yayasanhasanah.org/HSEF2022/. Hanya cadangan daripada perusahaan
sosial yang layak akan dinilai dan dipertimbangkan. Para pemohon disarankan untuk
meluangkan masa bagi memahami syarat kelayakan di laman sesawang ini.