Kebanjiran pelbagai jenis fon telinga di pasaran masa kini membuktikan permintaan terhadap peranti itu semakin meningkat.

Maka tidak hairanlah dan tidak lengkap kepada gergasi pengeluar telefon mudah alih jika tidak memperkenalkan peranti ini setiap kali model baharu diperkenalkan.

Tidak ketinggalan, gergasi pengeluar peranti terkemuka Oppo yang mempertaruhkan fon telinga terbaharunya, iaitu Oppo Enco X2 yang dilancarkan secara rasmi pada 18 Mei 2022.

Sebenarnya, ini bukannya pertama kali Oppo menghasilkan fon telinga nirwayar dan Oppo Enco X2 ini adalah model kemas kini Oppo Enco X yang diperkenalkan sebelum ini.

Rekaan

Peranti ini hadir dengan rekaan fon telinga jenis bertangkai yang lengkap dengan putik silikon.

Prebiu.com yang menerima unit fon telinga berwarna putih ini untuk tujuan reviu ini cukup teruja apabila dipelawa untuk mengujikannya bersama dengan telefon mudah alih terbaharu Oppo Find X5 Pro yang juga dilancarkan pada tarikh yang sama.

Pada pandangan mata kasar, peranti dan pod pengecas ini diperbuat sepenuhnya daripada bahan plastik yang berkilat sekali gus kelihatan premium, moden serta bergaya.

Sambungan magnetik yang mengekalkan putik dalam pod simpanan adalah cukup kuat untuk mengelakkan ia dari mudah terjatuh tetapi tidak sehingga sukar untuk ditarik keluar.

Rekaan putik telinga juga amat selesa dan ergonomik manakala tangkai yang sederhana panjang memudahkan putik Enco X2 dikeluarkan dari telinga apabila diperlukan.

Pada tangkai yang sama terdapat sensor gestur dengan beberapa sentuhan mudah untuk mengawal peranti ini daripada segi kawalan bunyi atau menjawab panggilan telefon.

Ketika penulis mencuba peranti ini, ia amat mudah dimasukkan ke dalam telinga mungkin disebabkan oleh badannya bulat dan licin.

Putik Enco X2 ini juga amat ringan ketika dipakai dan terdapat dua lagi komponen silikon pelbagai saiz yang ditawarkan bagi setiap pembelian jika anda berasa tidak selesa pada lubang telinga.

Terdapat ciri Earbuds fit Test yang mengambil masa beberapa saat sahaja untuk menganalisa kesesuaian putik di dalam telinga pemakai.

Sistem bunyi hebat

Enco X2 dilengkapi sistem bass ultrasonik generasi terkini sebesar 11mm dan sistem bass itu juga 31 peratus lebih ringan daripada generasi terdahulu yang memberikan pengalaman audio yang lebih baik kerana mengasingkan audio berfrekuensi rendah dan tinggi.

Turut disertakan ialah enam mikrofon dengan dua dalam telinga untuk menyokong sistem ANC. Kesemua komponen dimasukkan ke dalam tubuh yang kalis percikan air sehingga IP54. Ini membolehkan ia digunakan ketika bersenam kerana kalis peluh.

Ciri paling menarik pada peranti ini ialah sistem audionya ditala oleh Dynaudio, di samping codec yang digunakan adalah SuperDBEE dengan Golden Sound untuk pengalaman penggunaan lebih baik.

Kesemua ciri yang melengkapi peranti ini kebanyakannya digunakan pada peranti stereo berciri premium.

Padanan sistem woofer dan tweeter mampu menghasilkan bunyi treble berkuasa tinggi dan respon pantas selain bunyi seimbang serta jelas.

OPPO Enco X2 juga menggunakan transmisi protokol Bluetooth LHDC 4.0 Ultra-HD, satu teknologi yang mampu menyampaikan transmisi treble tigakali lebih tinggi berbanding transmisi nirwayar tradisional.

Peranti ini juga dibina dengan frekuensi ultra lebar dan kawalan bunyi aktif dalaman ultra (ANC) yang berfungsi secara automatik serta aktif mengikut kehendak pemakainya.

Dalam pada itu, ciri fon telinga ini juga ditingkatkan bagi menghalang bunyi yang tidak dikehendaki ketika mikrofon digunakan dan gabungan cip ANC yang ditingkatkan prestasinya 50 peratus menyebabkan peranti ini mampu mencapai sehingga 45dB dengan frekuensi sehingga 4000Hz. Hebat bukan!

Rekaan Pod

Pod simpanan adalah berbentuk bujur dan comel dengan satu garisan di perimeter pod yang berwarna perak dan juga tertera logo Oppo.

Pada sisi kanan terdapat butang fizikal untuk melakukan tambatan bluetooth kepada peranti baharu. Pada bahagian hadapan pula terdapat lampu LED yang menunjukkan status bateri dan tambatan.

Sementara itu port pengecasan USB-C pula diletakkan pada bahagian bawah. Bagi yang inginkan pengecasan berwayar, format Qi disokong.

Binaan dan kemasan pod cukup premium sesuai dengan harga jualannya lebih RM500. Bahagian penutup bermagnet untuk memastikan tiada kerisauan ia terbuka secara rawak.

OPPO Enco X2 juga pertama kali menggunakan bahan kristal polimer cecair (LCP) untuk mencipta diagram yang hanya senipis 0.0095mm, satu jenis bahan berkualiti tinggi yang menjadikan peranti ini amat ringan, tahan lasak dan kelajuan bunyi yang tinggi.

Mudah Digunakan

Sudah semestinya fungsi peranti ini dicadangkan penggunaannya dengan telefon pintar terbaharu Oppo Find X5 Pro. Apabila pod ini dibuka, skrin akan memaparkan tahap bateri fon telinga ini dan tiada aplikasi tambahan perlu dimuat turun.

Sambungan kepada fon telinga ini mudah disambungkan dan lebih pantas manakala pelbagai ciri kawalan disokong pada bahagian tangkai dengan hanya melakukan dwi-tap, tri-tap, menekan lama atau menatal tangkai.

Dari kesemua gestur ini, tatalan tangkai mungkin ciri yang paling disukai kerana ia memudahkan proses mengubah kelantangan audio. Ia turut boleh digunakan untuk melangkau muzik yang sedang didengari.

Muzik juga akan terhenti serta merta dan bersambung semula selepas sesaat dimasukkan dalam telinga. Dengan adanya tangkai pada putik audio, proses menanggalkan Enco X2 adalah amat mudah.

Bateri

Fon telinga ini hanya memerlukan masa hanya 5 minit untuk pengecasan pantas yang mampu memainkan muzik selama dua jam dengan ketahanan bateri selama 40 jam.

Peranti seberat 56.4 gram ini juga menyokong alat pengecasan nirwayar dan waktu pengecasan semula adalah hampir 90 minit menggunakan pod pengecasan yang disambungkan dengan wayar jenis USB-C.

Kesimpulan

Memakai fon telinga yang kerap menyebabkan pertumbuhan bakteria dan untuk mengatasi isu ini, OPPO Enco X2 dilengkapi dengan ciri anti bakteria. Ia mudah dibersihkan dan anti-tahi telinga mengelakkan pengumpulan tahi telinga sehingga 99.8 peratus.

Tidak kira anda sedang berpeluh ketika melakukan senaman, fon telinga ini mampu mengelakkan pertumbuhan bakteria dan mengurangkan risiko jangkitan telinga akibat pemakaian yang terlalu lama.

Dari segi kemampuan audio dan ANC, Oppo Enco X2 menawarkan pengalaman terbaik untuk dinikmati dari pengeluar peranti Android sesuai dengan mottonya ‘Mendengar Melangkaui Sensasi’.

Ia menawarkan prestasi audio tahap premium dan dipadankan pula dengan sistem tatalan dan gestur yang amat responsif.

Hayat baterinya juga adalah memuaskan dan fon telinga ini juga dilengkapi teknologi bunyi Dolby Atmos yang menjadikan bunyi cukup jelas dan seimbang.

Selain itu, peranti ini juga memiliki ciri kawalan khas Oppo dengan hanya menekan fon telinga ini dua kali untuk merakam gambar atau video.

Bagaimanapun, bagi anda yang menggunakan peranti iOS, anda perlu memuat turun aplikasi Hey Melody untuk disambungkan dengan mudah.

Fon telinga ini ditawarkan pada harga mampu milik namun dilengkapi dengan pelbagai ciri premium khususnya prestasi audio yang tidak mengecewakan setiap kali peranti ini disumbatkan ke dalam telinga.