Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Profesor Adjung UMT, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan kerjasama dengan sekolah agama Kampung Thbung Khamum, Kemboja yang diketuai oleh Mudir Ustaz Zaki Wahid dimana sekolah masih banyak kekurangan seperti kipas, tandas, tempat wuduk dan juga lantai simen yang masih belum di tar.

Beliau berkata, sekolah yang tidak bernama itu terus digunakan walaupun serba kekurangan kerana memandang sebelum ini mereka belajar di Masjid Al Mansoriah tetapi kini masjid berkenaan digunakan untuk kegunaan murid tadika.

“Manakala pelajar lelaki dan perempuan yang berusia 6 hingga 13 tahun belajar di sekolah ini dan saya berharap penderma Malaysia sedia membantu dan menyalurkan sumbangan melalui NGO Antarabangsa supaya senang untuk menguruskan penghantaran bantuan berkenaan.

“Mustapha berharap ada penderma yang sudi menderma bagi kepentingan pendidikan Islam untuk kepentingan ummah sejagat. Mereka yang sudi boleh menghubungi saya bagi tujuan pengesahan selanjutnya penderma membabitkan keseluruhan kos pembinaan yang asas seperti bilik air lelaki dan perempuan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu pihaknya mengalu-alukan sumbangan derma bagi pembinaan tempat wuduk, kipas, siling serta lantai.

Sementara itu, Dr Mustapha yang juga pengasas Sekolah Agama Kg Sempadan Kemboja Vietnam berkata, sekolah itu kini memberi manfaat kepada hampir 200 pelajar lelaki dan perempuan berusia 7 hingga 15 tahun.

“Sekolah ini sekarang dibawah tadbir kerajaan dimana gaji guru dan ustaz dibayar oleh kerajaan Cambodia dan kini dinamakan sekolah Darul Iman sempena pengasas sekolah berasal dari Terengganu.

“Saya menyerahkan hak penjagaan sekolah kepada Ustaz Ramly Yusof bagi pihak kementerian pelajaran dan agama Kemboja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, NGO Antarabangsa dalam misi bantuannya turut menghulurkan bantuan berupa beras kepada penduduk Kemboja yang tinggal di dalam perahu di tepi Sungai Mekong.