Siri terbaharu Samsung Galaxy A yang baru dilancarkan pada Mac 2022 ini adalah kesinambungan kepada peranti dalam kelas pertengahan yang sememangnya ohsem dengan ciri kamera yang hebat dan inovasi terkini.

Sekali lagi, Prebiu.com diberi peluang untuk menguji peranti Galaxy A33 5G berwarna Awesome Blue ini yang dilengkapi ciri-ciri inovatif baharu seperti jangka hayat bateri lebih lama, kalis air dan debu IP67 selain hadir dengan jaminan kemaskini sehingga empat generasi One UI dan juga Android OS.

Ini bermakna, peranti yang anda beli dengan Android 12 ini, akan disokong sehingga ke Android 15 atau 16 selain Samsung turut menjanjikan kemaskini sekuriti selama 5 tahun untuk kedua-dua model ini.

Semua ciri menarik ini menjadikan telefon Galaxy A33 antara peranti dengan harga yang berdaya saing sekali gus memberikan jaminan penggunaan untuk tempoh masa yang lama.

Apa yang menarik pada peranti terbaharu dalam keluarga Galaxy A ini? Ketika peranti dilancarkan, dua lagi peranti dalam siri A turut diperkenalkan iaitu A73 5G dan A53 5G yang memiliki ciri spesifikasi berbeza.

Siri Galaxy A juga akan mempertingkatkan pengalaman anda menggunakan telefon sekarang dengan menyediakan akses menyeluruh ekosistem Galaxy tersambung peranti lain seperti Galaxy Buds Pro, Galaxy SmartTag, dan Galaxy Tab.

Kesemua sistem itu dapat disambungkan menerusi aplikasi SmartThings yang cukup mudah digunakan dengan hanya satu sentuhan.

Bagaimanapun, ciri inovasi pada peranti ini menurut Samsung telah diberi suntikan DNA ciri-ciri sebuah peranti premium dalam siri Galaxy S.

Rekaan Kamera Unik

Bonggol kamera untuk peranti baharu tahun ini nampak lebih elegan kerana bahagian sisi yang lebih landai dengan bingkai yang selari dengan warna badannya sekali gus kelihatan minimalis dan trendy.

Peranti ini juga menggunakan bahan polikarbonat untuk panel belakang dan memberikan kelebihan kerana ia sebenarnya lebih tahan hentakan dan mudah dibersihkan berbanding panel kaca.

Mengenggam peranti ini juga mudah kerana permukaannya agak kasar membuatkan peranti tidak terasa licin dalam tangan. Selain isu mudah kotor dengan debu juga tidak timbul kerana permukaannya tidak berkilat.

Walaupun cantik dan elegan, perantinya turut dilindungi skrin diperbuat daripada Corning Gorilla Glass 5 yang kalis calar dan ciri IP67 yang kalis air serta habuk, secara langsung menawarkan ketahanan lasak peranti dan ketenangan minda kepada pengguna.

Sistem kuad-kamera Galaxy A33 5G menampilkan Kamera OIS 48MP dengan teknologi VDIS yang mengambil gambar yang jelas dan mantap setiap masa.

Sementara itu, kamera hadapan 13MP beresolusi tinggi memberikan swafoto yang hebat dan pengalaman panggilan video yang jelas.

Diperkasakan dengan pemproses 5nm Octa-Core serba baharu, kamera berkuasa AI inovatif siri Galaxy A yang baharu menjadikan setiap imej kelihatan hebat – walaupun dalam keadaan pencahayaan malap.

Mod ‘Improved Night’ akan mensintesis sehingga 12 imej dengan serentak secara automatik, untuk menghasilkan foto malam yang terang dan kurang hingar.

Sistem kuad kamera tahun ini menggabungkan lensa sudut lebar 48MP, lensa ultra sudut lebar 12MP, lensa makro 5MP dan lensa kedalaman 2MP.

Kedudukan semua lensa kamera disusun rata dalam dua baris menegak dengan lampu LED flash pula diletakkan pada bahagian bawah.

Selain itu, kualiti rakaman video dalam suasana pencahayaan malap juga akan dipertingkatkan dengan kadar bingkai siri Galaxy A yang diselaraskan secara automatik untuk menghasilkan video yang terang dan jelas.

Mod Potret yang dipertingkatkan berupaya menangkap kedalaman dan siluet subjek dengan lebih tepat menerusi kamera berkembar dan sokongan AI berkuasa. Selain itu, mod kamera ‘Fun’ cukup menghiburkan dengan filter dan kesan khas penggambaran yang kini berfungsi dengan kanta Ultra lebar.

Selain itu, Photo Remaster pula memberi nafas baharu kepada gambar yang berkualiti rendah manakala Objek Eraser membantu anda menghilangkan tunafoto di latar belakang gambar.

Rekaan Kontur Badan

Pada pandangan mata kasar penulis, kemasan pada peranti ini lebih ringkas dan minimalis bersama penggunaan satu tona warna penuh secara menyeluruh seakan sebuah peranti untuk golongan muda yang aktif.

Walaupun kelihatan ringkas, kemasan pusam (matte) yang digunakan nampak premium dan tidak mudah meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor apatah lagi peranti ini memang kali habuk dan air dengan penarafan IP67.

Peranti ini ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza yang menarik – iaitu Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White. Wah Memang Ohsem!

Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian atas.

Ruangan ini menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).

Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah bersama-sama dengan lubang mikrofon dan juga dua pembesar suara. Lebih menariknya di sini, dua pembesar suaranya adalah stereo AKG dengan sokongan bunyi sekeliling Dolby Atmos.

Spesifikasi 

Silau matahari yang terlampau secara kebiasaannya akan mengganggu pengalaman tontonan kandungan yang terpapar pada skrin telefon pintar.

Oleh itu, siri Galaxy A baharu hadir dengan algoritma pintar yang memastikan kandungan paparan kelihatan dengan penuh jelas dan terperinci, tanpa mengira suasana pencahayaan.

Paparan Super AMOLED 6.4-inci Galaxy A33 5G yang luas juga menawarkan kadar segar semula 90Hz untuk pengalaman yang mengasyikkan. Sekiranya anda ingin megurangkan penggunaan bateri, mod standad 60Hz bole diaktifkan menerusi tetapan skrin peranti.

Selain itu, siri Galaxy A baharu kini dilengkapi dengan bateri berhayat 5000mAh sehingga dua hari dan fungsi Pengecasan Super Pantas 25W – dengan ini pengguna dapat menikmati tontonan kandungan, aktiviti penstriman dan banyak lagi untuk tempoh masa yang lebih lama.

Bagaimanapun, bagi peranti A33 kali ini, Samsung tidak membekalkan kepala pengecas tetapi hanya kabel disediakan bagi setiap pembelian yang menyokong pengecasan pantas 25W.

Bagi anda yang gemar kepada muzik boleh berhubung dan mendengar muzik bersama. Music Share akan selaraskan telefon anda dengan peranti kawan untuk berkongsi muzik tanpa menggunakan gabungan pembesar suara.

Anda juga boleh menggandingkan telefon dengan dua set peranti Galaxy Buds dan dengar bersama dengan Buds Together.

Begitu juga dengan ciri Quick Share membenarkan anda untuk menghantar gambar dan video tanpa had saiz ke peranti Galaxy yang berdekatan supaya anda boleh muat naik swafoto bersama dengan mudah tanpa perlu mengaktifkan sambungan Bluetooth.

Link To Windows juga memberikan anda akses segera kepada notifikasi telefon pintar anda, teks, panggilan dan memantulkan skrin terus kepada Windows anda.

Selain itu, ciri Private Share, anda mempunyai pilihan sama ada untuk berkongsi atau membatalkan perkongsian foto dan video dengan satu tekan.

Selain itu, peranti A33 ini juga mempunyai ciri panel Edge pada paparan skrin dan perlindungan sekuriti seperti pengecaman muka, pengesanan cap jari dan paten.

Ciri kamera dipertingkatkan

Samsung Galaxy A33 dilengkapi ciri kuad-kamera belakang gabungan 48MP (f/1.8) – (Utama); 12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar); 5MP (f/2.4) – (Kedalaman) dan 2MP (f/2.4) – (Makro) sementara kamera swafoto 13MP.

Kamera utamanya disokong oleh OIS (optical image stabilization) dan zoom digital sehingga 10 kali ganda.

Tambah lagi menarik apabila menggunakan ciri 4K Video Snap untuk mengambil imej resolusi tinggi 8MP daripada rakaman video 4K.

Scene Optimizer menggunakan AI (kecerdasan buatan) untuk mengambil gambar dengan pengeset optimum untuk 30 kategori imej dan latar belakang seperti makanan, landskap dan haiwan peliharaan.

Sama ada sedang merakam trend tarian terbaru atau aksi menggunakan papan selaju, OIS (optical image stabilization) memastikan hasil gambar dan video kelihatan jelas dan mantap.

Jika merakam gambar dalam keadaan lampu malap, tekan sahaja butang Night mode yang menggunakan pemprosesan multibingkai yang boleh memberikan hasil imej yang terang walaupun di dalam gelap.

Lebih menarik ialah paparan skrin Super AMOLED Samsung adalah lebih cerah dan lancar, membolehkan anda menonton rancangan kegemaran anda lebih menyeronokkan.

Untuk menambah kelesaan ketika menonton, paparan juga diiktiraf ‘Eye Care’, dan mengubah suhu warna paparan secara automatik berdasarkan corak penggunaan telefon pintar untuk mengurangkan keletihan mata dengan ‘Eye Comfort Shield’.

Harga pasaran

Samsung Galaxy A33 5G yang baru dilancarkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,499 untuk 8GB RAM/128GB storan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White.

Kesimpulan

Pengenalan peranti baharu Samsung Galaxy A33 5G ini adalah satu peranti tambahan dalam keluarga Samsung Galaxy A yang diperkenalkan pada tahun lalu.

Ia dianggap sesuai bagi kegunaan pelajar sekolah rendah mahupun menengah ataupun mereka yang pertama kali menggunakan telefon pintar.

Selain itu, peranti ini dilengkapi skrin yang cantik kerana bezelnya yang nipis manakala buatan badan peranti ini selesa dipegang dan sistem pemprosesan yang pantas memudahkan penggunanya.

Galaxy A adalah antara siri paling peranti popular keluaran Samsung disebabkan harganya yang tidak terlalu mahal berbanding model dalam Galaxy S. Meskipun harganya dibawah RM2,000 tetapi ciri yang ditawarkan seakan sebuah peranti premium.

Jika anda seorang yang mahu tampil kelainan atau kelihatan trendy, maka Samsung Galaxy A33 ini amat ‘padan’ kerana ciri inovasi yang ditampilkan kali ini lebih baik.

Setiap penambahbaikan yang dilakukan pada peranti ini seberat 186 gram ini memberikan satu kelebihan kepada anda yang memerlukan satu peranti untuk kegunaan harian, cekap dan pantas daripada segi pemprosesan.

Dengan menggunakan cip Samsung Eynos 1280, kamera utama 48MP sudah cukup hebat manakala rekaan badannya yang tidak begitu berat, tidak membebankan kocek anda selain mudah digenggam dengan selesa.

Sebagai sebuah peranti pertengahan, Samsung A33 ini amat berbaloi dimiliki kerana spesifikasi yang dipadankan adalah lebih premium iaitu kebanyakannya dimiliki peranti berharga lebih RM3,000.

Selain itu, apabila mod video digunakan, tahap zoom sehingga 10X turut disertakan selain ciri ultra lebar bagi memberikan pengalaman rakaman video lebih baik. Peranti ini juga dilengkapi ciri rakaman gerak perlahan (slow motion) dan super slow motion, hyperlapse, panorama dan potrait.

Satu lagi ciri menarik ialah ciri FUN dimana kamera ini dilengkapi lensa Snapchat yang unik menjadikan gambar dihasilkan menjadi pelbagai bentuk yang pelik dan menyeronokkan.

Keseronokan menggunakan kamera Samsung Galaxy A33 ini boleh dilihat melalui hasil gambar-gambar yang dipaparkan dalam laman Prebiu.com ini. Memang Ohsem!

Spesifikasi Samsung Galaxy A33:

  • 6.4” Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display, 411 PPI, 90 Hz
  • Samsung Eynos 1280 (5 nm)
  • Samsung One UI 4.1 + Android 12
  • Saiz 159.7 x 74 x 8.1 mm
  • Memori 8GB
  • Storan 128GB
  • 5000mAh Fast Charging 25W
  • (CPU) Octa-core (2×2.4 GHz Cortex-A78 & 6×2.0 GHz Cortex-A55)
  • Kamera belakang: 48MP, f/1.8 (utama) 8MP, f/2.2, (ultra-lebar) 5MP, f/2.4 (makro) 2MP, f/2.4 (kedalaman)
  • Kamera depan: 13MP AF f/2.2
  • Pengimbas cap jari,  pembesar suara stereo AKG dan surround sound Dolby Atmos, IP67
  • Warna: Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White.
  • Harga:  RM1,499