Agrobank mengumumkan pemenang hadiah utama kempen “Protect & Win” dengan pelanggan dari Kelantan, Nur Anissa Ghazali yang membawa pulang sebuah kereta Proton X70 Executive TDGi baharu, manakala dua pemenang tempat kedua menerima set barang kemas Habib Jewel, yang setiap satu bernilai RM20,000.

Lima pemenang lain pula menerima hadiah berupa akaun deposit tetap iaitu Fixed Return Islamic Account-i (FRIA-i) berjumlah RM9,000 setiap seorang.

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, “Tahniah diucapkan kepada semua pemenang kempen “Protect & Win” Agrobank ini.

Di Agrobank kami berhasrat untuk menyediakan pengalaman perbankan yang tidak ternilai, tawaran faedah, ganjaran serta keistimewaan kepada pelanggan setia yang yakin dengan produk dan perkhidmatan kami.

Agrobank akan terus menjalankan kempen sebegini untuk memenuhi keperluan kewangan mereka dengan lebih baik,”

Bercakap mengenai kempen, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, selain memberi perlindungan dan kesedaran mengenai kepentingan Takaful, kempen “Protect & Win” Agrobank juga memberikan peluang yang adil kepada pelanggannya untuk memenangi lapan hadiah utama yang menarik, yang mana pemilihannya telah dijalankan melalui kaedah cabutan bertuah.

“Sepanjang tempoh kempen, kami menerima penyertaan berjumlah 20,000 akaun dan dengan penerusan kempen ini bagi tahun 2022 yang berdasarkan fi, kami menjangkakan angka ini akan meningkat bagi tahun 2022,” katanya.

Kempen “Protect & Win” Agrobank yang berlangsung antara 1 September 2020 hingga 31 Sepember 2021 telah dibuka kepada semua pelanggan sedia ada dan pelanggan Takaful dan/atau Kad Debit yang berpotensi untuk melanggan mana-mana produk berasaskan fi seperti Kad Agro VISA Debit-i, Takaful Kasih Plus, Agro Mabrur-i, Agro Madani, Agro Nurani, Agro Motor Takaful and Penulisan Wasiat.

Kesemua hadiah utama itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi dan Ketua Pegawai Perbankan Komersial Agrobank, Azman Md Isa dalam satu acara penyerahan yang diadakan di ibu pejabat Agrobank baru-baru ini.

Pada acara itu, selain pemenang hadiah utama, Nur Anissa, dua pemenang lain, Muhammad Shahrul Nizam Ismail dari Selangor dan Rafizzal Rahmat dari Kedah, masing-masing turut hadir untuk menerima set barangan kemas Habib Jewel.