Samsung baru-baru ini memperkenalkan tiga peranti baharu dalam siri Galaxy A sebagai pengganti kepada siri A terdahulu dengan beberapa penambahbaikan menerusi model Samsung Galaxy A73 5G, Galaxy A53 5G dan Galaxy A33 5G.
Galaxy A53 5G ialah salah satu dari tiga peranti baharu yang diumumkan dalam acara Galaxy Awesome Unpacked dan menjadi peranti yang menggantikan Samsung Galaxy A52 5G yang diperkenalkan pada awal tahun lalu.
Prebiu.com sekali lagi terpilih menjadi antara media pertama oleh Samsung Malaysia untuk menguji peranti model Galaxy A53 ini sebelum dilancarkan secara rasmi kepada umum.
Apa yang menarik pada peranti terbaharu dalam keluarga Galaxy A ini? Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah rekaan luaran dan spesifikasi lebih kepada ciri yang dinaik taraf daripada model A52.

Bagaimanapun, ciri inovasi pada A53 ini benar-benar lebih baik seakan memiliki ciri sebuah peranti premium meskipun peranti ini diletakkan dalam segmen peranti pada harga pertengahan.
Rekaan Kamera Unik
Nampak gayanya, Samsung masih lagi mahu terikat dengan rekaan sebelumnya dan kali ini rekaan lensa kamera belakangnya tidak terlalu menonjol dengan bingkai yang selari dengan warna badannya sekali gus kelihatan minimalis dan trendy.
Bagaimanapun, bonggol kamera A53 ini ‘sedap mata memandang’ dan kelihatan lebih kemas manakala kedudukan semua lensa kamera disusun rata dalam dua baris menegak dengan lampu LED flash pula diletakkan pada bahagian bawah.
Bagi penulis, rekaan luaran semua telefon pintar hampir sama cuma membezakannya hanya ‘enjin’ dan spesifikasi yang ditawarkan. Tentu sekali jurutera Samsung sudah melakukan terbaik untuk menghasilkan peranti mampu milik Galaxy A53 ini pada harga bawah RM2,000.

Rekaan Kontur Badan
Pada pandangan mata kasar penulis, kemasan pada peranti yang berukuran 159.6 x 74.8 x 8.1 mm ini lebih ringkas dan minimalis bersama penggunaan satu tona warna penuh secara menyeluruh seakan sebuah peranti untuk golongan muda yang aktif.
Walaupun kelihatan ringkas, kemasan pusam yang digunakan nampak premium dan tidak mudah meninggalkan kesan cap jari atau mudah kotor.
Peranti ini ditawarkan dalam empat pilihan warna berbeza yang menarik – iaitu Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White. Memang Ohsemkan!
Susun atur butangnya adalah standard dimana, butang kuasa dan laras suara hanya diletakkan pada bahagian sisi kanan manakala terdapat satu lubang mikrofon dan slot untuk SIM pada bahagian bawah.

Ruangan ini menyokong slot dwi-sim namun ia direka berasaskan hibrid melalui slot Nano-SIM (SIM1) + Nano-SIM/microSD (SIM2).
Peranti ini disambungkan dengan port USB-C pada bahagian bawah dengan lubang mikrofon dan juga pembesar suara. Lebih menariknya di sini, pembesar suaranya adalah stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Bagaimanapun, untuk peranti terbaharu ini tiada lagi bicu audio dibekalkan malah tiada juga kepala pengecas disertakan.
Spesifikasi
Samsung Galaxy A53 5G hadir dengan skrin bersaiz 6.5 inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), Infinity-O Display dan kadar segar semula 120 Hz.
Kapasiti storan adalah yang terbesar diberikan iaitu 256GB dan turut disediakan kemudahan untuk tambahan slot kad storan sehingga 1TB.
Untuk spesifikasi dalaman, Samsung Galaxy A53 menggunakan cip pemproses baharu Exynos 1280 dengan lapan teras. Konfigurasi teras terdiri daripada 2X2.4 GHz Cortex-A78 dan 6x teras Cortex A55 2.0 GHz dengan GPU Mali-G68.

Peranti seberat 189 gram ini juga dilengkapi memori 8GB RAM selain kemampuan kalis air IP67 dan bateri sebesar 5000mAh manakala
Bagi peranti A53 kali ini, Samsung tidak membekalkan kepala pengecas dan kabel bagi setiap pembelian yang menyokong pengecasan pantas 25W.
Ciri kamera dipertingkatkan
Samsung Galaxy A53 dilengkapi ciri kuad-kamera belakang gabungan 12MP + 5MP + 5MP + 64MP, sementara kamera swafoto 32MP (f/2.2). Konfigurasi kamera pada peranti ini ialah 64MP (f/1.8) – (Utama); 12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar); 5MP (f/2.4) – (Kedalaman) dan 5MP (f/2.4) – (Makro)
Kamera utamanya disokong oleh OIS (optical image stabilization) dan zoom digital sehingga 10 kali ganda manakala skrin diperbuat daripada Corning Gorilla Glass 5.

Harga pasaran
Samsung Galaxy A53 5G yang baru diperkenalkan di pasaran negara ini ditawarkan pada harga RM1,849 untuk 8GB RAM/256GB storan dalam empat warna menarik iaitu Awesome Peach, Awesome Blue, Awesome Black dan Awesome White.
* Nantikan ulasan lebih mendalam Samsung Galaxy A53 5G







































