Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) melancarkan Tiguan Allspace Elegance dan R-Line 4MOTION baharu. Kedua-dua model itu dipasang tempatan di Pekan, Pahang.
Sejak dilancarkan pada tahun 2017, Tiguan Allspace dengan tapak roda lebih panjang mencatat kejayaan buat Volkswagen apabila berjaya dijual sekitar 1.5 juta unit di seluruh dunia. Model tersebut mewakili 55% daripada keseluruhan produksi Tiguan.
Tiguan Allspace tujuh tempat sememangnya menawarkan ruang sangat luas yang mendahului kelasnya dengan 1,775 liter, selain pelbagai konfigurasi tempat duduk yang versatil. Sebagai sebuah SUV moden yang dinamik, ia merupakan teman terbaik buat mereka yang berkeluarga dan juga mereka yang mempunyai gaya hidup aktif.
Kedua-dua varian itu menerima gril yang telah direka semula, bampar hadapan baharu dan lampu utama lebih kemas. Naik taraf rekaan termasuklah jalur lampu LED, perkataan ‘Tiguan’ pada bahagian belakang dan logo baharu Volkswagen.
Penambahbaikan juga dapat dilihat pada ruang dalaman SUV berkenaan. Ini melibatkan sistem infohibur Discover Pro bersaiz 9.2” generasi baru yang menyokong ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, arahan suara, sistem navigasi binaan dalam dan banyak lagi.
Stereng sports multi fungsi kini boleh dioperasi melalui butang kawalan haptik untuk ketersambungan yang lancar. Butang-butang dan tombol panel pendingin hawa juga telah dinaik taraf.
Aspek keselesaan untuk pemandu dan penumpang hadapan dipertingkatkan menerusi tempat duduk dengan suhu aktif. Tempat duduk ventilasi ini menawarkan ciri penyejukan dan pemanasan untuk disesuaikan dengan cuaca semasa.
Antara sentuhan mewah yang hanya boleh didapati pada varian R-Line 4MOTION ialah sistem bunyi premium Harman Kardon 480-watt dengan 10 unit pembesar suara. Dengan bunyi treble serta bass yang sangat jelas, ia menawarkan pengalaman audio yang mengasyikkan menerusi empat profil audio dan mode keliling.
Pengalaman memandu varian Elegance pula lebih dinamik kerana ia kini didatangkan dengan pilihan mode pemanduan. Terdapat empat mode iaitu Eco, Normal, Sport atau Individual mengikut kecenderungan masing-masing.
Aspek keselamatan menjadi keutamaan dengan penambahan sistem Lane Assist pada kedua-dua model. Ia akan mengesan sekiranya kenderaan bergerak ke laluan lain tanpa indikasi, sebelum menggerakkan semula kenderaan ke laluan asal.
Sistem tersebut juga mengesan bucu jalan, bonggol, rumput tepi jalan dan garis jalan. Amaran dalam bentuk bunyi dan visual akan diaktifkan sekiranya pemandu tidak memberi sebarang maklum balas dalam tempoh tertentu.
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter percaya bahawa model-model baharu Tiguan Allspace merupakan pencabar kuat dalam segmennya. “SUV semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.
Kami nampak peluang untuk menawarkan SUV premium yang berbaloi kepada pengguna. Tiguan Allspace ialah sebuah SUV yang serba lengkap dan mampu menawarkan lebih lagi dari segi ruang, prestasi dan nilai.”
Sokongan selepas jualan merangkumi penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan lima tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun.
Semua pengedar Volkswagen di Malaysia akan menganjurkan acara di bilik pameran bermula 19 hingga 20 Mac sempena pelancaran model baharu ini. Pandu uji dan pelbagai aktiviti menarik menanti anda, jadi ketahui pengedar terdekat anda melalui https://www.volkswagen.com.my/dealer-locator.
Lampu LED
Lampu utama dan belakang ialah LED sepenuhnya. Ia menawarkan agihan cahaya lebih luas yang sesuai untuk pemanduan di bandar. Manakala lampu tinggi pula memberikan kecerahan dua kali ganda pada waktu malam atau di kawasan gelap. Lampu belakang juga hadir dengan indikator dinamik.
Untuk keselamatan tambahan dalam apa jua keadaan cuaca, lampu utama itu turut dilengkapi sistem lampu semua cuaca dan lampu membelok dinamik bagi menambah baik kualiti pandangan. Gugusan lampu belakang dengan lampu signatur tersendiri memberikan efek click-clack apabila brek ditekan.
Dalaman
Ruang dalaman Tiguan Allspace adalah mewah dan penuh fungsi. Tempat duduk dibalut dengan kulit Vienna bersama tambahan ciri Active Climate untuk pemandu dan penumpang hadapan. Tempat duduk hadapan juga boleh dilaras secara elektrik dengan 12 larasan.
Satu lagi ciri baharu ialah penukar gear yang telah direka baru. Posisi gear kini ditunjukkan pada paparan muka bersama iluminasi untuk memaparkan kedudukan gear semasa. Ia juga mudah dikendalikan.
Ketersambungan
Digital Cockpit bersaiz 11.7″ baharu dan telah ditambah baik itu menawarkan skrin yang lebih jelas. Terima kasih kepada paparan transistor filem nipis (TFT) berwarna yang juga diggunakan oleh telefon pintar premium.
Sistem infohibur pada kedua-dua model adalah sama, kecuali varian R-Line 4MOTION yang mempunyai paparan Off-road untuk menunjukkan data relevan dengan mode pemanduan ini.
Lampu ambien dengan 30 warna yang dinyalakan menerusi jalur lampu pada bahagian pintu mencetuskan atmosfera yang kontemporari dan peribadi bagi disesuaikan dengan apa jua mode pemanduan, keadaan atau mood individu.
Keselesaan dan Kemudahan
Sistem pendingin hawa Climatronic 3-zon dengan pelbagai mode dan fungsi Air Care memastikan perjalanan yang selesa buat semua penumpang.
Terbaharu dalam senarai ialah ciri Easy Open dan Easy Close. Direka untuk memberi kemudahan, ia membolehkan but dibuka tanpa menggunakan tangan dan ditutup dengan lebih perlahan.
Keselamatan
Tiguan Allspace dibina untuk memastikan keselamatan penumpangnya. Antara ciri keselamatan utama termasuklah enam beg udara (tujuh untuk varian R-Line 4MOTION), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Brek Bantuan (BA), brek multi pelanggaran, Sistem Maklum Balas Pelanggaran Pintar (ICRS) dan Brek Parkir Elektronik (EPB).
Lane Assist dan sistem Driver Alert juga standard untuk kedua-dua model. Manakala ciri Kawalan Menuruni Bukit dipasang pada R-Line 4MOTION.
Warna
Lima warna ditawarkan: biru (Atlantic Blue), putih (Oryx White), hitam (Deep Black), kelabu (Platinum Grey) dan perak (Pyrite Silver).
Reka bentuk
Elegance tampil menyerlah dengan banyak kemasan krom pada bahagian luarannya, trim sisi khas ‘Allspace’ dan perumah cermin sisi berwarna perak. Ia juga dipasang dengan rim aloi Frankfurt bersaiz 18 inci.
Prestasi
Prestasi Elegance berkisar tentang kuasa dan kecekapan. Ia menggabungkan enjin turbo 1.4TSI dengan kotak gear DSG 6-kelajuan yang mampu menjana kuasa 150PS dan tork 250Nm.
Penggunaan bahan api adalah sekitar 7.7l/100km.
Harga
Tiguan Allspace Elegance baharu ditawarkan pada harga RM174,745.68 dengan pengecualian cukai jualan sekarang.
Reka bentuk
Gayaan varian R-Line styling boleh dilihat pada bampar hadapan dan belakang, spoiler bumbung serta kemasan sisi. Penggunaan rim Valencia bersaiz 19 inci membuatkan penampilannya lebih garang.
Ruang dalaman R-Line 4MOTION dibezakan dengan gayaan R-Line bersama kemasan berwarna kelabu (Carbon Grey).
Prestasi
Pemanduan mantap R-Line 4MOTION di atas jalan dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI yang dipadankan dengan kotak gear DSG 7-kelajuan. Ia mampu menjana kuasa sehingga 220PS dan tork 350Nm. Kuasa itu disalurkan ke semua roda melalui sistem 4MOTION untuk kawalan dan cengkaman lebih baik.
Pilihan mode dengan Dynamic Chassis Control (DCC) membolehkan pemanduan dipersonalisasikan. Sebagai sebahagian daripada sistem 4MOTION, terdapat empat mode tambahan iaitu On-road, Off-road, Off-road Expert dan Snow. Ia dipadankan bersama stereng yang progresif untuk menawarkan meningkatkan pemanduan dinamik dengan belokan yang lebih tepat dan tajam.
Penggunaan bahan api adalah sekitar 8.6l/100km.
Harga
R-Line 4MOTION ditawarkan pada harga RM219,443.59 tidak termasuk cukai jualan.