Siapa sangka, satu ketika dahulu sibuk bergegas ke sana dan ke sini, tidak kira siang atau malam untuk mendapatkan bahan berita untuk sebuah akhbar terkemuka di tanahair ini.

Namun, semua itu kini hanya tinggal kenangan buat seorang lelaki berusia lewat 40-an yang kini beralih angin dengan menceburi bidang perniagaan yang boleh dianggap sebagai perkara baharu dalam hidupnya masa kini.

Mengambil sikap tidak mahu menoleh ke belakang, Esme Johari Wahab mengambil keputusan berhijrah ke Temerloh, sebuah daerah di Pahang yang terkenal dengan penghasilan ‘ikan patin’ untuk membuka sebuah kafe aiskrim dikenali sebagai Sugarscoop Ice Cream di Semantan Walk.

Gambar diambil menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy S22+

Kafe yang dibuka pada 1 Mac 2022 dengan bermodalkan duit pampasan bekerja lebih 20 tahun di Media Prima Berhad kini menawarkan lebih 20 jenis perisa aiskrim buatan tempatan dan dibantu oleh dua pekerja wanita.

Beliau yang lebih mesra dengan pangglan Jo berkata, kebanyakan aiskrim yang dihasilkan ini diadunkan sendiri menggunakan tepung khas dan mesin khas yang dibeli khusus untuk menghasilkan aiskrim bermutu tinggi serta halal.

“Banyak pengalaman baru apabila menceburi bidang perniagaan aiskrim ini dan saya memilih Sugarscoop kerana aiskrim ini cukup terkenal di Johor Bahru.

Gambar diambil menggunakan telefon pintar Samsung Galaxy S22+

“Justeru, saya mengambil keputusan menjadi usahawan francais aiskrim ini di Temerloh dan sesiapa yang berminat juga dipelawa menceburi perniagaan ini,” katanya yang menghias kafe ini menggunakan warna-warna ceria sebagaimana cerianya wajah-wajah pelanggan ketika menikmati aiskrim Sugarscoop.

Menurutnya, beliau juga bercadang untuk mempelbagaikan lagi menu berasaskan aiskrim  seperti wafel aiskrim, jagung manis dan minuman berkisar pada masa depan.

“Saya juga merancang untuk menambah kerusi atau sofa bagi kemudahan pelanggan bersantai di kafe ini. Saya mahu menjadikan kafe ini sebagai satu lokasi pertemuan sama ada bersama keluarga atau rakan malah boleh juga mengadakan pelbagai acara seperti pelancaran produk mahupun mengadakan majlis sambutan hari jadi atau reunion,” katanya.

Menurutnya, enam perisa aiskrim yang paling laris di Sugarscoop ialah Honeycomb, Lotus Biscoff, Nutella, Caramel Nuts, Oreo dan Milo.

Jo berkata, harga aiskrim yang ditawarkan di sini adalah berpatutan dan menepati citarasa rakyat Malaysia yang mahukan kelainan.

Jadi, apa tunggu lagi, bagi mereka yang singgah menikmati masakan ikan patin di Temerloh boleh singgah ke Sugarscoop Ice Cream yang terletak di Semantan Walk, Temerloh yang dibuka dari jam 11 pagi hingga 7 malam setiap hari kecuali Isnin.

Sugarscoop Ice Cream

Lokasi : Semantan Walk, Temerloh Pahang

Waktu Operasi: 11 am – 7 pm 

Tutup : Isnin