Kompleks Islam Darul Faizin (KIDaF) menerusi anak syarikatnya Al-Faizin Marketing, melancarkan tiga lagi variasi perisa Susu Kambing Faa-iz baharu ke pasaran tempatan.
Pengerusi KIDaF, Jafri Abu Bakar@Mahmud, berkata Al-Faizin Marketing bermula dengan susu Faa-iz biasa tanpa perisa selama lebih setahun di pasaran sebelum memutuskan keperluan untuk mengeluarkan susu yang berperisa.
“Jadi tiga perisa yang kita lancarkan adalah coklat, vanilla dan strawberi. Tiga perisa ini terhasil daripada kajian secara rambang ke atas pengguna dan pengedar susu Faa-iz,” katanya.

Jafri berkata, idea untuk membangunkan Susu Kambing Faa-iz tercetus di atas keperluan pemakanan dan alternatif menjana pendapatan untuk madrasah dan tidak hanya bergantung dengan kutipan sumbangan untuk kelangsungan operasi semata-mata.
“Cara terbaik adalah dengan memulakan perniagaan ini memandangkan KIDaF tidak mengenakan yuran kepada pelajar.
“Jadi saya memikirkan satu sumber alternatif, bak kata orang utara yang boleh mengalas perut sebelum dapat makan dengan sempurna. Selepas berbincang, kami merasakan minuman susu adalah yang paling sesuai dan susu yang terbaik adalah susu kambing,” katanya.
Beliau berkata, banyak kelebihan susu Faa-iz berbanding susu lain di pasaran termasuk penggunaan susu gred A.

“Ramai tahu akan kelebihan susu kambing sebagai ‘Miracle Food’. Susu terbaik di dunia selepas susu ibu ialah susu kambing. Jadi kita masukkan beras perang yang jarang-jarang dibuat orang.
“Tujuannya yang pertama adalah untuk menghilangkan bau hamis kambing dan keduanya membantu kita untuk merasa kenyang. Kita juga memasukkan kurma untuk memberikan tenaga segera, sekali gus bertujuan untuk menggantikan gula,” katanya.
Jafri berkata, Ginko Biloba turut dimasukkan untuk kecerdasan otak bagi manfaat pelajar yang menghafaz Al-Quran di Darul Faizin selain warga emas yang mampu meningkatkan ingatan selain garam bukit yang banyak khasiatnya sebagai penambah perisa.

“Apa yang lebih menarik, walaupun ia memiliki kelebihan sedemikian rupa namun harganya masih sangat berpatutan jika dibandingkan dengan produk lain di pasaran.
“Paling penting ia sesuai untuk semua peringkat umur daripada sekecil-kecil anak yang berusia seawal dua tahun sehinggalah kepada warga emas,” katanya.




































