Kehidupan moden masa kini yang sentiasa sibuk khususnya mereka yang sudah berkeluarga menyebabkan kadang kala kita tidak mempunyai masa untuk mengemas rumah.
Bagaimanapun, dengan kecanggihan dunia teknologi, masalah itu mungkin dapat diatasi dengan menggunakan peralatan atau peranti canggih terkini yang direka khas untuk memenuhi kehendak pengguna.
Apa yang penulis ingin memperkenalkan di sini ialah peralatan mengemas rumah berupa robot pembersih vakum yang memiliki pelbagai kelebihan dan fungsi keluaran Samsung.
Ciri menarik Samsung Jet Bot AI+ dengan Intel A.I. Driving
Robot vacum dengan kod siri VR50T95735W/ME dilengkapi ciri pengesanan objek menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang mana setiap kali peralatan ini bekerja ia akan membuat imbasan sensor tiga dimensi (3D) menerusi kamera hadapan.
Sensor ini yang akan terkeluar seakan sebuah antena akan membuat pemetaan struktur bilik dan halangan yang ada di atas lantai mahupun objek seperti kerusi, meja mahupun perabot dalam rumah malah mampu mengesan objek kecil seperti kabel atau objek hanya setinggi 1 sentimeter (cm).
Kuasa Pembersihan
Vakum robot ini mempunyai daya sedutan yang amat berkuasa kerana dilengkapi motor inverter digital dan struktur Jet Cyclone’s. Kelebihan ciri ini menjadikan kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan lebih efisyen dan cekap.
Peralatan ini juga akan bergerak sendiri di atas lantai dengan menghampiri sesuatu objek pada jarak paling hampir malah akan menjauhi mana-mana objek yang dianggap rapuh atau berbahaya.
Daya pembersihan ini turut dibantu oleh berus berefisyen tinggi yang mampu melakukan kerja-kerja membersihkan pelbagai jenis lantai termasuk karpet mahupun lantai jenis kayu tidak kira ruang itu besar atau kecil.
Ketika vakum ini diuji oleh Prebiu.com untuk membersihkan keseluruhan lantai rumah mendapati, peranti ini menghasilkan bunyi yang tidak terlalu bising dan bergerak sendiri tanpa sebarang kawalan melakukan kerja-kerja menyedut habuk.
Daya gerakan vakum ini juga cukup kuat menolak mana-mana kerusi meja yang menghalang laluan pergerakannya malah mampu melakukan kerja-kerja membersih selama sejam dengan pengecasan penuh.
Daya sedutan juga mengagumkan kerana ia mampu menyedut habuk-habuk halus dengan pantas dan paling menarik ialah peralatan ini akan kembali kepada ‘rumah’ atau port untuk tujuan pengecasan dengan sendirinya.
Sistem kuasa kawalan sedutan juga berfungsi secara automatik apabila mengesan sesuatu objek yang memerlukan kerja-kerja membersih khusus dengan meningkatkan kuasa sedutan seperti karpet menerusi ciri kawalan kuasa pintarnya.
Vakum robot ini dilengkapi berus yang diperbuat daripada benang tekstil woven yang lembut termasuk anti statik malah rekaan berus ini berupaya mengelakkan daripada helaian rambut terbelit dalam kedudukan berus berkenaan.
LiDAR Sensor
Fungsi pada vacum ini akan melakukan kiraan lokasi atau ruang dengan tepat bagi memastikan kerja pembersihan dilakukan dengan cekap. Sensor LiDAR yang akan terkeluar setiap kali suis ditekan akan mengimbas keadaan bilik dengan mengumpul maklumat saiz ruang agar pergerakannya lebih efisyen dan dapat mencapai segala sudut dalam rumah berkenaan.
Vakum seberat 4.4 kilogram dengan saiz 305mm (lebar) X 320mm (panjang) dan 120mm (tinggi) ini dibekalkan dengan bateri lithium-ion 21.6V mampu beroperasi maksimum selama 60 minit manakala operasi normal mampu mencapai sehingga 90 minit.
Tempoh masa pengecasan pada vacum ini adalah selama 210 minit malah boleh disambungkan kepada Wi-Fi pada jarak 2412-2474 MHz sekali gus boleh dihubungkan dengan peranti telefon pintar Samsung menerusi aplikasi SmartThings.
Menerusi sambungan kepada aplikasi ini, anda boleh mengawal daya sedutan vakum ini menerusi peranti telefon pintar dari jauh malah boleh mengetahui tahap bateri vakum berkenaan.
Menerusi SmartThings juga, anda boleh mengawal pergerakan vacum robot ini malah boleh menggunakan fungsi kamera pada vacum ini untuk melihat keadaan ruang rumah secara terus.
Menerusi kamera ini, anda boleh melihat dimana haiwan kesayangan anda berada seperti kucing seolah-olah bertindak seperti kamera kawalan keselamatan (CCTV).
Apa yang menarik ialah anda boleh mengetahui tahap bateri pada vakum ini dan juga memilih kuasa sedutan dengan semua kawalan boleh dilakukan dihujung jari. Menarik bukan!
Ciri tambahan lain pada peranti ini turut dipadankan dengan ciri mod penjimatan tenaga, mod kawalan masa, mod kawalan jadual pembersihan, kawalan zon dan pembersihan bersasar.
Stesen Pengecasan
Sementara itu, port pengecasan pula dilengkapi kotak mengumpul habuk setinggi 525mm yang mempunyai daya kuasa sedutan sehingga 1,000 Watt dan tempoh beroperasi kira-kira 18 saat.
Setiap kali vakum ini kembali ke port pengecasan, habuk yang dikumpulkan akan disedut keluar daripada kotak habuk yang akan dikumpulkan pada bahagian khas port pengecasannya.
Secara ringkasnya, vacum ini akan mengosongkan habuk dalam kotak simpanannya menggunakan teknologi ‘Air Pulse’ sebaik sahaja ‘melekat’ pada port pengecasan. Vakum ini akan kembali melakukan kerja pembersihan apabila sudah mencapai pengecasan penuh.
Anda hanya perlu mengosongkan kotak habuk ini setiap satu hingga tiga bulan dan stesen pengecasan ini dilengkapi sistem penapisan habuk pelbagai lapisan dengan ciri keupayaan memerangkap 99.999% habuk halus dan elergen.
Stesen pengecasan dan pembersihan ini mempunyai beg habuk bersaiz 2.5 liter manakala sistem multi cyclone ini boleh dicuci sepenuhnya menjadikan peralatan vacum anda sentiasa bersih.
Kesimpulan
Kesempatan menguji vakum robot ini amat menyeronokkan kerana fungsi canggihnya yang berupaya melakukan kerja-kerja pembersihan secara automatik sekali gus menjadikan ruang lantai rumah sentiasa bersih.
Pada harga RM4,999 seunit, penggunaan peranti ini dilihat sesuai bagi mereka yang membela haiwan di dalam rumah seperti kucing atau anjing kerana fungsi vakum ini akan beroperasi secara automatik.
Peranti ini juga mudah dikawal dan diakses dengan sambungan kepada telefon pintar menerusi aplikasi SmartThings manakala kamera vakum ini boleh menjadi ‘mata’ untuk melihat keadaan rumah secara terus dan masa terkini.
Bagi anda yang memang tiada masa untuk mengemas rumah, vakum robot ini boleh membantu meringankan tugas seorang suri rumah yang bekerja serta pada masa dapat menjimatkan kos menggunakan khidmat pembantu rumah.
Selain itu, jika anda mempunyai rumah yang besar, penggunaan vakum ini juga satu kelebihan kerana ia akan bergerak dengan kawalan sendiri melakukan kerja pembersihan di setiap sudut rumah.