Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama para ahli dan rakan strategiknya telah menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di daerah Hulu Langat.

Program “Franchise CSR: SOS For Flood Victims” telah berjaya mengumpulkan bantuan banjir bernilai RM40,000 yang meliputi pek makanan sedia dimakan, pelbagai barangan termasuk peralatan elektrik, pakaian, set beribadah, selimut, barangan cucian serta lampin kanak-kanak dan dewasa.

Setiausaha Agung MFA, Mohamad Shukri Salleh berkata, program “Franchise CSR: SOS For Flood Victims” dilaksanakan apabila melihat keadaan banjir yang luar biasa pada tahun ini dan telah mengakibatkan ribuan mangsa terkesan.

“Kita berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mangsa banjir yang terlibat. MFA amat berterima kasih dengan semua penyumbang kerana turut cakna akan nasib masyarakat sekeliling walaupun ada diantara mereka yang turut terjejas akibat bencana banjir yang menimpa negara, ” katanya dalam kenyataan.

Bagi menjayakan program ini, MFA telah mendapatkan kerjasama daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir yang terkesan.

Semua sumbangan adalah hasil keprihatinan daripada Senheng, Harta Rovers, CIC-Where Leaders Are Born, Cambridge English for Life, OLDTOWN White Coffee, Global Art, Hot & Roll, Q Bistro, Nydot Marketing, NURI, Penyetpenyet.com dan Domino’s.

Program Franchise CSR merupakan program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh MFA bagi menzahirkan komitmennya untuk membantu golongan yang memerlukan atau yang tidak bernasib baik.