Pengerusi NGO Antarabangsa yang juga Profesor Adjung UMT, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Hasnol Zam Zam Ahmad di pejabatnya, di Putrajaya.

Menurut Hasnol Zam Zam, semua barang kawalan dalam pemantauan Kementerian dan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berlakunya kenaikan harga barang.

“Semua barang-barang berkenaan dalam kawalan Kerajaan. Kementerian sentiasa mengutamakan rakyat, tambahan pula ramai rakyat yang susah ketika ini khususnya ketika berdepan dengan wabak Pandemik Covid-19.

Mustapha (kiri) ketika mengadakan pertemuan kepada Dato Sri Hasnol Zam Zam Ahmad di pejabatnya di Putrajaya

Menurut Mustapha keprihatinan kementerian amatlah dihargai malah memohon jasa baik supaya kerajaan perlu juga melihat keperluan asas yang lain seperti ikan, daging, ayam, sayur-sayuran dan buah buahan kerana kerap kali peniaga didapati menaik dan menurunkan harga sesuka hati yang akan membebankan pengguna.

Hasnol Zam zam berkata, kementeriannya sentiasa mendengar dan mengambil perhatian semua permasalahan rakyat malah bahagian penguatkuasa sentiasa turun padang untuk memastikan kawalan harga patut setiap barang mesti dipamerkan supaya pengguna dapat memilih untuk membeli sesuatu barang dengan yakin.

Mustapha dalam pada itu turut menzahirkan ucapan terima kasih diatas usaha-usaha yang dibuat oleh kementerian bagi menjamin hak pengguna demi kepentingan atas semangat Keluarga Malaysia.

“Saya berharap semua pihak perlu bekerjasama membantu kementerian sekiranya ada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sewenang-wenangnya.

“Pihak berkenaan perlulah melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada peniaga yang menyorokkan barang-barang penting seperti minyak masak, gula, tepung dan sebagainya,” katanya.