Pengerusi NGO Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican yang juga Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersama pensyarah dan pelajar-pelajar Politeknik Banting serta seorang usahawan kecil dari Putrajaya, Mohd Zaini Mohd Sani turun padang bagi membantu mangsa banjir di Dengkil, Selangor.

Mangsa banjir menerima bantuan makanan dan minuman yang disalurkan kepada beberapa buah taman yang terjejas teruk akibat banjir yang berlaku di luar jangkaan pada Sabtu lalu.

Dr Mustapha berkata, antara taman-taman yang terlibat ialah Taman Mas, Taman Kristal 1, Taman Kristal 2 dan Taman Kristal 3 dan yang paling teruk terjejas ialah Taman kristal 2 kerana taman ini berhampiran dengan kawasan sungai.

Mustapha (tengah) bersama Mohd Zaini Mohd Sani (kanan sekali) membantu membersihkan rumah penduduk di Taman Kristal 2, Dengkil

“Banyak barang-barang seperti perabot, barangan elektrik mengalami kerosakan termasuk kenderaan seperti kereta dan motorsikal. Hampir beratus keluarga terkesan dengan keadaan banjir yang berlaku di kawasan ini.

“Saya menyeru agar semua pihak memainkan peranan dan sama-sama kita membantu mereka. Bantuan boleh dilakukan sama ada menerusi sumbangan wang tunai, sumbangan tenaga dan sebagainya agar kita dapat meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir ini,” katanya lagi.