Honda Malaysia secara rasminya melancarkan City Hatchback Serba Baharu yang akan membawa pasaran hatchback segmen B ‘Selangkah Ke Hadapan’ (A Step Above), menerusi rekaan sporty, teknologi e:HEV dan ciri-ciri termaju yang pertama dalam segmennya.
Diperkenalkan dalam empat varian – RS e:HEV, V, E dan S; City Hatchback Serba Baharu akan menetapkan satu lagi penanda aras di dalam industri. Ia disasarkan kepada golongan muda yang mahukan sebuah hatchback yang sporty dan premium.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata, “Hari ini, Honda Malaysia akan mencipta satu lagi sejarah penting dengan menawarkan model City yang popular dalam bentuk sebuah hatchback.

Sejak bertahun-tahun menerusi generasi yang lalu, City telah berevolusi dan menjadi salah satu model sedan segmen B yang paling diminati di Malaysia. Lebih daripada 380,000 unit telah terjual di pasaran Malaysia sejak City Generasi ke-2 diperkenalkan pada tahun 2002.”
“Kami sangat teruja untuk melancarkan model terbaharu kami yang cukup menarik perhatian, City Hatchback Serba Baharu. Ia akan menjadi sebuah model yang akan menetapkan trend menerusi teknologi termaju yang pertama dalam segmennya, ciri-ciri premium, versatiliti konfigurasi ULTRA Seats dan yang paling penting sekali, ia sangat seronok dipandu. Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa setakat hari ini kami sudah menerima sebanyak 2,000 unit tempahan City Hatchback Serba Baharu,” katanya.
Dari segi penampilan, City Hatchback Serba Baharu yang sporty dan bergaya ini direka dengan konsep ‘Energetic Hatchback’ agar tampil aktif, bergaya dan versatil, sekali gus mampu menawarkan kepelbagaian yang dimahukan daripada sebuah hatchback.
Rekaan luaran ‘RS’ yang eksklusif pada hatchback ini memberikannya gayaan sporty untuk varian RS e:HEV. Varian paling tinggi itu akan menerima kemasan Hitam Berkilat pada Gril Hadapan, Solid Wing Hitam dan Perumah Cermin Sisi untuk memberikan ekspresi warna badan dua tona.

Ia juga tampil dengan rekaan RS e:HEV yang eksklusif menerusi Gril Bawah, Perumah Lampu Kabus dan Bampar Belakang. Varian RS e:HEV dan V didatangkan dengan Lampu Utama LED bersama Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED, Lampu Kabus Hadapan LED, Spoiler Belakang serta Lampu Belakang LED. Kedua-dua varian itu juga dipasang dengan Rim Aloi bersaiz 16-inci yang menyempurnakan lagi penampilan kemas sebuah hatchback.
Dari segi prestasi pula, City Hatchback Serba Baharu dilengkapi dengan teknologi e:HEV Honda untuk varian RS. Dijana oleh rangkaian kuasa 1.5L Sports intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) dan dipadankan dengan transmisi Electric Continous Variable Transmission (e-CVT), ia mampu menjana kuasa sebanyak 109PS dan tork mencecah 253Nm, paling tinggi dalam segmennya dimana kuasanya setara dengan tork kuasa enjin Aspirasi Natural segmen D.
Rangkaian kuasa e:HEV akan membawakan pengalaman pemanduan ke satu tahap baru kepada pemandu dengan pecutan yang lancar dan penjimatan bahan api luar biasa.
Sebagai tambahan, sistem hibrid 2-motor Honda yang unik dan canggih itu boleh bertukar diantara tiga mod pemanduan iaitu Pacuan EV, Pacuan Hibrid dan Pacuan Enjin secara bergilir-gilir dengan penuh kecekapan bergantung kepada kondisi pemanduan.
Bagi varian Petrol V, E dan S City Hatchback Serba Baharu, ia menggunakan enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang mampu menjana kuasa sebanyak 121PS, paling tinggi dalam segmennya dan tork maksimum 145Nm.
Enjin yang efisien ini menawarkan keseimbangan ideal di antara prestasi pemanduan yang menyeronokkan dan penjimatan bahan api untuk sebuah hatchback.
Bukan itu sahaja, pasukan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Honda telah berjaya membina ketegaran badan City Hatchback Serba Baharu yang 6% lebih kukuh berbanding Jazz bagi menawarkan kerangka yang berketegaran tinggi untuk keselamatan jika berlaku pelanggaran. Untuk memberikan kabin yang lebih senyap kepada pemandu dan penumpang, tiang A dan B City Hatchback Serba Baharu telah diisi dengan semburan busa polyurethane.
Selain bahan penyerap bunyi dengan pelbagai ketebalan dipasang pada bahagian bawah ruang enjin untuk mengurangkan bunyi dan getaran.

Ruang dalaman City Hatchback Serba Baharu menawarkan gayaan yang sofistikated menerusi penggunaan tekstur yang berkualiti tinggi, penuh fungsi dan praktikal. Kabin varian RS e:HEV hadir dengan tempat duduk Ultrasuede®*¹ yang sporty bersama Jahitan Benang Merah pada kemasannya.
Manakala ruang dalaman varian V pula didatangkan dengan Tempat Duduk Kulit*¹. Varian RS e:HEV juga menampilkan Paparan Kluster Meter (TFT) Interaktif berukuran 7-inci yang menawarkan akses mudah ke atas maklumat pemanduan berdasarkan kepada keperluan pemandu.
Satu lagi ciri yang pertama dalam segmennya dan ada pada varian RS e:HEV ialah Corong Pendingin Hawa Belakang untuk keselesaan penumpang belakang. Varian RS e:HEV, V dan E dilengkapi Paparan Audio berukuran 8-inci yang boleh dipadankan bersama Apple CarPlay™ dan Android Auto™*², selain Panel Pendingin Hawa Automatik serta 2 Port USB pada bahagian bawah poket untuk memberi lebih kemudahan.
Menawarkan keselesaan dan kemudahan, ciri dalaman popular dan disukai ramai yang sama seperti Jazz, ULTRA Seats kini ada pada City Hatchback Serba Baharu. Empat mod ULTRA Seats yang versatil itu boleh dikonfigurasi menjadi mod Utility, Long, Tall atau Refresh.
ULTRA Seats membolehkan pemilik menukar mod konfigurasi tempat duduk untuk kegunaan yang berbeza dengan mudah dan pada masa sama menggunakan kapasiti but seluas 289 liter.
Satu lagi ciri canggih yang menetapkan penanda aras dalam hatchback segmen B ialah Brek Parkir Elektrik pada varian RS e:HEV. Pemilik varian RS e:HEV, V dan E juga boleh menghidupkan enjin serta pendingin hawa dari jauh sebelum masuk ke dalam kabin kereta melalui ciri Penghidup Enjin Kawalan Jauh.
Pertama dalam kelasnya dari segi keselamatan, City Hatchback Serba Baharu menampilkan ciri Honda LaneWatch pada varian RS e:HEV dan V. Teknologi keselamatan berasaskan kepada kamera itu memantau kehadiran kenderaan pada bahagian kiri kereta dan mengurangkan titik buta menerusi visual yang dipaparkan secara langsung pada sistem infohibur.

Varian City Hatchback RS e:HEV Serba Baharu juga hadir dengan ciri keselamatan termaju yang paling lengkap dalam segmennya iaitu Honda SENSING. Senarai sistem bantuan keselamatan pemandu di dalam Honda SENSING termasuklah:
- Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control)
- Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (Collision Mitigation Braking System)
- Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (Forward Collision Warning)
- Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System)
- Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation)
- Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning)
- Lampu Tinggi Auto (Auto High Beam)
Sebagai tambahan, City Hatchback Serba Baharu juga hadir dengan beberapa ciri keselamatan standard yang lain seperti Bantuan Kestabilan Kenderaan (Vehicle Stability Assist), Sistem Brek Anti-Kunci (Anti-lock Braking System), Agihan Brek Elektronik (Electronic Brake Distribution), Bantuan Brek (Brake Assist), Amaran Berhenti Kecemasan (Emergency Stop Signal), Bantuan Mula Mendaki (Hill Start Assist) dan ISOFIX Tempat Duduk Belakang I-SIZE Type dan Amaran Tali Pinggang Keledar pada tempat duduk belakang. Varian RS e:HEV dan V dilengkapi dengan 6 beg udara.
Varian RS e:HEV juga menerima ciri tambahan Brek Pegun Automatik (Auto Brake Hold) yang memberi lebih kemudahan kepada pemandu ketika dalam situasi trafik bergerak dan berhenti.
City Hatchback Serba Baharu merupakan model kedua Honda Malaysia selepas City Sedan RS e:HEV yang menampilkan Honda CONNECT, satu teknologi inovatif termaju yang menjamin aspek keselamatan, sekuriti dan kemudahan.
Buat pertama kali dalam segmennya, rangkaian penuh sistem telematik ada ditawarkan pada model ini. Dengan mengaplikasikan Teknologi Telematik pintar, Honda CONNECT membolehkan pengguna berhubung dengan kereta mereka menerusi satu sentuhan pada aplikasi telefon bimbit.
Teknologi yang ada pada Honda CONNECT membuktikan visi Honda untuk menawarkan nilai kepada aspek mobiliti dan kehidupan seharian manusia. Fungsi-fungsi utama teknologi Telematik pada Honda CONNECT termasuklah Diagnostik Kenderaan, Aplikasi Jarak Jauh, Aplikasi Keselamatan, Pemantauan Kenderaan dan Perkhidmatan Sokongan – semua ini bertujuan untuk memudahkan akses pemilik ke atas kenderaan dan maklumatnya pada setiap masa.
Harga City Hatchback Serba Baharu adalah seperti berikut:
| Varian | Harga Selepas Pengecualian Cukai Jualan (RM)*3 |
| V | 87,860.00 |
| E | 83,080.00 |
| S | 75,670.00 |
Varian RS e:HEV akan ditawarkan pada awal tahun 2022. Jadi, Honda Malaysia akan mengumumkan harganya apabila tempoh penyerahan dilakukan kelak.
City Hatchback Serba Baharu kini hadir dengan warna baharu yang diperkenalkan oleh Honda Malaysia iaitu merah*⁴ (Ignite Red Metallic) dan kelabu*⁴ (Meteoroid Gray Metallic). Pilihan warna lain untuk City Hatchback Serba Baharu ialah putih mutiara*⁴ (Platinum White Pearl), perak (Lunar Silver Metallic) dan hitam mutiara (Crystal Black Pearl).
Dengan rekaan hatchback baharu yang menarik dan pakej lengkap ‘Selangkah Ke Hadapan’ yang ditawarkan, City Hatchback Serba Baharu sememangnya ideal untuk keluarga dan eksekutif muda yang menjalani gaya hidup aktif, serta mahu menikmati pemanduan harian yang bergaya dan sporty.
Honda Malaysia menyasarkan untuk menjual sebanyak 1,000 unit City Hatchback Serba Baharu sebulan.
*¹ Kombinasi Kulit
*² Android Auto™ akan ditawarkan selepas perkhidmatannya dilancarkan secara rasmi di Malaysia
*³ Harga anggaran di atas jalan tanpa insurans. Tempoh Pengecualian Cukai Jualan akan berakhir pada 30 Jun 2022. Tertakluk pada terma dan syarat.
*⁴ Varian RS e:HEV hanya ditawarkan dalam warna-warna ini sahaja





































