Aveta Global Marketing Sdn. Bhd. secara rasminya melancarkan sebuah model moped terbaharu, yang dikenali dengan nama Aveta V13R 2021.

Model tersebut ditawarkan dalam empat pilihan warna menarik, dengan harga jualan asas yang cukup berpatutan iaitu sebanyak RM 6,688.00 sahaja.

Aveta V13R ini merupakan model kelima keluaran Aveta selepas DY90, RX110, VS110 dan Ranger 110.

Aveta dalam kenyataannya berkata, pihaknya menaruh harapan tinggi pada model baru ini bagi meningkatkan jualan sehingga hujung tahun ini.

“Dijangka model ini akan menyumbang jualan kira-kira 400-500 buah sebulan,” kata Aveta.

Aveta V13R ini dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 124cc, bersilinder tunggal berkaburator dengan sejukan udara selain dipadankan transmisi empat kelajuan.

Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 7.8hp @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 8.5Nm @ 5,500rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 4.5 liter.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut termasuklah sistem lampu LED dengan lampu depan jenis Daytime Running Light (DRL), panel meter baharu dengan reka bentuk yang menarik, port pengecas USB, brek cakera depan dengan kaliper dual piston, rim aloi yang bergaya, rekaan muffler ekzos terbaharu dan ekor belakang yang sporty.

Model ini didatangkan dengan tempoh jaminan selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 kilometer atau yang mana tiba dahulu.

Menurut Aveta, model tersebut akan tiba di bilik pameran pengedarnya di seluruh negara bermula 29 November ini.