Platform gaya hidup digital dan perjalanan yang berkembang paling pesat di rantau ini, airasia Super App hari ini melancarkan airasia xpress – perkhidmatan terbaharu iaitu penghantaran barangan pantas, mudah dan dengan harga berpatutan kepada pengguna. Perkhidmatan airasia xpress dikuasakan oleh Teleport, cabang logistik airasia.

Sebagai permulaan, airasia xpress akan meliputi Lembah Klang dan enam bandar utama lain di seluruh negara iaitu Melaka, Johor Bahru, Kota Bharu, Pulau Pinang, Ipoh dan Kota Kinabalu. Penghantaran antara bandar, antara negeri dan antarabangsa pula akan menyusul tidak lama lagi.

Berjuta-juta pengguna airasia Super App kini boleh memilih antara perkhidmatan penghantaran segera (di bawah satu jam) dan penghantaran pada hari yang sama (dalam masa 4-6 jam) menggunakan motosikal dan kereta.

Di bawah airasia xpress, perkhidmatan penghantaran dipermudahkan dengan hanya 4 langkah: Klik ikon “Xpress” pada airasia Super App, isikan butiran tempat pengambilan dan tempat penghantaran, pilih kaedah pembayaran dan sahkan tempahan anda.

airasia xpress dilancarkan hari ini oleh Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, bersama Pete Chareonwongsak, Ketua Pegawai Eksekutif Teleport dan Lim Ben-Jie, Ketua Penghantaran (e-Dagang), airasia Super App.

Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App berkata, “Di airasia, kami terus berinovasi untuk menawarkan kemudahan, nilai dan peluang untuk berjuta-juta pengguna aplikasi ini.

Sebagai sebuah aplikasi penggunaan harian, airasia Super App menjadikan kehidupan para pengguna lebih mudah melalui pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan dan memastikan semua transaksi dalam talian terjamin dan selamat”