Syarikat penerbangan kargo tempatan, My Jet Xpress Airlines Sdn Bhd (MyJet) melabur RM100 juta dalam membeli dua lagi pesawat baharu dalam menampung pengembangan operasinya di negara ini.

Pengerusi Eksekutif MyJet, Mohamed Yunos Mohamed Ishak berkata, dua pesawat terbaharu itu melibatkan Boeing 737-300F dan 737-800F yang akan diperolehi secara berperingkat selewatnya Februari tahun depan dan akan membawa kargo dari China.

Katanya, Boeing 737-800F mampu membawa muatan sehingga 21 tan dengan tempoh jangkauan penerbangan pesawat itu melebihi enam jam.

“Setakat ini, terdapat empat pesawat sedia ada di Malaysia dengan tambahan dua lagi yang baharu dengan jumlah keseluruhan untuk operasi tempatan sebanyak 6 buah pesawat.

“Berhadapan lonjakan permintaan semasa, kami bakal menambah lebih kurang 4 perjalanan baru ke Shandong, Wuhan, Xiamen dan Shenzen seterusnya dari Kuala Lumpur ke India.

“Kami akan menambah 2 pesawat baru untuk operasi di Malaysia, 1 pesawat bagi operasi di Filipina dan 2 pesawat lagi di Indonesia,” katanya dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kerry logistics Network, Mathieu Biron berkata inisiatif ini adalah contoh terbaik menyokong pelanggan yang semakin meningkat.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada My Jet Xpress atas kerjasama ini, dan berharap dapat mengembangkan serta menyokong pasaran dengan perkhidmatan berjadual dari Kuala Lumpur dan Shenzhen ke destinasi dalam Asia Tenggara dan benua kecil India,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir pada majlis sambutan kerjasama pihaknya bersama Kerry Logistics Network (KLN) Limited dan 200 penerbangan Kota Kinabalu ke Macau yang disempurnakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir. Turut hadir Pengarah KLN Malaysia, Alan Ng.

Pada majlis tersebut, sebanyak RM47,000 turut disumbangkan kepada pasukan barisan hadapan dan madrasah waqaf islamiah Sabah.

Kata Mohamed Yunos, keperluan pengembangan operasi amat mendesak susulan tiga faktor utama iaitu pembelian barangan dalam talian, pertambahan jumlah barangan dan penerbangan penumpang yang kurang.

Tambah beliau, pihaknya akan menggunakan Kota Kinabalu di sini sebagai platform susulan jarak dekat dengan selatan China.