Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia menyifatkan lima calon Wanita yang diketengahkan iaitu tiga dari Wanita UMNO dan masing-masing satu dari Puteri dan MCA mempunyai faktor ‘WOW” untuk menang.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, walaupun calon Wanita PRN Melaka kali ini sekadar 18 peratus daripada keseluruhannya pencalonan BN, namun kekuatan kepada kelima-lima calon Wanita ini sangat penting bagi menyumbang kepada kemenangan BN di dalam PRN Melaka nanti.

Beliau yang juga Ketua Wanita Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang berkata, calon-calon Wanita BN adalah calon yang dinamik dan mempunyai imej segar dalam membawa kepada pembaharuan demi kebaikan pengundi.

“Kekuatan jentera Jalinan Rakyat (JR) dan JR Plus adalah sumber mendekati pengundi dalam keadaan kempen pilihan raya dalam norma yang baharu.

“PRN Melaka ini tidak pernah dilakukan BN dalam mana-mana pilihan raya sebelum ini malahan menampakkan komitmen BN untuk melakukan perubahan demi rakyat Melaka. Ciri yang paling utama kali ini diketengahkan ialah calon yang setia kepada parti,” katanya.

Beliau berkata, aspirasi BN mengetengahkan 49 peratus calon berusia 50 tahun ke bawah yang memperlihatkan calon-calon muda ini boleh menawarkan perkhidmatan terbaik dan kuat bekerja untuk rakyat selari dengan slogan BN – “Kestabilan Demi Kemakmuran”.