Kenderaan SAV (Sports Activity Vehicle) elektrik bersaiz sederhana yang dinanti-nantikan daripada generasi BMW i terbaharu hadir dalam bentuk dua varian yang eksklusif untuk membekalkan kuasa, prestasi, dan gaya yang lebih lestari, sekali gus menjamin kepuasan pemanduan elektrik yang sempurna buat para pemilik.
BMW Malaysia pada hari ini telah mengumumkan ketibaan sepasang varian jentera BMW iX3 yang unik, kedua-duanya sedia untuk dipratempah di pusat-pusat pengedaran BMW bertauliah yang terpilih di seluruh negara.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Ketibaan BMW iX3 yang sulung adalah benar-benar signifikan bersama dua varian yang berbeza ini, ia membekalkan Kuasa Pilihan kepada para pelanggan setia kami serta peminat mobiliti elektrik di Malaysia – tanpa mengkompromikan kuasa, prestasi, mahupun ciri keselamatan.
Berserta dengan barisan kenderaan BMW i lain yang akan menyusul, BMW iX3 yang sulung bakal melahirkan generasi pemilik kenderaan elektrik (EV) di Malaysia yang baharu, turut digalakkan oleh jentera SAV elektrik tulen ini yang mempersembahkan pelbagai kemungkinan dengan kualiti luar biasanya dalam aspek inovasi dan bahasa reka bentuk untuk menjadikan Pengalaman Pemilikan Premium Elektrik yang dijanjikan
oleh kami sesuatu yang lebih mengujakan.”
Hadir dalam varian Inspiring dan Impressive, kedua-dua varian tersebut akan dilengkapi dengan pakej M Sport sebagai standard, lantas menawarkan bahasa reka bentuk eksterior yang serba ekspresif juga lebih dinamik.
Dikuasakan oleh motor elektrik dengan bateri ion litium 80 kWj, BMW iX3 yang sulung membekalkan jarak operasi sejauh 461 kilometer (WLTP). BMW iX3 yang sulung
juga menyokong pengecasan DC segera dengan kadar setinggi 150 kW untuk pengecasan sehingga 80% dalam tempoh 32 minit, manakala pengecasan AC dengan kadar setinggi 11 kW disokong melalui sambungan Type 2 untuk pengecasan sehingga 100% dalam tempoh sekitar tujuh setengah jam.
Harga BMW iX3 yang sulung di Semenanjung Malaysia ditetapkan pada RM 335,800.00 bagi varian Inspiring, dan RM 354,800.00 bagi varian Impressive – kedua-duanya didatangkan dengan tawaran Inklusif Servis & Pembaikan BMW: Waranti Lanjutan 5 Tahun dan Pakej Servis 6 Tahun, termasuk Power Package yang ditawarkan bersama BMW i Wallbox dan Kabel Pengecas Standard BMW.
Para pemilik BMW iX3 yang sulung juga dapat menikmati tawaran waranti bateri 8 tahun, 160,000 km.





































