Auto Plus 4×2 1.9 liter disasarkan untuk pengguna yang pentingkan nilai, perbatuan tinggi

Dahulu, trak pikap hanya dilihat sebagai kenderaan asas dan digunakan untuk menjalankan tugas tanpa mengira keadaan. Banyak di antaranya juga sangat sinonim dengan kebisingan, asap tebal serta kabin yang tidak selesa.

Keadaan seperti ini sebenarnya sudah lama ditangani oleh pengeluar seperti Isuzu yang telah banyak melabur unutk membangunkan sebuah trak pikap yang menawarkan tahap keselesaan lebih tinggi, canggih dan selesa tanpa perlu mengorbankan kekuatan terasnya.

Generasi ketiga Isuzu D-Max serba baru adalah cerminan paling sempurna terhadap kemajuan yang dimaksudkan itu. Ia telah berkembang menjadi sebuah trak pikap yang menonjol, bergaya dan maju, sekaligus menyanggah pemahaman biasa terhadap jenis kenderaan ini.

Tahapnya keseluruhannya juga kini jauh lebih tinggi, tetapi masih mengekalkan DNA Isuzu dalam rekaan serta binaannya.

Menyertai barisan Isuzu D-Max sedia ada hari ini ialah varian terbaru dengan pacuan 4×2; Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L.

Dengan hanya 28% pengguna trak pikap di Malaysia yang kerap menggunakan sistem 4×4 pada kenderaan mereka, varian 4×2 ini merupakan varian paling ideal yang menawarkan rintangan golekan yang rendah berbanding sistem pacuan yang lebih ringkas, dengan pengurangan beberapa komponen yang perlu diselenggara serta lebih ringan menjadikan model ini sangat sesuai untuk kegunaan urban, pemanduan jarak jauh serta untuk pemilik yang hanya kerap memandu di permukaan berturap.

“Dalam waktu mencabar ini, Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L baru memberikan kelegaan yang lain dalam menawarkan pakej lebih mampu milik, dengan kemampuan sama serta penampilan menarik.

Varian D-Max baru yang diperkenalkan hari ini akan menjadi satu-satunya penawaran 4×2 dalam kelasnya yang datang dengan transmisi automatik,” kata Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo.

Dengan menggugurkan transfer case, differential depan dan sistem pacuan sampingan, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L hanya mempunyai berat 1,830 kg, pengurangan 85 kg berbanding model pacuan 4×4 biasa.

Dengan spesifikasi yang sama seperti varian D-Max Standard 4×4 1.9L Auto, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L dikuasakan oleh enjin RZ4E-TC 1.9 liter yang menghasilkan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork antara 1,800-2,600 rpm.

Enjin menakjubkan ini telah menerima pengiktirafan global untuk prestasinya walaupun dalam kapasiti yang kecil, menghantar kuasa ke roda belakang melalui kotak gear automatik enam-kelajuan.

Nisbahnya sama seperti varian 4×4 dan telah dipadankan dengan teliti untuk menepati karekteristik prestasi dinamik enjinnya. Hantaran tork yang mendatar dan respon pendikit yang anjal menawarkan prestasi yang meyakinkan, baik untuk melayar di lebuhraya atau berdepan dengan permukaan berbukit.

Dengan memanfaatkan Isuzu Dynamic Drive Platform, Isuzu D-Max Plus 4×2 baru ini memberikan kestabilan menakjubkan dengan rintangan anjal yang cemerlang, menjadikannya sebuah kenderaan yang sangat berkemampuan tidak kira bebanannya.

Untuk mendapatkan kemampuan tampungan beban yang baik untuk varian ini, kadar tetapan suspensi standardnya menggunakan jenis double wishbone di depan dan
jenis 3-leaf semi-elliptical spring di belakang.

Untuk memberi lebih prestasi dinamik dan keyakinan pemanduan, Isuzu D-Max Plus 4×2 1.9L turut dilengkapi dengan ciri bantuan pemanduan elektronik seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Agihan Daya Brek Elektronik (EBD), Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Bantuan Menuruni Curam (HDC) dan Sistem Override Brek (BOS).

Gabungan bantuan elektronik maju ini dengan struktur badan dengan kejuruteraan jitu telah membolehkan Isuzu D-Max meraih penarafan lima-bintang ASEAN NCAP, menjadikannya antara trak pikap paling selamat dalam pasaran ketika ini.

Luaran Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L ini mewarisi penampilan dinamik model Isuzu D-Max generasi ketiga kabin berkembar. Dengan gaya dan ketegapannya, varian ini menerima gril kelabu kesat, lampu utama projektor Bi-LED dengan DRL LED serta lampu kabus bersepadu di bucu bampar.

Model dengan kedudukan tinggi ini menggunakan rim aloi 17-inci dengan tayar radial 255/65 R17 HT yang menawarkan pemanduan mantap dan tahan lasak. Pemegang pintu dalam warna badan pula menjadikan penampilannya lebih kemas, membolehkan garis badannya lebih menonjol.

Pemijak sisinya juga bergaya dan sangat praktikal, yang datang bersekali dengan alas ruang barangan di belakang.

Bahagian sisinya diserikan dengan pelekat hiasan “4×2 Auto Plus” untuk membezakan antara varian 4×4 dan 4×2. Kamera undur yang dipasangkan pada pemegang pintu ruang belakang juga kelihatan pada varian 4×2.

Ciri ini ditambah kepada varian Auto Plus 1.9L untuk mudahkan lagi kendaliannya, dan digandingkan dengan skrin multimedia 7-inci di dalam untuk paparan.

Menambah kepada kepelbagaian penggunaannya di dalam bandar, turut tersedia empat sensor undur yang dipasang pada bampar belakang. Ini tidak hanya menawarkan amaran bunyi, turut ada ialah paparan grafik pada panel instrumennya untuk menunjukkan jarak ke halangan untuk memudahkan pemandu di ruang
sempit.

Kesemua lima pilihan warna ada ditawarkan untuk varian ini, termasuklah Splash White Solid, Mercury Silver Metallic, Onyx Black Mica, Sapphire Blue Mica dan Valencia Orange Metallic.

Di dalam, D-Max Auto Plus 4×2 1.9L didatangkan dengan kerusi fabrik yang tahan lasak dan mudah dibersihkan. Kerusi berkenaan juga direka untuk memberi sokongan dan keselesaan optimum untuk perjalanan jauh. Kerusi pemandunya boleh dilaras enam-arah secara manual.

Untuk keselamatan, semua kerusi dalam D-Max direka untuk memberikan perlindungan terbaik, sementara cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak juga tersedia di belakang.

Kesemua lima kedudukan tali keledar tiga-titiknya datang dengan amaran bunyi dan visual.

Perjalanan jarak jauh adalah di mana D-Max Auto Plus 4×2 1.9L baru ini benar-benar menyinar. Stereng balutan kulitnya boleh dilaras atas-bawah dan jaraknya daripada pemandu.

Butang kawalan juga tersedia untuk memudahkan kawalan audio dan telefon serta untuk mengalih paparan MID pada panel instrumen 4.2-inci berwarna.

Panel instrumen berkenaan menampilkan paparan e-LUMAX yang mudah dibaca dalam keadaan pencahayaan apa pun, serta memberikan maklumat komprehensif di hujung jari. Paparannya boleh dimalapkan untuk melaraskan lampu ambient.

Di konsol tengah terletak pula sistem multimedia tujuh-inci dengan skrin sentuh. Ini menawarkan pilihan ketersambungan termasuk USB, Bluetooth, WiFi, MirrorLink, Miracast, Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dan sistem ini menawarkan hiburan tanpa had melalui enam-pembesar suaranya.

Kuasa untuk peranti pintar juga akan sentiasa tersedia melalui soket 12-volt 120W di depan dan slot USB bagi setiap penumpang di depan dan belakang. Slot di belakang terletak di atas corong pendingin hawa tengah, dengan ruang khusus untuk meletakkan peranti secara kemas juga ada.

Dengan spesifikasi tinggi secara keseluruhannya, serta ciri keselesaan dan keselamatannya, Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L akan mengubah tanggapan orang ramai terhadap apa yang boleh ditawarkan oleh sebuah trak pikap asas peringkat kemasukan.

Dijual pada harga RM100,999.20 atas jalan tidak termasuk insurans, ia sebuah trak pikap paling mampu milik dan ringkas untuk diselenggara.

Isuzu D-Max Auto Plus 4×2 1.9L kini boleh ditempah dan penghantaran akan dilakukan awal bulan November 2021. Untuk maklumat lanjut berkaitan model ini dan barisan Isuzu D-Max yang lain, layari pickuptruck.isuzu.net.my yang turut menyediakan brosur serta tempahan dalam talian untuk sesi pandu uji.