Cabaran beri peluang para pelajar pengajian tinggi dan graduan baharu untuk mempelajari dan menangani pengurusan sisa sebagai perniagaan sosial hijau.

Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank), dengan kerjasama Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC), baru-baru ini melancarkan Cabaran EcoBiz musim keempat dengan tema “Menginspirasikan Malaysia menjadi
Negara Sifar Sisa (Zero Waste)”.

Cabaran EcoBiz 4 akan menggabungkan program pembelajaran komprehensif MGTC, iaitu Jana Graduan Usahawan Hijau (“JaGUH”) yang merangkumi tempoh 20 minggu .

Para pelajar diberikan panduan dan nasihat oleh para pemimpin industri dan mentor kelestarian meliputi bidang pembangunan modal perniagaan sosial, teknologi hijau dan inovasi, perdagangan sosial digital serta sikap minda dan kemahiran peribadi insani.

Cabaran EcoBiz ialah satu pertandingan bertemakan alam sekitar di mana para pelajar pengajian tinggi membangunkan solusi perniagaan yang mapan untuk menangani isu-isu alam sekitar, ekonomi atau sosial.

Semasa pelancaran Cabaran EcoBiz 4 secara maya, Joel Kornreich, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank berkata, “Cabaran EcoBiz penting kerana ia membantu kami mengenal pasti dan membimbing para usahawan sosial muda membangunkan penyelesaian lestari untuk Malaysia.

Sepanjang 3 musim yang lalu, kita telah menyaksikan bagaimana Cabaran EcoBiz memberi inspirasi kepada anak muda Malaysia untuk berinovasi dan meningkatkan kehidupan masyarakat.

Kami mahu mendengar lebih banyak idea-idea yang inovatif daripada warga muda tentang cara menangani tema tahun ini iaitu pengurusan sisa.”

Shamsul Bahar, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC berkata, “Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), MGTC diberi mandat untuk menggalakkan teknologi hijau, mengurangkan perubahan iklim dan meningkatkan gaya hidup hijau.

Dalam menyediakan negara kita untuk masa depan yang lestari, membangunkan para belia menjadi satu agenda yang penting. Kami percaya bahawa para belia memiliki potensi yang tinggi untuk membawa perubahan dalam masyarakat menerusi idea-idea yang kreatif dan menarik.

Untuk itu, kami telah memperkenalkan pendekatan JaGUH untuk membimbing perusahaan, peluang pekerjaan dan usahawan hijau daripada kalangan graduan.

Sebagai sebahagian daripada strategi kami untuk memacu ekonomi, kami menggalakkan penubuhan perniagaan yang memberi impak yang rendah kepada alam sekitar.

Pendekatan JaGUH membolehkan kami memanfaatkan daya inovasi belia dan pada masa yang sama menyediakan platform kepada mereka untuk menyumbang ke arah menghijaukan ekonomi.”

Program pembelajaran selama lima bulan ini dibuka kepada semua pelajar pengajian tinggi yang mengikuti pengajian di kolej atau universiti di Malaysia. Permohonan dibuka mulai 27 September 2021 hingga 23 Oktober 2021.

Para pemohon akan disenarai pendek secara berperingkat. Hanya 10 pasukan terbaik yang akan dipilih untuk menjalani latihan dan bimbingan selama 20 minggu menggunakan sukatan JaGUH.

Pada akhir latihan tersebut, para finalis akan berpeluang untuk mempersembahkan projek mereka kepada para juri. Pasukan yang menang akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, manakala naib juara pertama dan kedua masing-masing akan membawa pulang RM5,000 dan RM3,000.

Tujuh pasukan lain akan menerima RM1,500 setiap satu. 10 pasukan pemenang ini akan menjalani program enam bulan meliputi cara meningkatkan jualan, penglibatan pelanggan serta topik perniagaan penting lain selepas berakhirnya Cabaran EcoBiz.

Cabaran EcoBiz mempromosikan budaya pemeliharaan alam sekitar di kalangan pelajar universiti melalui platform pembelajaran yang kompetitif dan kerjasama dengan industri.

Selain itu, cabaran ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang alam sekitar di kalangan pelajar dan mendorong mereka untuk membangunkan perusahaan sosial yang lestari.

Ini akhirnya akan mengubah pemikiran pelajar daripada menjadi pencari kerja kepencipta pekerjaan. Selama ini, Cabaran EcoBiz Challenge telah memainkan peranansebagai pemangkin idea perniagaan lestari.

Pencapaian musim lalu termasuk memulihara Sungai Kerayong di bawah inisiatif Sungai Nadi Kehidupan dan menangani masalah pengurusan air di sawah padi. Secara keseluruhan, Cabaran EcoBiz telah menjangkau lebih dari 3,600 orang pelajar universiti di tujuh buah negeri dengan mengumpulkan hampir 500 penyertaan.

Saksikan pelancaran Cabaran EcoBiz 4 dengan mengimbas kod QR atau lawat
https://www.facebook.com/mgtc.my/videos/4290394677695661. Untuk mendaftar
atau mendapatkan maklumat lanjut tentang Cabaran EcoBiz, sila layari
https://www.alliancebank.com.my/EcoBiz.