Jam tangan adalah satu daripada aksesori penting yang sudah wujud sejak sekian lama namun dengan revolusi teknologi masa kini, rekaan dan fungsi jam tangan semakin berubah.

Fungsi sebagai memaparkan waktu semasa sudah tidak relevan dan kini menjadi peranti penting memberikan pelbagai jenis maklumat diperlukan daripada segi kadar denyutan jantung, berapa langkah kaki sehari hingga kepada tahap stress (tekanan) mampu dipaparkan.

Kecanggihan jam tangan pintar yang semakin banyak dipasaran menjadikan pengeluar peranti telefon pintar berlumba-lumba menawarkan produk masing-masing sekali gus memberikan pilihan kepada pengguna masa kini.

Salah satu pengeluar jam pintar dari China, tidak ketinggalan mempertaruhkan model jam terbaharunya, Honor Band 6 yang ditawarkan pada harga yang mampu milik iaitu hanya RM189.

Prebiu.com yang diberi peluang menguji jam pintar ini mendapati, rekaan tali jamnya cukup selesa dipakai dan berasa ringan meskipun ketika sedang bersukan atau berjoging di taman.

Honor Band 6 memiliki kelebihan tersendiri khususnya skrin bersaiz 1.47 inci AMOLED (368 x 194 piksel), yang boleh dikatakan cukup sepadan dan mesra mata memandang.

Namun terpulang kepada citarasa masing-masing kerana ada sesetengah pengguna yang gemarkan muka jam yang lebih besar atau lebih kecil namun memiliki fungsi yang hampir sama.

Untuk spesifikasi khusus, Honor Band 6 dilengkapi 10 mod sukan berbeza dan jangka hayat bateri maksimum 14 hari.

Dengan sejumlah sensor terbina yang fokus pada ciri kesihatan seperti kadar denyutan jantung, pemantauan corak tidur, pemantauan oksigen dalam darah (SpO2), pemantauan kitaran haid (ciri paling menarik untuk golongan wanita) dan lain-lain.

Apa yang mengujakan ialah jam pintar ini turut mampu mengesan setiap aktiviti sukan secara automatik dengan hanya mengaktifkan fungsinya tidak kira sama ada anda sedang berlari di atas treadmill, menunggang basikal statik ataupun di luar rumah.

Terdapat sehingga tiga pilihan warna yang boleh dipilih seperti Sandstone Grey, Meteorite Black dan Coral Pink.

Untuk mencari fungsinya, anda hanya perlu menekan butang pada sisi sebelah kanan jam ini dan hanya perlu menatal sama ada dari atas ke bawah atau dari kanan ke kiri. Mengendalikan jam tangan seperti ini amat mudah kerana semuanya dilakukan dengan sentuhan mesra pada skrin

Kapasiti bateri pula adalah 180mAh dengan ketahanan selama 14 hari, menggunakan sistem Bluetooth 5.0, sensor pemecut, giroskop, perlindungan air 5ATM dan pengecasan bermagnet.

Kesimpulannya, memakai jam tangan pintar Honor Band 6 ini cukup berbeza disebabkan skrinnya yang besar, kepelbagaian fungsinya malah paparan warna pada skrin AMOLED pula cukup jelas.

Andainya anda sedang tercari-cari jam tangan pintar yang mampu milik, peranti ini boleh dijadikan pilihan tepat. Pada harga RM189 seutas, ciri yang ditawarkan hampir sama dengan jam tangan pintar berjenama premium lain.