Ada ganjaran untuk kesetiaan anda! Inilah jaminan UMW Toyota Motor kepada semua pemilik kenderaan Toyota dengan pelancaran Program Loyal-T Toyota, yang menjanjikan lebih banyak nilai dan ganjaran serta keselesaan tambahan untuk dinikmati oleh semua pelanggan Toyota.

“Kami mempunyai keluarga Toyota yang besar dengan ramai pelanggan di seluruh negara. Untuk itu, adalah menjadi keutamaan kami untuk memastikan mereka sentiasa rasa dihargai.

Sejak sebelum ini, kami telah melaksanakan pelbagai usaha tambah nilai dan mempertingkatkan mutu khidmat untuk meningkatkan lagi keselesaan pelanggan.

Semua usaha itu, dan banyak lagi di masa akan datang, adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada kepercayaan dan sokongan pelanggan terhadap jenama ini. Kini kami ingin menghimpunkan keseluruhan usaha terbabit dengan memperkenalkan program kesetiaan kepada pelanggan secara langsung,” kata Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

Dengan Program Loyal-T Toyota ini, semua pelanggan Toyota akan memperolehi mata ganjaran ketika membuat pembelian kenderaan, servis kereta, pembelian alat ganti, pembaharuan insurans serta baik pulih cat dan badan di semua cawangan rasmi Toyota seluruh negara.

Dengan semua mata terkumpul ini, pelanggan boleh menukarnya kepada baucar e-servis yang boleh dituntut dan digunakan bagi servis akan datang. Program ini menggantikan program Toyota Merit sebelum ini yang berakhir pada Jun lalu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMW Toyota, Akio Takeyama berkata konsep dan skim ganjaran ini berserta struktur keahlian menyeluruhnya telah menjadi pertalian jangka panjang antara Toyota dan pelanggan selama ini.

“Membeli kenderaan Toyota adalah satu permulaan. Seperti juga mana-mana perhubungan, anda akan melalui fasa berkenalan. Setelah mengenali satu sama lain dengan lebih baik, kepercayaan akan terbangun, dan hubungan itu akan bertambah kuat setelah itu.

Orang boleh datang dan pergi, tetapi pertaliannya akan terus kekal. Struktur keahlian yang menyeluruh melalui Program Loyal-T Toyota ini mengiktiraf pertalian berkenaan, dan ia merupakan satu tanda komitmen kami sentiasa berada di sisi pelanggan untuk beberapa generasi mendatang,” katanya.

Untuk mendaftar dalam Program Loyal-T Toyota ini, muat turun aplikasi mudah alih Toyota Drive dari Google Play Store atau Apple App Store. Selepas dimuat turun dan membuka aplikasi berkenaan, pelanggan akan diminta untuk mendaftarkan perincian mereka dengan Toyota.

Semua maklumat yang diberikan dijamin selamat di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia 2010 (PDPA).

Pelanggan Toyota digalakkan untuk memanfaatkan Program Loyal-T Toyota ini melalui semua ganjaran yang ditawarkan dalam usaha UMW Toyota Motor untuk terus memberi keutamaan kepada kepuasan pelanggan dan menghargai mereka, memberi lebih banyak nilai terhadap pengalaman pemilikan Toyota.

Untuk maklumat lanjut, layari www.toyota.com.my