Pemegang Pas Tanpa Had AirAsia (Cuti-Cuti Malaysia) kini boleh menebus satu penerbangan pergi-balik secara percuma* ke Langkawi atau mana-mana destinasi domestik yang tidak dapat dilakukan berikutan sekatan perjalanan yang telah dilaksanakan sejak tahun lalu.

Inisiatif ini juga merupakan sebuah penghargaan dari AirAsia kepada para pelanggan yang terus setia  menyokong pada masa yang mencabar ini.

Dilancarkan pada bulan Jun 2020, Pas Tanpa Had AirAsia membolehkan semua ahli BIG Rewards yang menetap di Malaysia membeli pas tersebut untuk menebus penerbangan tanpa had di seluruh Malaysia bermula dari tarikh pembelian hingga 30 Jun 2021

Amanda Woo, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App berkata, “Kami menerima sambutan yang menggalakkan ketika kami melancarkan Pas Tanpa Had AirAsia (cuti cuti Malaysia) pada tahun lepas.

Ramai tetamu telah memanfaatkan pas tersebut dengan melakukan perjalanan dan menikmati cuti-cuti Malaysia di seluruh rangkaian domestik kami merangkumi 16 destinasi. Akan tetapi, ada yang tidak dapat menggunakan pas mereka sepenuhnya berikutan sekatan perjalanan.

“Sebagai tanda penghargaan, kami ingin memberikan penerbangan percuma ke mana-mana destinasi domestik untuk pemegang Pas Tanpa Had cuti-cuti Malaysia. Kami berharap mereka akan mengambil peluang ini untuk bercuti ke Langkawi atau membuat perjalanan penting ke destinasi-destinasi domestik.

Ini juga merupakan satu lagi inisiatif kami untuk memacu pelancongan domestik Malaysia serta menyokong usaha kerajaan, terutamanya berkenaan gelembung perjalanan Langkawi dan destinasi-destinasi lain yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“AirAsia telah melaksanakan beberapa langkah inovasi teknologi tanpa sentuhan dan penambahbaikan untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang mudah dan lancar kepada para tetamu.

Kini para tetamu boleh menggunakan perkhidmatan daftar masuk kendiri melalui airasia Super App, perlepasan tanpa sentuhan menggunakan FACES, dan prosedur operasi standard yang mantap bagi mengekalkan standard keselamatan tertinggi pada setiap masa.