Dalam beberapa tinjauan pasaran mendapati, permintaan pasaran bagi peranti pintar yang boleh dilipat dijangka berkembang pada masa hadapan dengan permintaan tiga kali ganda berbanding tahun lalu membabitkan 6.5 juta unit setakat ini.

Menurut Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pemasaran Strategik, Perniagaan Komunikasi Mudah Alih Samsung, Bryan Choi berkata, Samsung kini berada dalam landasan tepat sebagai peneraju dan memacu jualan melangkaui permintaan pasaran.

Maka, tidak dinafikan kehadiran peranti terbaharu ini mampu meletakkan Samsung sebagai pengeluar peranti mudah alih yang berjaya menguasai pasaran dengan menawarkan pelbagai pilihan peranti mengikut citarasa pengguna masa kini.

Samsung Electronics Co., Ltd. baru-baru ini memperkenalkan perubahan baharu dalam inovasi peranti boleh lipat dengan dua telefon pintar baharunya, Galaxy Z Fold3 5G dan Galaxy Z Flip3 5G.

Kedua-dua peranti adalah telefon pintar boleh lipat premium yang dibina dengan hasil rekaan dan inovasi yang digemari dan diharapkan oleh pengguna Samsung.

Peranti generasi ketiga yang menentukan kategorinya tersendiri ini menggabungkan penambahbaikan utama seperti yang diminta oleh pengguna telefon pintar boleh lipat Samsung, menjadikannya lebih tahan lama dengan pengalaman yang lebih optimum daripada rekaan sebelumnya.

Dari reka bentuk ikonik hingga ke hiburan yang mengasyikkan, Z Flip3 dan Z Fold3 menawarkan kepada pengguna cara baharu yang unik untuk bekerja, menonton dan bermain.

Bagi mereka yang menginginkan peranti penuh gaya berserta pelbagai fungsi, Z Flip3 adalah peranti ideal dengan reka bentuknya yang anggun, kompak, dan bersaiz poket, dilengkapi dengan ciri-ciri kamera yang ditambah baik, serta skrin lebih besar yang dibina untuk penggunaan pantas walau di mana sahaja berada.

Rekaan Lebih Canggih Dibina untuk Tahan Lama

Pengguna Samsung mengharapkan peranti boleh lipat yang direka dapat bertahan lama. Oleh sebab itu peranti generasi Galaxy Z ini dibina dengan rekaan yang tiada tandingan.

Buat pertama kalinya pada telefon pintar boleh lipat berwarna Lavender ini yang diuji Prebiu.com, Z Flip3 ini dilengkapi dengan spesifikasi IPX8 menjadikannya kalis air, jadi pengguna tidak perlu lagi bimbang jika terperangkap dalam hujan atau terjatuh dalam air.

Spesifikasi IPX8 ini berdasarkan ujian dilakukan dengan kedalaman air sehingga 1.5 meter untuk tempoh sehingga 30 minit. Hebat Bukan!

Badan peranti seberat hanya 183 gram ini juga dibina dengan Armor Aluminium baharu iaitu aluminium terkuat yang pernah digunakan pada telefon pintar Galaxy berserta skrin Corning® Gorilla® Glass Victus™ yang paling utuh untuk melindunginya daripada calar dan jika ia terjatuh tanpa sengaja.

Selain itu, kedua-dua peranti mempunyai filem pelindung baharu diperbuat daripada PET 5 yang boleh regang dan lapisan panel paparan yang dioptimumkan menjadikan Skrin Utama 80% lebih tahan lama berbanding peranti sebelumnya.

Saiz keseluruhan peranti ini mengikut spesifikasi lebih tepat adalah 166.0 x 72.2 x 6.9 mm apabila dibuka dan 72.2 x 86.4 x 17.1 mm apabila dilipat.

Pada panel luaran pula terdapat skrin mini sebesar 1.9″ AMOLED yang lebih besar berbanding 1.1″ tahun lalu.

Galaxy Z Flip3 5G dihasilkan dengan mekanisme lipatan ditambah baik lagi bagi membolehkan lipatan yang lebih kemas sekali gus membuatkan peranti menjadi lebih nipis pada kedudukan tertutup.

Skrin boleh-lipat peranti ini sebesar 6.7″ Dynamic AMOLED 2X FHD+ menyokong kadar segar semula 120Hz secara adaptif lengkap dengan lapisan kaca UTG generasi terbaru. Pada peranti ini sokongan stylus S Pen tidak diberikan dan pada pandangan penulis ciri itu tidak diperlukan kerana kelihatan tidak praktikal kerana fokus utamanya ciri saiz yang mini.

Samsung Galaxy Z Flip3 dilengkapi cip Snapragon 888, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 3300 mAh. Pengecasan berwayar adalah hanya 15W dengan nirwayar pula 10W serta pengecasan berbalik 4.5W.

Samsung meneruskan legasinya dalam menerajui peranti boleh lipat dengan proses yang sangat rapi dan teliti untuk mencipta peranti yang boleh dipercayai dan mampu mengekalkan prestasinya walaupun selepas beberapa tahun digunakan.

Revolusi Hideaway Hinge, yang diperkenalkan pertama kali pada Galaxy Z Flip, membolehkan peranti kekal berada pada kedudukannya di sebarang sudut untuk pengalaman pengguna yang inovatif dengan mod Flex.

Terima kasih buat teknologi Sweeper yang ditambah baik, bulu di Hinge kini lebih pendek, membantu untuk menangkis habuk dan partikel kecil lain bagi mengekalkan ketahanan peranti untuk pengalaman pengguna yang lebih lancar.

Z Flip3 juga menjalani ujian lipatan yang sukar, disahkan oleh Bureau Veritas, untuk menahan lipatan sebanyak 200,000 kali. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan cip prosesor 5nm AP yang terbaharu dan keserasian jalur 5G untuk pengalaman terbaik di dalam dan luar.

Gaya ranggi dan anggun

Galaxy Z Flip3 5G menawarkan satu keseimbangan gaya, fungsi, dan keseronokan tanpa henti kerana penggunanya mampu mengekspresikan diri dengan pilihan warna terang, reka bentuk yang anggun, dan ciri-ciri premium.

Apa yang menariknya ialah empat pilihan warna yang bergaya ditawarkan iaitu Cream, Green, Lavender, dan Phantom Black.

Bagi mereka yang mencari lebih banyak pilihan untuk menyesuaikan dengan gaya tersendiri, Samsung.com membawakan warna eksklusif, seperti Gray, Pink, dan White.

Skrin Penutup yang direka semula kini bersaiz empat kali lebih besar dan menjadikannya lebih mudah untuk memaparkan notifikasi dan mesej tanpa perlu membuka Z Flip3.

Pengguna boleh sentiasa mengikuti jadual mereka, memeriksa cuaca, dan memantau jumlah langkah harian mereka dengan widget Skrin Penutup yang baharu atau menyelaraskan gambar hiasan Skrin Penutup dengan Galaxy Watch4 Classic baharu mereka untuk gaya yang sepadan.

Ciri Kamera

Kamera utama pada bahagian belakang adalah kombinasi 12+12 MP f/1.8+f/2.2 (sudut lebar dan ultra sudut lebar) dan kamera swafoto pula sebesar 10 MP f/2.4. Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar f/1.8 dan lensa ultra sudut lebar f/2.2.

Dari segi spesifikasi, tiada perubahan dilakukan pada spesifikasi kamera, RAM dan bateri pada Z Flip3 berbanding Z Flip 5G tahun lalu.

Z Flip3 juga direka untuk memberikan pengguna kemampuan terbaik untuk merakam dan berkongsi kenangan. Dilengkapi dengan beberapa ciri kamera terbaharu, pengguna boleh menggunakan gambar swafoto bebas-tangan yang lebih menakjubkan dengan mod Flex.

Anda juga boleh membiarkan peranti tersebut berlipat dan dapat merakam gambar dengan pantas dan kini boleh merakam video terus dari skrin penutup menggunakan Quick Shot yang dipertingkatkan dengan hanya dua kali klik pada kekunci kuasa Z Flip3.

Selain itu, untuk menatal skrin juga sangat lancar dengan kadar segar semula adaptif 120 Hz 17 yang baharu pada Z Flip3.

Keseronokan Tanpa Henti

Z Flip3 sangat sesuai untuk bersantai dan menonton vlog YouTube atau rancangan TV secara bebas tangan. Hanya letak atas permukaan meja yang rata, anda boleh berswafoto tanpa memerlukan sebarang tripod.

Dilengkapi sistem pembesar suara Stereo Z Flip3 yang baharu dan dipertingkatkan dengan Dolby Atmos®, anda mendapat bunyi yang mengasyikkan dengan kejelasan, kedalaman dan kesan spatial yang luar biasa, tidak kira apa yang anda tonton atau dengarkan.

Ciri Panel Mod Flex yang baharu menjadikan aplikasi kelihatan lebih baik dan mudah digunakan. Apabila peranti dilipat separuh, Panel Mod Flex memberi anda cara baharu untuk berinteraksi dengan Z Flip3, menawarkan pengalaman menonton yang lebih selesa dengan memindahkan video ke separuh bahagian atas skrin dan kawalan pertunjukan seperti kecerahan dan kekuatan suara ke separuh bahagian bawah.

Pengalaman Boleh Lipat yang Optimum 

Dengan siri Galaxy Z, pengguna akan mendapat akses untuk lebih banyak aplikasi yang memanfaatkan sepenuhnya skrin boleh lipat.

Samsung memperluas kerjasama dengan syarikat terkemuka seperti Google, Microsoft, dan banyak lagi, agar pengguna dapat menikmati lebih banyak aplikasi yang disesuaikan dengan keperluan unik mereka.

Kerjasama yang berkesan dengan aplikasi Microsoft Teams: Nikmati pengalaman
pertemuan yang dioptimumkan berdasarkan mod Flex siri Galaxy Z anda bersama-sama dengan kekuatan Office dan Teams.

Untuk memberikan pengguna lebih banyak pilihan, ciri Labs 18 baharu Samsung menawarkan kepada pengguna kemampuan untuk mengoptimumkan lebih banyak aplikasi ke skrin yang boleh dilipat ketika mereka memerlukannya.

Selain itu, Samsung terus memikirkan semula bagaimana pembangun aplikasi dapat mencipta pengalaman pengguna yang luar biasa dari mana sahaja.

Untuk memberi mereka lebih banyak pilihan selain memastikan pengoptimuman berkualiti tinggi, Samsung menyokong Remote Test Lab (RTL) 19 , yang memberi pembangun aplikasi kemampuan untuk memasang dan menguji aplikasi mereka secara langsung dalam masa nyata, walau di mana sahaja mereka berada.

Kesimpulan

Peranti ini sudah mula dibuka untuk pra tempahan bermula 27 Ogos lalu pada harga RM3,999 bagi model 128GB/8GB manakala RM4,199 untuk model 256GB/8GB. Empat warna menarik ditawarkan iaitu Cream, Lavender, Phantom Black, Green manakala tiga warna eksklusif  Pink, Grey dan White juga ditawarkan.

Bagaimanapun, pada pandangan penulis, kehadiran peranti ini sebenarnya memiliki banyak kelebihan misalnya anda tidak perlu menggunakan alat sokongan lain seperti tripod atau ‘selfie ring’ untuk membolehkan telefon ini berdiri sendiri.

Apa yang perlu dilakukan hanya melipat telefon ini dan diletakkan diatas meja atau mana-mana permukaan yang rata untuk mengambil gambar swafoto dengan mudah.

Mengenggam peranti kecil ini kadang-kala agak kekok disebabkan saiznya namun ia sentiasa mencuri perhatian umum kerana kebanyakan peranti ketika ini hanya tampil dalam rekaan bentuk segi empat yang hampir sama dan membosankan.

Paparan skrinnya yang cantik dan kesan lekuk ditengah-tengah tidak begitu ketara menjadikan tontonan video satu pengalaman yang memuaskan apabila melayari skrin.

Mengambil gambar dengan peranti ini juga mudah dan apabila peranti ini dilipat, skrin kecil boleh digunakan untuk dijadikan viewfinder kamera swafoto.

Memiliki peranti yang premium dan eksklusif ini menjadi satu kelebihan bagi mereka yang mahukan gaya trendy serta citarasa tinggi. Anda tentu sekali menjadi perhatian ramai kerana rekaan Galaxy Z Flip 3 ini lain dari yang lain.

Mungkin anda yang tidak kisah mengenai ‘duit’ boleh menjadikan Samsung Z Flip3 ini sebagai hadiah istimewa kepada seseorang!