Golongan masyarakat termasuk isi rumah Orang Kurang Upaya (OKU) terus dibantu, tidak kiralah mereka berada di mana sahaja.

Kali ini, serahan Program Bakul Makanan difokuskan kepada sebahagian isi rumah OKU penglihatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Petaling Jaya, di sini pagi tadi.

Program berkenaan digerakkan oleh Senator Datuk Razali Idris di bawah Majlis Senator Malaysia (MSM) dengan kerjasama MyCorps Alumni, Yayasan Orang Buta Malaysia, Yayasan VFive  dan Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Hadir sama Naib Presiden 2 My Corps Alumni, Amir Junaidi Amerrudin serta ahli NGO yang lain.

Sasaran serahan program bakul adalah seramai 250 isi rumah OKU penglihatan sebagai misi bagi mengurangkan beban dan tanggungan pada waktu pandemik COVID-19 ini.

Ketika ditemui, Razali yang juga Timbalan Presiden MSM menjelaskan Senator adalah juga seperti Ahli Parlimen Dewan Rakyat yang turut bersama membantu rakyat di seluruh negara.

“Saya yang mewakili MSM terpanggil untuk memberikan bantuan kepada OKU penglihatan yang terjejas pendapatan ketika PKP.

“Ia adalah komitmen kerajaan untuk membantu mereka yang terkesan dan mendapat kerjasama daripada NGO seperti MyCorps Alumni dan Yayasan Orang Buta Malaysia.

“Kali ini sasarannya adalah OKU yang cacat penglihatan. Jadi bekalan bahan mentah ini kita berikan untuk membantu meringankan beban mereka.

“Dalam keadaan Covid-19 ini ramai yang terkesan, termasuk juga mereka yang OKU yang sebelum ini pun sudah terkesan,” katanya.