Sebanyak 5,354 unit dijual dalam bulan Jun-Ogos dengan jualan seluruh tahun sebanyak 62,637 unit

Setelah hampir tiga bulan mengharungi keadaan pasaran yang amat sukar disebabkan pencegahan penularan Covid-19, jenama kereta nasional PROTON mensasarkan untuk mengakhiri tahun 2021 dengan impak yang nyata.

Ini berikutan aktiviti pengeluaran, jualan dan eksport kembali beroperasi yang dijangkakan akan meningkatan hasil jualan bermula bulan September.

Dari bulan Jun hingga Ogos 2021, PROTON berjaya memperolehi jumlah jualan sebanyak 5,354 unit yang merangkumi campuran pendaftaran dalam talian dan eksport.

Produksi terhad telah dijalankan di kilang Tanjung Malim selepas pengumuman negeri Perak sebagai negeri Fasa 2 pada 5 Julai, tetapi ini hanya untuk seketika akibat kekurangan bekalan dari pembekal di Selangor.

Sehingga penghujung Ogos, jumlah jualan adalah sebanyak 63,637 unit, iaitu satu peningkatan sebanyak 1.6% berbanding tempoh yang sama tahun 2020.

“Jumlah jualan kami sehingga Ogos mencerminkan prestasi tinggi PROTON dalam lima bulan pertama tahun ini.

“Tahun 2021 amat mencabar bagi industri automotif kerana perintah kawalan pergerakan, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain yang merencatkan perkembangan jualan, namun kita yakin jualan industri akan meningkat secara keseluruhan dalam tempoh 4 bulan terakhir tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Dengan kedua-dua kilang kini beroperasi, PROTON juga boleh memulakan kembali aktiviti eksport ke pasaran luar negara.

Sebagai contoh, Pakistan akan menerima tiga penghantaran Proton X70 sebanyak 108 unit pada bulan September termasuk pek CKD untuk Proton Saga yang kini dijangkakan akan bermula dipasang siap di sana pada
akhir bulan Oktober.