Pengeluar peranti terkemuka dari Korea Selatan pada awal bulan Ogos lalu memperkenalkan dua peranti skrin boleh lipat terbaharu dengan kedua-duanya memiliki ciri kalis air dan tahan lasak.

Pengenalan Samsung Z Fold 3 5G dan Samsung Galaxy Z Flip3 5G boleh dianggap kesinambungan kepada peranti terdahulu yang menjadi perintis kepada telefon pintar jenis skrin lipat yang pernah popular satu ketika dahulu.

Kedua-dua peranti adalah telefon pintar boleh lipat premium yang dibina dengan hasil rekaan dan inovasi andalan yang digemari dan diharapkan oleh pengguna Samsung.

Peranti generasi ketiga yang menentukan kategorinya tersendiri ini menggabungkan penambahbaikan utama seperti yang diminta oleh pengguna telefon pintar boleh lipat Samsung—menjadikannya lebih tahan lama dengan pengalaman yang lebih optimum daripada rekaan sebelumnya.

Apa yang menarik pada peranti sebesar tapak tangan Z Flip3 5G ini? Tentu sekali ciri terbaharunya dan ditawarkan pada harga yang rendah berbanding model terdahulu yang dijual pada harga lebih RM5,000.

Dalam ulasan sisi pandang pertama pada peranti ini ialah rekaan luaran dan spesifikasinya lebih baik dengan beberapa ciri yang dinaik taraf daripada model Z Flip yang diperkenalkan tahun lalu.

Rekaan Luaran

Peranti seberat 183 gram ini secara kasarnya memiliki saiz luaran 4.2 inci ketika dalam kedudukan lipat, cukup sesuai untuk disimpan dalam kocek seluar atau dalam beg dompet golongan wanita yang mahukan kelainan dalam penampilan.

Galaxy Z Flip3 5G dihasilkan dengan mekanisme lipatan ditambah baik lagi bagi membolehkan lipatan yang lebih kemas sekali gus membuatkan peranti menjadi lebih nipis pada kedudukan tertutup.

Pada panel luaran pula terdapat skrin mini sebesar 1.9″ AMOLED yang lebih besar berbanding 1.1″ tahun lalu.

Apa yang menarik ialah skrin luaran ini menggunakan kaca Gorilla Glass Victus yang lebih tahan lasak menentang hentakan sekali gus memberikan kelebihan sekiranya peranti ini tiba-tiba terjatuh atau terlepas daripada gengaman tangan.

Skrin luaran ini juga boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi penting, membaca mesej, menjadi skrin untuk swafoto dan hadir dengan widget untuk mengakses beberapa tetapan penting. Mudah bukan!

Sekiranya anda memiliki jam pintar Galaxy Watch4, paparan pada imej skrin luaran ini boleh dipadankan dengan skrin pada tangan pintar terkini dengan Wear OS ini.

Seperti peranti Z Fold 3 5G, bahagian sisi kini lebih rata dengan bahagian engsel dikemaskini bagi membolehkan peranti mempunyai saiz fizikal lebih nipis pada kedudukan tertutup.

Inovasi

Skrin boleh-lipat peranti ini sebesar 6.7″ Dynamic AMOLED 2X FHD+ menyokong kadar segar semula 120Hz secara adaptif lengkap dengan lapisan kaca UTG generasi terbaru. Pada peranti ini sokongan stylus S Pen tidak diberikan dan pada pandangan penulis ciri itu tidak diperlukan kerana kelihatan tidak praktikal kerana fokus utamanya ciri saiz yang mini.

Samsung Galaxy Z Flip3 dilengkapi cip Snapragon 888, memori 8GB RAM, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 3300 mAh. Pengecasan berwayar adalah hanya 15W dengan nirwayar pula 10W serta pengecasan berbalik 4.5W.

Ciri terdahulu seperti Flex Mode masih dikekalkan untuk membolehkan peranti ini diletakkan pada permukaan meja untuk tujuan telesidang tanpa sokongan atau kerangka khas.

Dalam suasana dimana semua rakyat Malaysia berdepan dengan wabak COVID-19, dan budaya telesidang bagi yang “bekerja dari rumah” sudah menjadi kebiasaan, kelebihan pada peranti ini boleh diletakkan di atas meja dalam kedudukan huruf L bagi memudahkan proses mengambil swafoto atau mengadakan persidangan video menerusi aplikasi Webinar Zoom.

Ciri Kamera

Kamera utama pada bahagian belakang adalah kombinasi 12+12 MP f/1.8+f/2.2 (sudut lebar dan ultra sudut lebar) dan kamera swafoto pula sebesar 10 MP f/2.4. Kamera utama menggabungkan lensa sudut lebar f/1.8 dan lensa ultra sudut lebar f/2.2.

Dari segi spesifikasi, tiada perubahan dilakukan pada spesifikasi kamera, RAM dan bateri pada Z Flip3 berbanding Z Flip 5G tahun lalu.

Ciri Kelebihan

Buat pertama kalinya pada telefon pintar boleh lipat, Z Flip3 dilengkapi dengan ciri IPX8  menjadikannya kalis air, jadi pengguna tidak perlu lagi bimbang jika terperangkap dalam hujan ataupun peranti ini terjatuh dalam air.

Kedua-dua peranti ini juga dibina menggunakan bahan Armor Aluminium baharu iaitu aluminium terkuat yang pernah digunakan pada telefon pintar Galaxy—berserta Corning® Gorilla® Glass Victus™ yang paling utuh untuk melindunginya daripada calar dan jika ia terjatuh tanpa sengaja.

Samsung Galaxy Z Flip3 juga menjalani ujian lipatan yang sukar, disahkan oleh Bureau Veritas, untuk menahan lipatan sebanyak 200,000 kali. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan 5nm AP yang terbaharu dan keserasian jalur 5G untuk pengalaman terbaik di dalam dan luar.

Peranti ini sudah mula dibuka untuk pra tempahan dan akan mula ditawarkan di pasaran tertentu bermula 27 Ogos pada harga RM3,999. Empat warna menarik ditawarkan iaitu Cream, Lavender, Phantom Black, Green manakala tiga warna eksklusif  Pink, Grey dan White juga ditawarkan.

* Nantikan ulasan lebih mendalam Samsung Galaxy Z Flip3 ini.