Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memberi peruntukan RM300,000 kepada Ahli Dewan Negara bagi melaksanakan Program Bakul Makanan kepada rakyat yang memerlukan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, menerusi surat bertarikh 2 Julai 2021 di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), seramai 64 Ahli Dewan Negara seperti yang diedarkan telah dimaklumkan menerima kemudahan peruntukan yang disediakan, tidak kira penyokong kerajaan, parti pembangkang atau kumpulan/pertubuhan tertentu yang diwakili.

“Langkah berhemah ini jelas menunjukkan Kerajaan PN berjiwa besar bagi memastikan semua Ahli Dewan Negara dapat menjayakan Program Bakul Makanan secara efektif dan efisien. Kebersamaan kerajaan adalah sangat terpuji dalam perkara ini.

“Di samping itu, kerjasama erat akan dilaksanakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang bukan berasaskan politik untuk menguruskan penyediaan dan pengedaran bagi Program Bakul Makanan di bawah peruntukan Ahli Dewan Negara sedia ada,” katanya yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia.

Beliau berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara turut mencadangkan supaya konsep Food Bank seperti yang pernah dibangkitkannya sebelum ini, hendaklah diperluaskan lagi termasuk sumbangan besar dalam kalangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), syarikat multinasional, anak-anak syarikat dan agensi di bawah kementerian dan kerajaan negeri serta peneraju industi sektor swasta.

“Inilah masa terbaik melaksanakan suatu perkara yang sehabis baik menyumbang perkhidmatan anda kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.