HeiTech Padu Berhad (HeiTech), penyedia perkhidmatan sistem Teknologi Maklumat khususnya dalam membangunkan sistem dan infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) untuk sektor awam dan swasta, mengakhiri tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Disember 2020 (TK2020) dengan prestasi yang lebih baik.

Pendapatan Kumpulan menyusut sedikit kepada RM325.4 juta daripada RM360.8 juta pada tahun sebelumnya sementara pendapatan sebelum faedah, penurunan nilai, percukaian, susut nilai dan pelunasan (EBIITDA) pada tahun 2020 adalah RM38.5 juta, berbanding RM39.9 juta pada tahun 2019, seterusnya menggambarkan tempoh sukar yang dilalui oleh Kumpulan pada tahun 2020.

Walau bagaimanapun, keuntungan bersih meningkat 111 peratus kepada RM13.1 juta daripada RM6.2 juta tahun sebelumnya terutama didorong oleh kejayaan Kumpulan dalam mendapatkan kontrak-kontrak dan inisiatif-inisiatif baru di sebalik cabaran yang dihadapi dari pesaing, ketidaktentuan ekonomi dan perintah kawalan pergerakan.

Antara projek utama yang diperolehi oleh Kumpulan pada tahun 2020 termasuk kontrak penambahbaikan dan penyelenggaraan aplikasi kerangka utama untuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Pembaharuan kontrak Rangkaian Kawasan Lebar yang menghubungkan ibu pejabat TESCO Malaysia ke pusat pemulihan bencana TESCO di Thailand.

Ini merupakan pelaksanaan pautan antarabangsa pertama untuk sektor komersial; mendapatkan lanjutan kontrak penyelenggaraan dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan kejayaan penyediaan kerangka utama IBM z15 terbaru untuk JPN dan JPJ yang merupakan penyediaan kerangka utama z15 pertama di Malaysia.

Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Presiden Kumpulan, Dato’ Sri Mohd Hilmey Mohd Taib, berkata, HeiTech masih berupaya melaksanakan kewajipan kontrak, mengekalkan dan memenuhi semua tahap perjanjian perkhidmatan dengan pelanggan meskipun berdepan tempoh sukar ketika ini.

“HeiTech berjaya mengharungi tahun 2020 berbekalkan kecekalan dan dedikasi warga kerjanya.

“Di antara pencapaian kami ialah sistem Penang Smart Parking yang telah dibangunkan sendiri oleh HeiTechpada tahun 2019, di mana sistem ini telah terpilih untuk anugerah Malaysia Technology Excellence Award (MTEA) 2020, (Kategori IoT, Pengangkutan).

“Ia juga menggondol Anugerah Inovasi Ketua Menteri dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang . Ini adalah bukti bagaimana HeiTech berjaya melaksanakan inisiatif di bawah Revolusi Industri 4.0 dan membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencapai agenda transformasi digital mereka,” katanya.

Pada tahun yang sama, HeiTech juga melancarkan ezBill dan eLIS, produk-produk Kumpulan yang baru dibangunkan bagi membantu pihak berkuasa tempatan untuk mengubah dan mendigitalkan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan mereka kepada pelanggan.

Pengembangan perniagaan di rantau ini juga diperkukuhkan melalui penubuhan PT DesaTech Nusantara untuk menyediakan sistem kewangan kepada badan koperasi di
Indonesia.

HeiTech juga berjaya memperoleh ISO 37001: 2016, pensijilan Sistem Pengurusan Anti Rasuah yang mencerminkan komitmennya terhadap integriti dan tadbir urus yang baik, pemerolehan pensijilan TIA-942 Rated 3 untuk pusat data di Bukit Jelutong di mana pensijilan itu memperakui kebolehpercayaan perkhidmatan pusat datanya.

Di samping itu, HeiTech juga telah menjalin kerjasama strategik dengan Regal Orion untuk menerokai dan mengembangkan perniagaan pusat data di Malaysia.

“Melangkah ke depan untuk tahun 2021 dan berikutnya, HeiTech telah menyelaraskan strateginya untuk bertindak secara lebih efektif terhadap perubahan pasaran, risiko, ancaman dan peluang. Ia penting bagi membolehkan HeiTech bersedia untuk mengambil bahagian dan menyumbang dalam Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia
(MyDIGITAL), di mana Malaysia menuju ke arah ekonomi bernilai tambah tinggi dan pengeksport teknologi dan penyelesaian digital buatan sendiri menjelang akhir dekad ini.

“Kami akan memperluas penawaran kami dan menyesuaikan portfolio dari kedua-dua perniagaan berdasarkan kontrak dan transaksi serta telah menyusun hala tuju strategik melalui tiga Segmen Teras kami.

“Teras-teras ini diberi sasaran khusus berdasarkan kekuatan masing-masing, penawaran perkhidmatan dan penyelesaian teras dan kehadiran pasaran. Ia akan membolehkan kami lebih fokus pada strategi penembusan pasaran dan mengoptimumkan penggunaan sumber yang ada,” katanya.

HeiTech mempunyai pengalaman lebih dari 25 tahun dalam menyediakan perkhidmatan dan penyelesaian ICT yang transformatif dan terkini kepada sektor awam dan swasta di Malaysia.

Kumpulan tersebut adalah pelopor industri dalam integrasi sistem berskala besar untuk organisasi di Malaysia, membawa kepakaran dan pengalaman luas untuk menyediakan penyelesaian menyeluruh sama ada yang dibangunkan sendiri dan / atau produk dan penyelesaian dari rakan niaga bertaraf antarabangsa bagi memenuhi keperluan pelbagai sektor dan industri .