Global Alliance For Public Relations And Communication Management (GA) yang merupakan gabungan Kesatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi utama dunia, telah memilih Naib Presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) Jaffri Amin Osman sebagai ahli Lembaga Eksekutifnya.
GA adalah organisasi berdaftar di Switzerland yang mewakili lebih dari 300,000 pengamal Perhubungan Awam dari pelbagai industri dan akademik dari 126 negara seluruh dunia.
Beliau juga adalah rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pengerusi Global Alliance For Public Relations And Communication Management (GA) Asia Pasifik.
Jaffri adalah seorang pengamal Perhubungan Awam yang bertauliah dan ahli Felo IPRM dengan pengalaman melebihi 30 tahun. Pemilihan beliau sebagai anggota Lembaga Eksekutif GA berkuatkuasa bagi penggal 2021 hingga 2023.
Penghormatan ini selari dengan perkembangan semasa geo-politik, demografi serta ekonomi yang dinamik dan mampan pelbagai sektor di rantau ini.

Dalam perutusan yang disampaikan oleh Setiausaha Global Alliance yang juga Pengerusi Institut Perhubungan Awam New Zealand, Fiona Cassidy, berkata, “Saya berbangga telah berpeluang untuk berkongsi pentas dengan Jaffri di persidangan perhubungan awam di seluruh dunia selama enam tahun yang lepas.
“Jaffri adalah seorang pengamal perhubungan awam yang profesional dan komited. Tahniah kepada Jaffri dan IPRM kerana mereka kini merupakan ahli lembaga Global Alliance. Kemahiran dan pengalaman Jaffri sudah pasti memberikan sumbangan yang besar kepada kita semua dan saya gembira untuk bekerjasama dengannya,” katanya.
Sementara itu, Presiden IPRM Dato’ Sri Ibrahim Abdul Rahman turut mengucapkan tahniah kepada Jaffri diatas pelantikan ini berkata; “Model PR dan Komunikasi Global 2021 serta peranan dan tugas Jaffri yang pelbagai di Global Alliance sememangnya selari dengan visi IPRM untuk meningkatkan perkembangan Perhubungan Awam Malaysia dengan amalan terbaik dan pemerolehan pengetahuan”.
“Model Perhubungan Awam dan Komunikasi Global 2021 Global Alliance yang mempromosikan pemerkasaan reputasi, kepercayaan dan kesahihan sosial adalah contoh bagaimana kita semua di Malaysia dan di rantau Asia-Pasifik, dapat berkongsi, belajar dan berdaya maju dengan penglibatan kolektif kita bersama Global Alliance”.

“IPRM kini sudah matang. Ia bakal menyambut ulang tahunnya yang ke-60 pada tahun depan iaitu pada tahun 2022. IPRM telah mengembangkan kehadiran jenamanya melalui banyak program melibatkan ahli daripada pelbagai sektor termasuk institusi pendidikan.”
Jaffri telah memainkan peranan utama dalam memperkenalkan program IPRM CHALK – akronim yang menengahkan Perhubungan Awam melalui teknik Berbual (Chatting), Mendengar (Listening) serta Berkongsi Pengetahuan (Knowledge Sharing).
Melalui usahanya, IPRM telah berjaya mengadakan 26 jerayawara (roadshow) CHALK, meliputi lawatan ke Petronas Sabah, PNB, Sarawak Energy dan Khazanah Nasional, serta perkongsian Perhubungan Awam di UiTM, UM, TARC dan juga perkongsian di beberapa pertubuhan media.
IPRM melalui hubungan serantau dan antarabangsanya, juga akan turut membantu Jaffri yang telah ditugaskan untuk memimpin Bulan Pendidikan dan Latihan Perhubungan Awam Global Alliance pada bulan April 2022.
Sementara itu, Datuk Seri Azman Ujang, mantan Pengerusi BERNAMA, agensi berita nasional dan wartawan-kolumnis terkenal, juga mengucapkan tahniah kepada IPRM dan Naib Presiden Jaffri Osman. “Saya telah mengenali Jaffri lebih dari 20 tahun. Kami bersama-sama dalam Lembaga ESU (English Speaking Union Malaysia).

“Sebagai personaliti Perhubungan Awam yang dihormati, beliau telah membantu banyak syarikat multinasional (MNC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui hubungan media dan aktiviti tanggungjawab sosial korporat mereka.
“Saya juga pernah menghadiri Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa KL 2019 (KLIP) dan ia pengalaman yang sungguh mengagumkan. Saya doakan Jaffri dan IPRM memperoleh kejayaan yang berterusan,” katanya.
Felo IPRM, Profesor Dato’ Sri Dr Syed Arabi Idid dari UIAM pula menyatakan bahawa Jaffri telah menjadi kebanggaan Malaysia. “Saya telah mengenali Jaffri selama bertahun-tahun sekarang.
Beliau adalah salah seorang pengamal perhubungan awam yang paling aktif di negara ini, bukan hanya di IPRM tetapi di peringkat antarabangsa. Saya berharap supaya Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia akan mendapat pendedahan yang lebih besar lagi di persada global. Syabas Jaffri. ”
Prita Kemal Ghani, Pengerusi Asean Public Relations Network (APRN) yang berpusat di Jakarta, berkata “Asean PR Network dan saya telah berkawan rapat dengan Jaffri selama lebih dari 10 tahun.
Beliau merupakan keluarga kepada perhubungan awam masyarakat ASEAN dan rantau ini. Dan tentu saja untuk GA juga kerana beliau kini memimpin projek dan program global tertentu. Ketika dipanggil, saya hanya dapat melihat satu nama sahaja untuk disyorkan bagi memimpin wilayah Asia Pasifik kita. Tahniah IPRM. Tahniah Jaff. APRN dan pasukan saya di Jakarta dan ASEAN bersedia bekerjasama dengan anda ”.

Ketua Global Alliance Africa, Peter Mutie dari Peterson Integrated Communication Ltd Kenya, mengatakan “Jaffri tidak hanya menyajikan naratif yang hebat tetapi beliau menjadikannya pembelajaran menjadi mudah serta menyeronokkan.
“Ini membuatkan anda sentiasa mahu menghadiri semua seminarnya. Saya telah menghadiri Persidangan PR Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIP) tahun lalu. Perkongsiannya hebat! Saya mesti mengatakan bahawa kami amat beruntung Jaffri dipilih sebagai salah seorang Lembaga Eksekutif GA dan saya mengucapkan selamat datang ke Global Alliance ”.
Doris Lim, Jawatankuasa Akreditasi IPRM dan pengamal Perhubungan Awam berpengalaman, juga bersetuju sinergi kerjasama IPRM dan GA akan menguntungkan.
“Persahabatan kami menjangkau lebih dari 15 tahun. Perkongsian Perhubungan Awam yang disampaikan Jaffri relevan dan berkesan. Saya pasti beliau akan terus mempromosikan Akreditasi Perhubungan Awam profesional, kerana ini adalah pemacu utama bagi visi dan usaha IPRM dan GA, iaitu untuk memastikan Global Body of Knowledge (GBOK), pengamal Perhubungan Awam berdaya saing dan dinamik.
Ketua Biro Pendidikan IPRM, Profesor Dr. Kiranjit Kaur juga berasa amat gembira dengan pelantikan Jaffri. “Masanya sudah tiba untuk Malaysia melangkah ke tahap Perhubungan Awam dan Komunikasi Global”
Jaffri kini adalah Pengarah Urusan di World Communications Network, Kuala Lumpur. Agensi ini menguruskan aktiviti Perhubungan Awam dan komunikasi sejak tahun 1994.
Beliau juga telah menubuhkan Persidangan Perhubungan Awam Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIP), yang mendapat sambutan memberansangkan dengan penceramah serta penyertaan global. Kerjasama GA di Malaysia ini akan dibantu oleh Joe D’Silva, Ketua Biro Antarabangsa IPRM bagi menyelaraskan aktiviti Asia Pasifik GA dengan IPRM, ASEAN PR Network (Jakarta) serta persatuan dan rakan kongsi Perhubungan Awam di Singapura, New Zealand, Australia, Korea, China, Vietnam, Thailand dan Filipina.





































