CENDANA memperkenalkan jaringan usahasama, BASKL & pertandingan sempena Hari Muzik Sedunia

BASKL ialah Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur, sebuah ruang maya yang diperkenalkan oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya, atau CENDANA (sebuah unit dibawah MyCreative Ventures Sdn. Bhd.).

Ia bertujuan menyumbang kepada pemeliharaan ekosistem seni budaya di Kuala Lumpur, dan mendorong penduduk tempatan dan pengunjung untuk sama-sama mempelajari lebih lanjut dan menikmati seni, muzik, kraf dan seni persembahan yang memperkaya bandar yang indah ini dan juga seluruh negara.

BASKL boleh dilawati dengan melayari www.baskl.com.my .

Melalui pembangunan kandungan yang digubah dan disusun khas, pengunjung dapat
meneroka aktiviti dan peristiwa di Kuala Lumpur dan sekitarnya, serta cerita-cerita menarik, video dan podcast yang bertumpukan Malaysia dan barisan seniman, artisan dan pekerja tadbir tempatan yang luar biasa.

Izan Satrina Sallehuddin Founding CEO of CENDANA

Semasa pelancaran laman web BASKL melalui Facebook Livestream CENDANA yang bermula kira-kira jam 8.30 malam, Ketua Pegawai Eksekutif CENDANA, Izan Satrina Mohd
Sallehuddin berkata, “Sejak penubuhan CENDANA pada bulan September 2017, sektor
muzik independen telah meningkat mendadak menjadikannya sektor kedua tertinggi bagi
kami.

“Memandangkan permintaan yang meningkat, CENDANA berharap dapat memperkuatkan peranannya dalam menyokong pembangunan muzik independen di seluruh Malaysia. Usaha yang meluas ini datang dalam banyak bentuk sama ada pembangunan modal insan, program geran, peluang membina jaringan, dan banyak lagi.

“Hari ini, kami berbesar hati dapat melaksanakan usaha yang sama pentingnya untuk memperkenalkan kembali usaha membina apreasiasi tinggi terhadap sektor seni budaya, termasuk industri muzik melalui laman web BASKL.com.my,” katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Dato’ Sri Mohammad Mentek, menekankan sokongan berterusan Kementerian untuk industri muzik, ini (BASKL) adalah antara sokongan ekosistem yang baik kerana industri muzik telah menyediakan pekerjaan kepada 83,000 rakyat Malaysia dan setiap ringgit yang dibelanjakan
dalam industri muzik menghasilkan sekitar RM2.20 bagi setiap pengeluaran bagi ekonomi
Malaysia.

“Berdasarkan ini dan banyak aspek sosial lain, industri muzik adalah industri yang KKMM harap dapat dibangunkan secara bersama melalui penubuhan Perbadanan Muzik dan pelaksanaan pelbagai program di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia
(PRISMA),” katanya.

Noor Azmi Mat Said Chairman of MyCreative Ventures

Semasa mengucapkan tahniah atas pelancaran laman web BASKL, Pengerusi MyCreative
Ventures Sdn. Bhd.; Noor Azmi Mat Said menambah bahawa BASKL adalah sebahagian
daripada Inisiatif Ekonomi Jingga atau “Orange Economy” Kumpulan itu dan akan membantu Industri Muzik berhadapan dengan keadaan yang mencabar ini disebabkan oleh pandemik.

“Kami juga menyambut pengumuman oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
melalui Pelan Pemulihan Nasional: Peralihan Fasa PKP Secara Berperingkat yang memberikan beberapa maklumat penting untuk membantu penggiat industri kreatif dan
perniagaan membuat rancangan.

Sudah tentu, dengan usaha vaksinasi yang rancak, industri muzik dapat dibuka secara berperingkat secepat mungkin.

Buat masa ini, seperti semua orang tahu, hanya siaran langsung dalam talian dari rumah sahaja yang dibenarkan.

MDT Band from Musicians for Musicians Malaysia (MFM)

Dengan pelancaran BASKL bersempena dengan Hari Muzik Sedunia, Livestream tersebut
telah mempersembahkan persembahan pra-rakaman dari rumah oleh barisan pemuzik
Musicians for Musicians Malaysia (MFM), iaitu, Kudin Ramly, Mizan & Kyra, Don & Angela, MDT Family Band, dan Brian Dourado.

MFM ialah sebuah persatuan dengan misi untuk membantu pemuzik yang kehilangan sumber pendapatan mereka sejak Mac 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama kali dilaksanakan.

Edwin Nathaniel, Wakil Presiden MFM berkata, ini merupakan perjalanan yang penuh
cabaran bagi kami dan seluruh industri muzik selama pandemik ini.

Trophy Knives from Musicians for Musicians Malaysia (MFM)

“Kami berusaha untuk tetap menghidupkan arena ini dengan terus menggalakkan pemuzik untuk membuat persembahan setiap hari secara atas talian dan disiarkan secara langsung melalui laman FB kami kepada orang ramai. Para pemuzik dapat menjana pendapatan mereka, dimana ianya adalah penting bagi kami,” katanya.

Beliau menambah bahawa kerjasama dengan CENDANA untuk menampilkan 10 orang pemuzik MFM untuk pelancaran laman web BASKL sangat istimewa.

“Kami bersyukur ke atas kerjasama dengan CENDANA kerana 490 orang pemuzik akan
disokong hingga akhir tahun ini,” katanya.

Bizhu from Musicians for Musicians Malaysia (MFM)

Dalam semangat penuh pelancaran laman web BASKL dan Hari Muzik Sedunia, BASKL akan
memaparkan artikel-artikel meraikan artis Malaysia di dalam arena muzik di samping
menampilkan kurasi khas muzik Malaysia di Spotify.

Tambahan pula, satu pertandingan fotografi ‘KLik’ juga telah dilancarkan. KLik ialah sebuah pertandingan fotografi bulanan yang dianjurkan oleh BASKL dengan tema yang berbeza.

Tema untuk pertandingan pertama ialah ‘Lagu Dalam Gambar’ dimana rakyat Malaysia dijemput untuk mengambil gambar yang mengingatkan orang ramai tentang lagu buatan Malaysia.

Don Beins and Angela Astrid Beins from Musicians for Musicians Malaysia (MFM)

Seramai 10 orang pemenang bertuah akan dipilih setiap bulan untuk memenangi hadiah wang tunai. Pertandingan akan bermula pada 29 Jun 2021 dan maklumat lanjut boleh didapati di laman web BASKL.

BASKL menjemput penganjur aktiviti seni secara dalam talian dan fizikal (terkecuali semasa PKP), pemilik ruang dan persatuan seni, penulis seni, dan masyarakat umum agar aktiviti seni mereka dipromosikan melalui platform ini.

Kudin Ramly from Musicians for Musicians Malaysia (MFM)

Ramai penulis, jurugambar dan juruvideo diperlukan untuk sama-sama menyediakan pelbagai kandungan menarik untuk orang ramai. Kerjasama dengan pihak berkepentingan yang lain juga sangat dialu-alukan.