Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara mencadangkan kerajaan mewujudkan pusat tahanan dan pemulihan khas bagi golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) yang berkelakuan melampau sehingga menganggu ketenteraman awam dan kesejahteraan rakyat, terutama di media sosial baharu.

Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, ini berikutan tindakan LGBT yang bertindak melampau dengan menghasut dan mencabar pihak berkuasa serta kes terkini usahawan kosmetik transgender yang menayangkan payu dara secara langsung di platform media sosial baharu serta melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap kanak-kanak lelaki di bawah umur adalah suatu perkara yang tidak boleh diterima dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara berterima kasih di atas keprihatinan rakyat Malaysia yang menegur golongan LGBT yang melampau ini serta penguatkuasaan tegas termasuk menahan golongan LGBT yang dikenal pasti oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Masyarakat tidak boleh membiarkan kebiadaban golongan LGBT ini yang begitu terbuka dan berleluasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara secara bertegas mencadangkan keperluan mewujudkan satu pusat tahanan dan pemulihan khas LGBT bagi merawat dan membimbing golongan itu ke arah
kebaikan kerohanian kesejahteraan rakyat.

“Saya percaya pihak PDRM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sudah mempunyai modul dan program bagi mendekati golongan LGBT supaya mereka tidak berasa terpinggir.

“Kami mengesyorkan pendidikan mengenai LGBT seharusnya dimulakan di peringkat sekolah supaya pelajar terdedah kepada gejala gaya hidup sedemikian, yang menjurus pada seks bebas, kerosakan institusi kekeluargaan serta masyarakat dan penyumbang
kepada penularan jangkitan HIV.

“Guru kaunseling perlu memainkan peranan menyebarkan maklumat mengenai perkara itu dan bagaimana untuk mengelak atau menangani permasalahan terbabit,” katanya.