Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara memohon penjelasan daripada Kerajaan berhubung sebuah pesawat Boeing milik Israel yang dikesan merentas ruang udara Putrajaya sebelum mendarat di pangkalan tentera udara negara jiran.
Pengerusinya, Senator Datuk Razali Idris berkata, persoalannya sekarang ialah adakah pesawat mengikut laporan Jurnal Defense Security Asia, jenis Boeing 737-400 bernombor 4X-A00 milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) iaitu sebuah syarikat kontraktor berpangkalan di Tel Aviv diberikan kebenaran terbang di ruang udara negara?
Beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia berkata, rakyat perlukan penjelasan yang segera apatah lagi pesawat ini dikatakan digunapakai sebagai platform ujian peralatan radar dan elektronik termasuk ia direka untuk menampung sistem perisikan semboyan rondaan maritim, perisikan imej, sistem amaran awal udara (AEW) dan sistem perlindungan misil pesawat komersial.
“Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara memandang serius dalam soal keselamatan dan kesejahteraan rakyat di negara ini, terutama ancaman Israel yang menyasarkan Malaysia, sebagai negara yang lantang memperjuangkan rakyat Palestin dan menentang kezaliman zionisme tentera Israel.
“Apakah sudah ada cubaan provokasi termasuk keperluan mengancam negara kecil yang bertegas seperti Malaysia termasuk suara lantang oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan kezaliman dan penindasan rakyat Palestin yang tidak berperikemanusiaan?,” katanya.