Kemeriahan bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidilfitri dapat dirasai di KPJ Sentosa KL Specialist Hospital dengan pelbagai aktiviti yang telah dijalankan.

Penglibatan kakitangan hospital, orang awam, pesakit dan doktor memeriahkan lagi suasana bulan Ramadhan dan Syawal. Misi Sentosa Kongsi Rezeki turut bekerjasama dengan organisasi luar seperti Masjid Ibn Sina dan Art Market Malaysia.

Eksekutif Perhubungan Awam KPJ Sentosa KL, Syarifah Aini berkata “Misi Sentosa Kongsi Rezeki ini merupakan program wajib tahunan apabila menjelang Ramadhan dan Syawal. Pecahan peruntukan ini dalam bentuk wang tunai, barangan dan makanan. Setiap pecahan dibahagikan mengikut keperluan aktiviti’.

Kemeriahan suasana bulan Ramadhan dimulakan dengan pemberian kurma kepada pakar-pakar di hospital dan diteruskan dengan program wajib tahunan iaitu agihan lebih 600 bekas bubur lambuk kepada kakitangan-kakitangan hospital, petugas barisan hadapan, orang awam dan rakan-rakan media.

Selain itu, 100 orang penunggang motosikal ‘e-hailing’ turut menerima tajaan minyak petrol percuma bagi meringankan beban mereka sepanjang bulan Ramadhan dan pandemik COVID-19 ini.

KPJ Sentosa KL juga tidak melupakan golongan-golongan yang kurang berkemampuan seperti rumah amal serta gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.

Wang tunai, barang keperluan harian serta penjagaan kesihatan yang disumbangkan oleh kakitangan-kakitangan hospital diserahkan ke Rumah Amal Titian Baiti Al-Jannah, Rawang bagi membantu rumah Baiti Al-Jannah meneruskan penjagaan terbaik kepada kanak-kanak OKU di rumah tersebut.

Golongan gelandangan juga menerima sumbangan keperluan harian dan kit penjagaan kesihatan seperti gel pembasmi kuman serta pelitup muka bagi membendung penularan COVID-19.

Katanya, sentosa Kongsi Raya diteruskan dengan pemberian kuih serta sampul raya kepada pesakit-pesakit di hospital dan hamper raya kepada panel-panel klinik yang sentiasa menyokong KPJ Sentosa KL.

Walaupun kita tidak dapat beraya seperti tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19, pihak hospital berharap sumbangan-sumbangan yang dihulurkan dapat memeriahkan Hari Raya Aidilfitri mereka pada tahun ini”.

Bulan Ramadhan dan Syawal ini jadi lebih bermakna dengan sambutan Hari Ibu, Hari Jururawat Sedunia serta Ulang tahun yang ke 40 hospital KPJ. Kek cawan juga diagihkan ke semua pesakit di setiap tingkat hospital dan kakitangan yang bertugas bersempena sambutan-sambutan tersebut.