Persatuan Rakan Media Prihatin berharap kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dapat mempercepatkan perancangan penubuhan sebuah yayasan khas untuk membela dan membantu kakitangan serta bekas kakitangan industri media tempatan.

Hasrat penubuhan yayasan khas media terhasil daripada perjumpaan tertutup antara Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dengan wakil-wakil persatuan media dan bekas kakitangan media pada Mac lalu.

Pengerusi Persatuan Rakan Media Prihatin, Khairuzzaman Mohammad berkata, hasil perjumpaan khas berkenaan semua pihak bersetuju bahawa kerajaan perlu memainkan peranan penting untuk membantu industri media khususnya lebih 5,000 kakitangan media yang diberhentikan sejak 2018.

Persatuan Rakan Media

“Matlamat yayasan berkenaan adalah untuk mewujudkan satu organisasi yang mampu menjana kewangan kukuh dalam usaha membela kakitangan industri media jika berdepan sebarang cabaran seperti penutupan syarikat dan pemberhentian pekerja.

“Kami amat berterima kasih kepada Datuk Zahidi atas sokongan beliau dalam usaha menubuhkan yayasan khas media dan berharap perkara ini dapat disegerakan bagi memudahkan proses membantu rakan-rakan media yang sedang berdepan cabaran getir ketika ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap agar Menteri Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah dapat menyokong usaha murni ini dan perkara ini dapat dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pihak media telah banyak memberi sokongan kepada kerajaan selama ini dan ketika industri ini berdepan situasi sukar amat wajar jika kerajaan dapat memberi perhatian dan sokongan yang sepatutnya.

“Perubahan persekitaran industri ketika ini telah menunjukkan bahawa kakitangan industri media perlu bersatu dan merancang pelan kelangsungan kebajikan mereka untuk jangka masa panjang. Pada kami penubuhan yayasan khas ini adalah langkah terbaik yang perlu disegerakan,” katanya lagi.