Pengenalan model yang dinaik taraf setiap dua tahun sudah menjadi satu amalan atau kemestian bagi pengeluar kenderaan dari Jepun dan juga pengeluar kenderaan lain.

Ini kerana ketika tahun pertama dikeluarkan tentunya ada beberapa kelemahan, kekurangan dan ciri-ciri yang perlu diperbaiki berdasarkan maklumbalas daripada pengguna kenderaan itu sendiri.

Justeru, tidak hairanlah Honda Malaysia memperkenalkan versi terbaharu yang dikemaskini untuk model ‘crossover’ tujuh tempat duduk popular mereka, iaitu Honda BR-V.

Honda BR-V berkuasa 1.5 liter kali pertama dilancarkan pada 2017 dan sejak daripada tempoh itu beberapa penambahbaikan dilakukan dan untuk tahun 2020, model berkenaan sekali lagi dikemaskini daripada segi rekaan luaran dan dalaman.

Ketika ini, Honda memperkenalkan dua varian untuk BR-V iaitu Varian E dan V. Terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua varian ini dimana varian V adalah lebih banyak ciri yang ditawarkan. Lihat jadual dibawah:

Rekaan luaran

BR-V kali ini tampil dengan rekaan luaran lebih bergaya khususnya gril baharu, bampar depan dan belakang baharu dengan kemasan di bahagian bawah serta kemasan lampu kabus. Elemen krom juga melengkapi dibahagian sisi pintu dan bahagian hadapan.

Sekilas pandang model itu kelihatan lebih ‘maskulin’ dengan padanan gril krom yang lebih menonjol seakan rekaan ‘model abang longnya’ iaitu CR-V. Manakala padanan rim aloi 16-inci dua tona yang cukup sepadan dengan antenna sirip jerung baharu yang diatas bumbung.

Honda turut menawarkan warna baharu yang pertama kali ditampilkan untuk mana-mana model Honda, iaitu Marine Purple Pearl.

Warna-warna lain masih ditawarkan iaiu White Orchid Pearl, Modern Steel Metallic, Lunar Silver Metallic dan Passion Red Pearl.

Ruang Dalaman

Paling menarik perhatian penulis ialah buat pertama kalinya varian V model BR-V ini dilengkapi ‘pedal syif’ di belakang stereng bagi membolehkan pemandu melakukan penukaran gear secara manual hanya dihujung jari.

Sebelum ini, model terdahulu BR-V tidak dilengkapi ciri ‘pedal syif’ dan ini menjadi satu kelebihan kepada Honda berbanding pesaingnya.

Selain itu, beberapa ciri baharu dapat dilihat sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang dalaman seperti pembesar suara (tweeter), lampu kargo, penapis udara kabin, paparan audio 7-inci serta kemasan merah pada tempat duduk kulit baharu.

Bagi varian V model BR-V yang dipandu uji kali ini, penulis dapat rasakan ciri kemewahan ditonjolkan pada model 2020 kali ini. Walaupun sesi pandu uji sepatutnya dijalankan tahun lalu dan tergendala akibat wabak COVID-19, kesemua ciri yang dipadankan itu menjadikan model itu lebih premium dan selesa.

Untuk nampak lebih sporty, tombol gear disaluti jahitan dengan kekemasan benang merah dan pelapik tangan serba merah pada bahagian pintu kenderaan berkenaan.

Masih mengekalkan ciri 7 tempat duduk, BR-V menawarkan ruang seluas 223 liter jika kesemua kerusi dinaikkan manakala 539 liter apabila kerusi baris ketiga direbahkan.

Untuk varian E, ia kini mendapat ciri standard baharu iaitu pendingin hawa automatik, kunci pintar, dan butang hidup mula/tekan.

Enjin 

Honda BR-V masih dipacu oleh enjin 1.5 SOHC i-VTEC yang berupaya menghamburkan kuasa 120hp dan dipadankan dengan transmisi CVT, menyalurkan kuasa ke roda depan.

BR-V baharu juga dilengkapi dengan padel syif untuk memberikan pengalaman pemanduan lebih sporty.

Dengan tangki minyak penuh, kenderaan ini mampu mencapai jarak perjalanan sejauh lebih 500 kilometer namun bergantung kepada corak pemanduan anda.

Harga jualan tidak termasuk insurans Honda BR-V 2020 ialah dari RM86,386 untuk varian E, manakala dari RM93,080.27 untuk varian V.

Kesimpulan

Sepanjang minggu penulis memandu uji Honda BR-V ini, perkara pertama yang dirasai ialah keseronokan memandu dengan menggunakan pedal syif tujuh kelajuan yang lancar dan responsif.

Jika mahukan lebih berkuasa, turunkan sahaja gear daripada D kepada S, untuk mengalami tukaran gear yang lebih responsif.

Meskipun dipandu dilaluan tidak rata dan berlubang-lubang, kenderaan ini mampu melepasi pelbagai rintangan yang dihadapi.

Walaupun model ini turut bersaing dengan SUV kompak yang sekelas dengannya, namun Honda BR-V memiliki kelebihan tersendiri seperti kedudukan jarak rodanya lebih rendah  sekali gus memberikan pemanduan lebih stabil di jalan raya.

Selain itu, kerusi baris kedua dan belakang yang boleh dilipat mengikut keperluan untuk membawa barangan lebih besar menjadikan BR-V sebuah kenderaan yang praktikal untuk apa juga kegunaan.

Jadi, model ini sesuai dimiliki oleh mereka yang berkeluarga kecil atau menjadi sebuah kenderaan yang mempunyai tujuh tempat duduk dengan gaya sebuah crossover yang mampu meredah apa jua bentuk permukaan jalan raya di negara ini.

Bagaimanapun, sedikit elemen yang mungkin boleh diperbaiki pada masa depan ialah mungkin boleh memasang perehat tangan ditengah-tengah antara dua kerusi hadapan bagi tujuan kelesaan kepada pemandu.