Pernahkah anda mengalami situasi kehilangan kunci atau tercicir barangan penting mahupun binatang kesayangan anda seperti kucing yang tidak boleh ditemui dalam masa singkat?

Tentu sekali situasi yang mencemaskan itu akan menyebabkan hidup anda seharian tidak keruan sekali benda yang dicari itu tidak dijumpai.

Nah, kini ada satu-satunya peranti terbaharu yang mampu menyelesaikan masalah kehilangan barangan atau tersalah letak yang boleh dihubungkan terus kepada telefon pintar anda.

Samsung Galaxy SmartTag adalah penyelesaian kepada masalah yang anda hadapi atau satu hari mungkin akan terjadi. Peranti ini diperkenalkan bersama pada awal tahun ini ketika Samsung mengumumkan pengenalan barisan telefon pintar mercu terbaharu Galaxy S21.

Apa itu Galaxy SmartTag?

Mula-mula sekali kita lihat saiz peranti kecil ini yang boleh disamakan dengan sebesar dua ibu jari tangan dan berbentuk hampir empat segi dengan permukaan yang lembut serta selesa dipegang.

Peranti ini berukuran (39.1 x 39.1 x 10.4mm) dan hanya memiliki berat hanya 13 gram serta keupayaan bateri 220 mAh. Ia boleh disambungkan menerusi bluetooth pada telefon pintar. Galaxy SmartTag dikuasakan oleh Bluetooth Low Energy (BLE).

Melalui aplikasi khusus Samsung SmartThings, pengguna boleh mencari lokasi barangan berkenaan, dan menjejaknya sekiranya hilang dengan hanya menekan butang pada telefon pintar.

Peranti ini mempunyai butang ditengah dan lubang kecil diatas bagi membolehkan ia digantung kepada kunci, beg, kolar binatang atau apa sahaja yang berpotensi untuk mudah hilang.

Bagaimanapun, peranti ini dilihat tidak praktikal untuk diletakkan didalam dompet duit disebabkan saiznya yang sedikit tebal namun boleh disimpan dalam beg tangan.

Bagaimana ia berfungsi?

Ketika ini, Galaxy SmartTag hanya beroperasi bersama peranti Samsung Galaxy sahaja, dan tidak menyokong peranti Android atau iPhone.

Untuk menyambungkan peranti ini dengan telefon pintar Samsung Galaxy, anda hanya perlu membuka aplikasi SmartThings atau jika tiada hanya memuat turun dari Galaxy Store dan masukkan Galaxy SmartTag didalam menu telefon pintar anda.

Dengan aplikasi SmartThings, anda boleh melakukan apa sahaja termasuk mengawal peranti elektronik pintar Samsung lain seperti televisyen dan sebagainya.

Sebagai contoh, untuk mencari telefon pintar anda yang tercicir, anda hanya perlu menekan butang SmartTag ini sebanyak dua kali dan telefon pintar anda akan mengeluarkan bunyi untuk memudahkan anda menjejakinya.

Namun apa yang penting ialah ciri Bluetooth perlu diaktifkan pada telefon pintar anda bagi memudahkan SmartTag ini menjejaki telefon anda nanti.

Untuk menjejaki kunci kereta yang disangkutkan dengan peranti ini, anda mempunyai beberapa pilihan iaitu, peranti ini akan mengeluarkan isyarat mengikut jarak tertentu iaitu isyarat menjadi bertambah kuat apabila ia semakin hampir.

Kaedah kedua ialah anda boleh menjejaki dalam jarak sekitar 20 meter menerusi peta dalam telefon pintar anda dan menekan butang pada telefon anda sekaligus menghasilkan bunyi pada tag ini.

Bunyi yang dihasilkan oleh Galaxy SmartTag ini sangat kuat dan anda mempunyai 10 pilihan bunyi yang kuat.

Jarak dan bateri

Ketika peranti ini diuji, ia mampu mengeluarkan bunyi sehingga jarak kira-kira 30 meter dan cukup mudah mengesan mana-mana barangan yang ada di dalam rumah.

Ini bermakna, anda boleh menggunakan peranti ini dengan mana-mana benda penting sekiranya anda bimbang ia hilang atau dicuri.

Samsung dalam spesifikasi teknikalnya memberitahu peranti ini mampu menjejak sesuatu barangan menggunakan Bluetooth dalam jarak maksimum 120 meter, namun bergantung kepada keadaan persekitaran ketika tag ini digunakan.

Bateri yang digunakan dalam peranti ini ialah jenis CR2032, berkuasa 220mAh. Bateri jenis ini boleh dibeli dimana-mana kedai jam atau kedai serbaneka 24 jam dan ia mampu bertahan selama kira-kira 300 hari.

Untuk menukar bateri peranti ini cukup mudah dengan hanya mengumpil tag menggunakan duit syiling.

Kesimpulannya

Adakah peranti ini berbaloi untuk dimiliki? Tentu sekali berbaloi kerana ia amat praktikal disebabkan saiznya yang kecil dan ringan. Ia mampu memberikan isyarat yang jelas kepada telefon pintar anda yang dihubungkan dengan peranti ini.

Bagi anda yang mempunyai binatang peliharaan seperti kucing, anjing atau arnab, boleh lekatkan saja peranti ini pada kolar yang dipasang.

Selain itu, bagi anda yang sering mengembara, boleh juga meletakkan tag ini dalam beg bagasi masing-masing dan mudah dikesan apabila bag ini tiba dilapangan terbang.

Anda boleh memilih pelbagai jenis kategori atau benda yang mahu dihubungkan dengan SmartTag ini menerusi paparan pada skrin telefon pintar anda. Hebat Bukan!

Di Malaysia, Samsung Galaxy SmartTag ini ditawarkan pada harga RM119 dalam dua warna iaitu hitam dan oatmeal.

Peringatan

Sebagai satu peringatan jika menggunakan SmartTag ini, sila jauhkan peranti ini daripada kanak-kanak kecil kerana jika bateri peranti ini ditelan ia boleh menyebabkan berlaku kecederaan dalaman dan boleh membawa maut dalam tempoh dua jam.

Jika kejadian ini berlaku segera dapatkan bantuan pihak perubatan atau doktor. Juga elakkan daripada persekitaran yang panas seperti diletakkan berhampiran api.