Jika kita masih ingat satu ketika dahulu Perodua Kancil diperkenalkan dengan enjin 660 cc dan 850 cc iaitu dibawah 1,000cc dan selepas beberapa tahun kemudian, anak-anak muda mula menaiktarafkan kereta itu kepada enjin Turbo yang lebih berkuasa maka lahirlah Kancil Turbo.

Bagaimanapun, Kancil Turbo adalah aksesori tambahan dan bukannya mendapat jaminan pengeluaran kilang.

Namun, penggunaan kit Turbo bukanlah perkara baharu ketika ini kerana hampir semua kenderaan bukan nasional sudah mula melengkapkan enjin kenderaan masing-masing dengan komponen ini.

Kebanyakan kenderaan sama ada buatan Jepun seperti Honda, atau buatan Jerman seperti Volkswagen, Mercedes-Benz yang berada dijalan raya Malaysia sudah mula menggunakan Turbo sebagai pilihan utama.

Maka tidak hairanlah, walaupun menggunakan enjin berkuasa kecil, padanan kit Turbo akan memastikan prestasi enjin dan pikap enjin kenderaan itu bertindak responsif.

Justeru, tidak hairanlah Perodua buat pertama kalinya menghasilkan model baharu yang dllengkapi enjin suntWalaupun pada asasnya Ativa adalah pengganti kepada Perodua Kembara yang sudah begitu lama dipasarkan sejak 1998 lagi, namun secara jujurnya, model itu tidak seharusnya dikaitkan dengan Kembara kerana ia jauh berbeza daripada segi rekabentuk mahupun teknologi digunakan.

Rekaan Luaran

Ativa yang berasal daripada perkataan Portugas bermaksud Aktif terhasil menerusi kerjasama antara jurutera Daihatsu dan Perodua yang bersama-sama membangunkan model berkenaan secara menyeluruh bagi memenuhi citasarasa pengguna tempatan.

Jika dilihat secara kasar, Perodua Ativa kelihatan seperti sebuah model Myvi yang direka semula menjadi sebuah SUV (kenderaan sukan utiliti) yang kompak dengan kedudukannya lebih tinggi dan sedikit besar.

Paling ketara ialah rekaan gril hadapan yang lebih besar dengan padanan lampu LED bergaya manakala rekaan bonet belakang cukup menarik hampir sama dengan model Myvi baharu.

Ativa dihasilkan dengan dimensi 4,065 mm panjang, 1,710 mm lebar, 1,635 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,525 mm.

Perodua Ativa, juga adalah model pertama di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build dan dibina atas platform global antara Perodua dan Daihatsu.

Pembangunan Ativa bermula daripada papan lukisan dengan 54 pereka dan jurutera Perodua bekerjasama dengan Daihatsu sejak 2018 tanpa mengetepikan reka bentuk, ciri-ciri dan citarasa Malaysia yang unik.

Model Ativa yang dipandu uji Prebiu.com ialah varian X berwarna Grey – varian paling asas tetapi dipadankan dengan aksesori lengkap GearUp merangkumi luaran dan dalaman.

Rekaan Dalaman

Melangkah masuk ke ruang dalaman Ativa ini cukup mempersonakan kerana kekemasannya cukup memuaskan hati. Paling mengujakan ialah ia dipadankan dengan panel instrumen separa digital, roda stereng yang hanya dilengkapi butang kawalan Power (ciri standard), sistem infotainmen kawalan manual, butang penghidup enjin dan pelbagai ciri terkini.

Berbeza dengan model sebelumnya, Ativa datang dengan sistem kunci Smart Entry dengan sensor sentuhan.

Ini bermakna jika anda sentuh sahaja pemegang pintu, sistem kunci Ativa akan terbuka tetapi hanya pada bahagian pintu pemandu sahaja. Jika mahu semua pintu dibuka anda perlu menyentuh pintu depan sebanyak dua kali.

Rekaan papan pemuka kenderaan ini cukup moden dan walaupun menggunakan bahan gabungan antara plastik dan petro kimia, ia nampak bergaya. Rekaan tekstur ‘berlian’ pada sistem audio dan panel tombol gear tampil premium manakala pada bahagian pintu menggunakan plastik lembut pada perehat tangan.

Apabila dilengkapi aksesori GearUp, aspek ketelitian dapat dilihat pada gabungan garisan merah dikerusi yang menggunakan bahan PVC manakala lampu dalaman biru pada ruang lantai kaki didalam kereta.

Meskipun varian X, ciri yang penulis gemari ialah tempat meletak botol atau cawan siap bina yang dipadankan pada corong penyaman udara yang mengingatkan penulis kepada model Perodua Kenari yang pernah penulis miliki dahulu.

Pada sistem stereng, Ativa turut menerapkan ciri-ciri perincian seperti semua butang di stering akan menyala dengan warna oren waktu malam, termasuk butang kawalan tambahan (ASA) di papan pemuka dan juga tombol gear.

Satu butang yang cukup penting pada stereng ini ialah butang Power yang berfungsi untuk mengubah prestasi enjin daripada kelajuan biasa tetapi kepada kuasa pecutan luar biasa seakan menekan butang ‘Nos’ dalam filem ‘Fast & Furious’. Hebat bukan!

Enjin

Ia adalah model pertama Perodua yang dipadankan dengan enjin turbo, iaitu unit 1KR-VET 1.0 liter tiga silinder berkuasa 97 hp dan tork maksima 140 Nm.

Ativa merupakan kenderaan cas turbo pertama Perodua, model pertama Perodua yang
menggunakan Transmisi Boleh Laras Berterusan (CVT) dan model pertama Perodua yang
memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2, selain menjadi kenderaan paling
mampu milik di Malaysia yang memenuhi standard tersebut.

Semua teknologi ini menyumbang kepada kecekapan bahan api sehingga 18.9 km/l,
menjadikannya Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) kelima Perodua.

Ketika kereta ini dipandu di lebuh raya, penulis dapat merasakan kuasa Turbo memerlukan sedikit masa untuk bertindak jika anda mula menekan pedal minyak untuk memecut dari 90-120km dengan pantas.

Bagaimanapun, ada cara lebih mudah iaitu dengan menolak kedudukan gear daripada kedudukan D kepada S (Sport) dan turunkan gear sehingga 2 kedudukan.

Ia membantu turbo bekerja lebih pantas dan nak lagi ‘power’, tekan sahaja butang POWER pada sebelah kanan stereng dan anda boleh rasa sedikit perbezaan pecutan yang lebih bertenaga.

Namun, jika anda mahu mencuba pilihan gear manual pula, boleh bermain dengan tombol gear 7 kelajuan dengan menolak kepada slot + atau – bagi tujuan untuk memotong, mendaki bukit atau menuruni bukit. Tetapi alangkah bagusnya jika ada pedal shif dibekalkan pada stereng jadi tidak perlu satu tangan sahaja yang memegang stereng.

Sebenarnya, pada pemanduan biasa, anda sebenarnya sudah dapat merasakan ‘pikap’ Ativa ini cukup responsif setiap kali pedal minyak ditekan dan kadang-kala tidak perasan meter sudah mencecah 150 kilometer sejam.

Sistem Keselamatan

Ativa menerima sistem keselamatan yang sangat tinggi di mana ia diberikan enam-beg udara standard untuk semua varian, sistem-sistem keselamatan pasif (kawalan kestabilan elektronik, ABS, EBD) dan juga sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, amaran titik buta dan sebagainya.

Bantuan Pemanduan Selamat (ASA*) 3.0 membuat kemunculan pertamanya pada Perodua
Ativa, dan ianya terdapat pada semua varian buat julung kali.

ASA 3.0 berfungsi pada kelajuan yang lebih tinggi (sehingga 120 km/j untuk kenderaan dan sehingga 60 km/j untuk pejalan kaki) berbanding sistem ASA 2.0 semasa, dan kini boleh mengesan kenderaan beroda dua serta berfungsi pada waktu malam.

Pada semua varian juga terdapat enam beg udara, lampu hadapan LED automatik dengan
Auto High Beam dan Lane Departure Warning and Prevention.

Apa yang membezakan antara varian X dengan Varian H dan AV mempunyai Adaptive Driving Beam, paparan multi-info TFT tujuh-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh sembilan-inci dengan pengecaman suara.

Ativa Varian X (kanan) vs Ativa Varian H (kiri)

Varian AV secara eksklusif mempunyai Lane Keep Control, Blind Spot Monitor, Rear Cross Traffic Alert dan Adaptive Cruise Control.

Untuk pemanduan jarak jauh, sistem Adaptive Auto Cruise sangat membantu dan penulis cukup yakin menyerahkan pemanduan secara autonomus kepada Ativa.

Ini dapat dibuktikan apabila penulis menguji sistem amaran brek pra perlanggaran dan brek pra perlanggaran yang berfungsi dengan cemerlang.

Ativa Varian X (kanan) vs Ativa Varian H (kiri)

Sistem Lane Departure Watch pula akan sentiasa memastikan penulis sentiasa menggunakan lampu isyarat apabila menukar lorong pemanduan manakala sistem RCTA akan memberikan amaran kehadiran kereta ketika mengundur dan Sistem Amaran Titik Buta memberikan amaran mengenai kehadiran motosikal atau kenderaan disebelah kiri dan kanan pemandu.

Harga

Walaupun Ativa dilengkapi pelbagai banyak teknologi canggih, harga yang ditawarkan pada Ativa ini sebenarnya lebih berbaloi kerana ia dilengkapi pelbagai ciri teknologi masa kini seumpama anda membeli sebuah kereta buatan Jepun berharga lebih RM100,000.

Perodua Ativa dijual pada harga atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia bermula dari RM61,500 hingga RM72,000 bergantung pada varian.

Harga tersebut lebih rendah daripada harga tentatif RM62,500 hingga RM73,400 yang telah diumumkan sebelum ini, dan sah sehingga pengecualian cukai jualan kerajaan berakhir pada 30hb Jun nanti.

Bagi model Ativa varian X, harga diatas jalan raya tidak termasuk insurans ialah RM61,500 manakala model AV special metalik pula RM75,476.32 dan metalik (RM74,949.58).

Kesimpulan

Sepanjang hujung minggu Perodua Ativa ini dipandu uji, ia sebenarnya adalah sebuah kenderaan yang sesuai dipandu setiap hari ke tempat kerja atau mereka yang mahu pertama kali mencari sebuah kenderaan buatan nasional menggunakan kuasa turbo.

Pada harga atas jalan termasuk insurans dibawah RM70,000, ia dianggap berbaloi untuk dimiliki disebabkan sistem teknologi terkini yang dipadankan seperti enjin 1000cc turbo, transmisi D-CVT, sistem ASA 3.0 merangkumi (Brek AEB, amaran perlanggaran, Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Lane Keep Assist, Rear Cross Trafic Alert, 6 beg udara serta pelbagai lagi ciri dalaman lain.

Ativa varian X dipadankan dengan tayar jenis GoodYear bersaiz 205/60 R16 yang cukup mantap ketika meredah laluan kampung yang tidak rata mahupun di lebuh raya lurus.

Ini bermakna segala ciri yang ada pada Ativa sebenarnya terdapat pada kenderaan berharga lebih RM100,000 tetapi anda boleh mendapatkannya pada harga bawah RM70,000. Berbaloi? Tentunya berbaloi-baloi.