Pandangan pertama yang terlintas apabila menerima set peranti terbaharu dalam siri Galaxy A iaitu Samsung A12 ini ialah rekaan badan belakang yang selesa digenggam dilengkapi kemasan kesan kabut dan kusam yang unik.

Ini kerana kebiasaannya, penulis biasa menerima peranti yang dipadankan dengan rekaan badan yang licin dan mudah meninggalkan cap jari tetapi peranti ini kelihatan cukup bergaya apatah lagi rekaan empat lensa kamera yang dilihat premium seakan sebuah peranti berjenama terkenal dengan logo epal.

Samsung A12

Sebagai sebuah peranti yang ditawarkan pada harga dibawah RM1000, Samsung A12 ini dianggap sebagai sebuah telefon pintar mampu milik yang dilengkapi pelbagai ciri unik dan paling menonjol ialah ‘jantungnya’ dikuasakan oleh bateri tahan lama iaitu 5,000mAh.

Amat jarang sekali sebuah peranti dalam Siri A dilengkapi bateri besar kerana jika dilihat hanya peranti premium seperti S21 Ultra menggunakan bateri seperti ini.

Apa yang menarik ialah peranti ini mampu menawarkan tontonan tanpa gangguan dengan paparan HD+ Infinity-V 2 dan skrin bersaiz 6.5 inci, sekali gus memberikan kualiti paparan yang jelas dan terang di hujung jari.

Peranti ini juga dilengkapi cip lapan teras, memori 6GB RAM, storan dalaman 128GB dan  pengecasan 15W menggunakan kabel USB-C.

Kamera hebat

Peranti ini dilengkapi kamera serba guna yang hebat, menjadikan rakaman gambar yang sempurna lebih mudah berbanding dengan sebelum ini.

Galaxy A12 tampil dengan kamera belakang kuad dengan kegunaan berbilang, yang merangkumi kamera utama, kamera Ultra Lebar (Ultra Wide camera), kamera Kedalaman (Depth camera) dan kamera Makro.

Kamera utama 48 megapiksel Galaxy A12 mampu menghasilkan gambar yang berkualiti dan tidak mengecewakan dalam format digital malah ciri kamera Ultra Lebar 5 megapiksel yang mempunyai sudut pandangan 123 darjah membolehkan anda merakamkan dunia dari perspektif yang lebih luas.

Kamera utama juga dilengkapi ciri zoom sehingga 10 kali ganda menjadikan peranti ini yang dipasarkan pada harga bawah RM800 ini satu kelebihan berbanding model lain yang sebaris dengannya.

Samsung A12

Ciri kamera Makro 2 megapiksel yang dipertingkatkan pula berupaya menyerlahkan perincian yang mampu mengecurkan air liur dalam fotografi makanan anda secara jarak dekat, bersama-sama dengan kamera Kedalaman 2 megapiksel yang membolehkan anda memberikan fokus kepada subjek yang anda inginkan sahaja.

Anda juga boleh mengambil gambar potret yang menawan dengan menggunakan kesan bokeh yang disediakan dalam peranti ini.

Kamera Swafoto 8 megapiksel pula merakamkan gambar berkualiti anda bersama-sama rakan dan kemudian boleh dikongsi bersama apabila dimuat naik di laman sosial seperti facebook, instagram atau twitter.

Bermain game

Bagi anda yang gemar bermain game di telefon, peranti ini menawarkan skrin paparan besar dan kuasa bateri tahan lama, yang membolehkan anda berhibur dengan video dan permainan mudah alih yang imersif selama berjam-jam.

Selain itu, Galaxy A12 menampilkan ciri Dolby Atmos® yang membawa penghayatan anda ke tahap yang lebih mengujakan semasa anda bermain atau menggunakan kandungan multimedia, dengan memberikan pengalaman bunyi keliling sepenuhnya yang serba mengasyikkan.

Dengan kuasa bateri 5,000mAh yang tahan lama, anda dapat menonton rancangan kegemaran anda tanpa henti semasa dalam perjalanan.

Prestasi RAM 

Peranti ini dilengkapi pemproses Octa-Core canggih sehingga 6GB RAM (storan dalaman 128GB) malah yang lebih menarik lagi ialah, ia mempunyai sokongan MicroSD
sehingga 1TB untuk mengabadikan dan menyimpan semua kandungan anda yang berharga.

Galaxy A12 juga meraih manfaat daripada platform keselamatan Knox bertaraf pertahanan yang membenarkan para pengguna menetapkan proses, aplikasi dan aktiviti perkongsian yang dapat berfungsi pada peranti mereka.

Pada dasarnya, para pengguna Galaxy A12 dapat memiliki ketenangan minda selama 24 jam dengan mengetahui bahawa mereka mempunyai platform keselamatan mudah alih bertaraf pertahanan yang melindungi lebih 1 bilion peranti pengguna perniagaan Samsung.

Dengan lengkungan halus di bahagian sisi, dan struktur nipis Galaxy A12 yang hanya 8.9mm, namun peranti seberat 205 gram ini selesa dipegang selama berjam-jam.

Galaxy A21 & Galaxy A02s

Kesimpulan

Menggunakan peranti ini untuk kegunaan harian cukup menyeronokkan kerana saiz skrinnya hanya beza 3 inci dengan saiz skrin S21 Ultra iaitu 6.8 inci tetapi memiliki tahap kuasa bateri 5,000mAh yang mampu bertahan lama.

Menurut maklumat dalam laman web samsung Malaysia, kuasa bateri ini mampu bertahan sehingga 20 jam jika penggunaan Internet (LTE) dan sehingga 19 jam jika menggunakan sambungan WiFi manakala sehingga 34 jam tempoh masa bercakap menggunakan peranti ini.

Galaxy A12 tersedia mulai 6 Januari 2021 dengan harga pasaran yang disyorkan sebanyak RM799 dan hadir dalam dua warna – hitam dan biru.